Images
  • amrin amin melawat penjara changi
    Encik Amrin Amin berbuka puasa bersama 23 banduan di Penjara Changi hari ini (14 Mei). (Gamabr: Amrin Amin/Facebook)

Amrin gesa agensi pemerintah, pertubuhan masyarakat perhebat usaha bantu pesalah dadah

SINGAPURA: Berjauhan dari keluarga dan orang tersayang memang sesuatu yang paling sukar untuk ditempuhi.

Walaupun ia sesuatu yang memilukan, hakikatnya perasaan hiba ini harus diharungi oleh 23 pesalah dadah dari Pusat Pemulihan Dadah.


Menurut Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin, beliau dapat merasakan kesedihan dan kekesalan mereka semasa berbuka puasa dengan mereka di Penjara Changi pada Selasa (14 Mei).

Menulis di laman Facebooknya, Encik Amrin mendedahkan bahawa mereka menyuarakan kepadanya tentang kebimbangan mereka untuk pulang ke pangkuan keluarga dan masyarakat setelah dibebaskan kelak. Mereka juga bimbang jika dipandang hina oleh masyarakat.

Dalam catatan Facebooknya itu, Encik Amrin mengongsi dengan mereka tentang pelbagai program di bawah Projek Reben Kuning Singapura, bantuan pekerjaan yang dihulurkan oleh Lembaga Perbadanan Perusahaan Pemulihan Singapura (SCORE) dan Program Pembangunan dan Integrasi Semula AMP.

Encik Amrin juga memaklumkan mereka tentang penubuhan sebuah pejabat baru FITRAH di Masjid En-Naeem.

Sehubungan itu, Encik Amrin menyeru agensi-agensi nasional dan pertubuhan-pertubuhan masyarakat supaya berganding bahu untuk membantu para pesalah dadah untuk mengubah dan membina semula hidup mereka.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya mengorak langkah untuk terus menyokong para pesalah dadah kembali ke pangkuan masyarakat.

Tegas Encik Amrin: "Penting untuk mereka mengetahui bahawa masyarakat mengambil berat tentang mereka. Usah putus asa kerana kami tidak akan berputus asa!"

- BERITAmediacorp/sm

Top