Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amrin Amin pimpin 30 orang berbilang agama dalam lawatan simbolik ke Gereja St Andrew

Sekitar 30 anggota masyarakat termasuk wakil-wakil dari tiga buah masjid tempatan, berkunjung ke Gereja St Andrew's petang tadi dalam satu lawatan penuh simbolik.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 30 anggota masyarakat termasuk wakil-wakil dari tiga buah masjid tempatan, berkunjung ke Gereja St Andrew's petang tadi dalam satu lawatan penuh simbolik.

Dipimpin Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri Amrin Amin, ditengah-tengah tragedi tembakan di dua masjid New Zealand, beliau menekankan betapa pentingnya untuk generasi sekarang meneruskan warisan perpaduan antara agama, yang sudah ditunjukkan generasi terdahulu.

TAPAK TANAH GEREJA HADIAH DARI ORANG ISLAM

Lawatan muhibbah oleh penganut Islam, Hindu dan Buddha ke rumah ibadat penganut Kristian yang tertua di Singapura itu, memberi para peserta peluang untuk melihat sendiri suasana di dalam gereja ini.

Mereka juga berkenalan serta berinteraksi antara sesama mereka, sekaligus membuka ruang untuk menjalin kefahaman lebih mendalam tentang tradisi beragama secara positif, yang sudah lama terjalin di Kota Singa ini.

Lawatan muhibbah ke Gereja St Andrew. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Apa tidaknya, tahukah anda bahawa tapak tanah di mana Gereja St Andrew's itu dibina, sebenarnya didermakan oleh orang Islam - iaitu tokoh Arab terkenal di Singapura, Syed Omar Syed Ali Aljunied semasa zaman Raffles.

"Beliau (Syed Omar) menghadiahkan tempat ini untuk dibinakan tempat untuk beribadat atau 'place of worship'. Tidak kira bangsa tidak kira agama. Tempat ini dihadiahkan. Jadi ini menunjukkan peri pentingnya kita melihat seseorang bukan dengan kulit atau agama mereka. Tapi dengan isi hati mereka. Jadi ini satu pengajaran yang penting," kata Encik Amrin.

Lawatan muhibbah ke Gereja St Andrew. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SEMANGAT BERBILANG AGAMA S'PURA SEJAK TAHUN-TAHUN 1800

Encik Amrin menekankan bahawa ini juga menunjukkan, mesej perpaduan berbilang agama sebenarnya tidak asing lagi di Singapura dan sudah berakar sejak tahun-tahun 1800 lagi.

"Generasi sekarang ini ada tugas yang berat untuk meneruskan legasi datuk nenek moyang kita atau menghidupkan mesej-mesej mereka. Kita boleh melakukan ini dengan pelbagai cara. Cara kita hormati termasuk memberi ucapan ucapan semasa hari perayaan agama lain," ujar Encik Amrin.

Pengarah Pentadbiran dan Operasi Gereja St Andrew, Vivian Chen pula menambah, ini adalah peluang untuk menjalin persahabatan antara penganut agama berbeza.

"Kita hidup di negara yang sama, Singapura. Maka, bagus jika kita saling melawat rumah ibadat masing-masing, lebih memahami agama mereka dan menjalin persahabatan. Persahabatan amat penting. Kebanyakan (isu) adalah salah faham yang dengan mudah boleh dileraikan dengan sahabat kita," kata Cik Chen.

Lawatan muhibbah ke Gereja St Andrew. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada siri Jejak Warisan anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Woodlands.

Majoriti daripada sekitar 30 peserta yang mengikuti lawatan anjuran itu pula adalah orang Melayu dan mereka akur akan manfaatnya.

"Kita dapat memahami agama mereka dan kita ada toleransi antara kaum di Singapura," Cik Noryati Mohamed memberitahu BERITAmediacorp.

Lawatan muhibbah ke Gereja St Andrew. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

"Memberikan kita pengetahuan yang mendalam dan untuk kami memahami dan bertoleransi tentang fahaman orang-orang yang agama berlainan daripada kami," kata seorang lagi peserta, Encik Muhd Harmizan Abdul Hamid.

Yang jelas, ditengah-tengah tragedi pembunuhan zalim 50 muslim di dua buah masjid di Christchurch dan kejadian-kejadian Islamofobia, Encik Amrin menekankan betapa perpaduan masyarakat tidak boleh diambil ringan dan perlu sentiasa dipupuk. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan