Images
  • amrin (2)
    Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.

Amrin: Latihan simulasi serangan pengganas langkah penting lindungi keselamatan awam

SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri, Encik Amrin Amin berkata latihan simulasi yang dijalankan di tempat-tempat awam termasuk sekolah dan institusi keagamaan adalah satu langkah penting sebagai satu usaha untuk melindungi keselamatan orang awam.

Dengan pendedahan terhadap latihan pengganasan itu, masyarakat awam tahu apakah langkah dan respons sebaiknya untuk diambil apabila kecemasan berlaku.

Beliau memberikan pandangannya itu ketika ditemui oleh pihak media di acara tahunan Forum Belia 2019 anjuran Jagaan Susulan Antara Agensi (ACG), di Politeknik Republic, siang tadi (30 Nov).

RESPONS TERHADAP SERANGAN LONDON

Encik Amrin juga memberikan respons terhadap insiden serangan ganas yang berlaku di Jembatan London malam semalam.

Insiden tersebut melibatkan seorang lelaki yang menikam dua orang hingga mati.

Menurut pihak polis Britain, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Usman Khan, merupakan seorang bekas tahanan yang melakukan kesalahan berkaitan pengganasan.

Tiga orang lagi cedera dalam serangan itu.

Insiden itu kata Encik Amrin contoh baik pentingnya rakyat bersiap sedia dan didedahkan kepada simulasi serangan pengganas. Ini kerana perkara yang serupa boleh berlaku di negara ini, tambahnya.

Dalam tempoh minggu ini, Pasukan Polis Singapura dan SCDF sudah menjalankan dua latihan serupa di masjid-masjid Singapura. Satu lagi latihan diadakan di lobi hotel Crowne Plaza Changi Airport pada 17 Mei dan satu lagi di Politeknik Republic pada 23 Julai.

"Saya rasa ia adalah sangat penting dan bukan sahaja mengadakan simulasi serangan pengganas di sekolah-sekolah dan institusi agama.

"Ia adalah salah satu kunci di mana kita meningkatkan keyakinan dalam kalangan masyarakat kita, kita pastikan masyarakat kita sedia, dan saya rasa penting untuk kita berkerjasama.

"Kita mengambil simulasi ini dengan serius dan kita melihatnya dengan rasional," tekan beliau yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan.  

- BERITAmediacorp/na

Top