Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amrin: Inisiatif baru bakal dilancar bagi pertingkat peluang pekerjaan bekas pesalah

Singapura mengambil pendekatan yang tegas dalam memerangi dadah dan jenayah tetapi pada masa yang sama "amat percaya" kepada pemulihan dan integrasi bekas pesalah ke dalam masyarakat.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura mengambil pendekatan yang tegas dalam memerangi dadah dan jenayah tetapi pada masa yang sama "amat percaya" kepada pemulihan dan integrasi bekas pesalah ke dalam masyarakat.

Maka itu, beberapa inisiatif akan dilancarkan bagi meningkatkan peluang untuk bekas-bekas pesalah mendapat pekerjaan, demi menghindarkan mereka daripada menjadi bentan.

Demikian menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri (MHA), Amrin Amin, ketika memberikan rangkuman usaha Singapura ke arah masyarakat yang bebas dadah.

Mengekalkan Singapura sebagai negara bebas dadah adalah keutamaan MHA. Maka itu, Biro Narkotik Pusat (CNB) meningkatkan usaha penguatkuasaannya.

23 SINDIKET DADAH DIPATAHKAN PADA 2017

Tahun lalu, ia berjaya mematahkan 23 sindiket dadah dan menjalankan 19 operasi seluruh negara yang ditumpukan kepada penyeludup dan penagih dadah.

Bagi mereka yang cuba membeli dadah secara online, Encik Amrin mendedahkan tahun lalu sahaja, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) mengesan 367 barangan yang mengandungi dadah.

Ini membawa kepada penangkapan 177 individu.

Selain penguatkuasaan yang tegas, pendidikan tentang bahaya dadah juga penting. Encik Amrin menarik perhatian, tahun lalu hampir 64 peratus penagih baru, berusia di bawah 30 tahun.

Oleh itu, MHA juga mempertingkat usaha-usaha pendidikan di kalangan belia.

Selain program sekolah dan pameran bergerak, CNB bekerjasama dengan institusi-institusi pendidikan dan pembikin filem tempatan untuk menyebarkan mesej bahaya dadah.

KEMPEN 'DADAH ITU HARAM' DAPAT SOKONGAN PADU

Memberikan perkembangan lanskap dadah dalam masyarakat Melayu pula, Encik Amrin berkata, kempen Dadah Itu Haram kini mendapat sokongan padu masyarakat sejak dilancarkan tahun lalu.

Lebih 250 kedai dan hampir 200 mat motor dari pelbagai kumpulan berganding bahu menyebarkan tentang bahaya dadah.

Sambutannya amat menggalakkan menurut Encik Amrin, sehinggakan ketika beliau berkunjung ke salah sebuah kedai gunting di Woodlands, tukang gunting di kedai tersebut meminta lebih banyak pelekat Dadah Itu Haram. Ini kerana ramai pelanggannya yang ingin mendapatkan pelekat tersebut.

Ini menurut beliau satu kemajuan yang memberangsangkan. Malah Encik Amrin memberi jaminan, pihaknya berazam untuk terus menyokong usaha tersebut.

"Ini ikrar kami: Kami akan terus menyokong kuat usaha masyarakat dalam kempen Dadah Itu Haram. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pertubuhan Melayu/Islam seperti PERGAS, Jamiyah, Pertapis, Angkatan Karyawan Islam, Muhammadiyah, Persatuan Pemudi Islam Singapura demi memperkukuhkan usaha membebaskan masyarakat kita daripada dadah terlarang.

"Kami sangat berazam untuk memastikan anak-anak yang kita sayangi, terpelihara daripada najis dadah. Kami impikan sebuah masyarakat Melayu yang bebas daripada dadah haram yang menjahanamkan anak-anak bangsa kita. Saya yakin, dengan kita terus saling bahu membahu, kita pasti mencapainya," tekan Encik Amrin.

SOKONGAN KEPADA BEKAS PESALAH DILANJUTKAN KEPADA 12 BULAN

Satu lagi cabang tumpuan adalah dalam menyokong pemulihan dan integrasi bekas pesalah ke dalam masyarakat.

Salah satu cara menurut Encik Amrin untuk menghindari bekas pesalah menjadi bentan, adalah dengan mempunyai pekerjaan.

Hasilnya, tahun lalu, dengan sokongan para majikan, 97 peratus pesalah yang dirujukkan Perbadanan Perusahaan Pemulihan Singapura (SCORE) berjaya mendapatkan pekerjaan sebelum dibebaskan.

Maka itu, tahun ini, SCORE akan melancarkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan peluang bagi bekas-bekas pesalah mendapat pekerjaan. Antaranya, dengan melanjutkan sokongan bagi bekas pesalah mengekalkan pekerjaan mereka dari enam kepada 12 bulan.

Ini bermakna, para bekas pesalah akan mendapat bimbingan selama setahun selepas dibebaskan.

SCORE juga akan menawarkan Latihan Lanjutan WSQ di bawah rangka kerja Kemahiran Kulinari WSQ.

Ia juga akan meneroka untuk meluaskan latihan lanjutan sedemikian kepada sektor-sektor lain. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan