Images
  • Mutton Soup (3)
    (Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Amrin Amin agih sup kambing versi sihat kepada penduduk memerlukan di Woodlands

SINGAPURA: Anda mungkin bingung... apakah menu sesuai untuk masak daging kambing korban?

Bagi sekitar 380 keluarga memerlukan di Woodlands, mereka dapat menikmati sup kambing sempena Hari Raya Aidiladha ini. Istimewanya, sup kambing itu, ia dimasak dengan cara lebih sihat.

Sup-sup kambing yang disajikan itu bukan seperti yang biasa dihidangkan di pusat-pusat penjaja. Ia istimewa kerana dimasak dengan minyak lebih sihat, kurang garam dan tiada bahagian lemaknya.

Ini juga kali pertama para sukarelawan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Woodlands mengadakan agihan makanan kepada golongan yang memerlukan sempena Hari Raya Aidiladha.


Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan Amrin Amin yang juga Penasihat GRC Sembawang berkongsi bahawa sup kambing versi lebih sihat itu mengandungi 330 kalori. Jumlah tersebut adalah 10 peratus lebih rendah berbanding sup kambing yang dimasak secara biasa, iaitu sekitar 390 kalori.

"Saya gembira dengan perkembangan ini kerana ini menunjukkan kita boleh membuat makanan kegemaran kita itu lebih sihat dengan menggunakan cara-cara yang tidak begitu susah," Encik Amrin memberitahu BERITAmediacorp.


Tengah hari tadi (22 Ogos), Encik Amrin dan lebih 30 sukarelawan menyingsing lengan bagi membungkus sup-sup kambing yang disertakan dengan roti mil penuh atau 'wholemeal'.

Sup-sup kambing itu kemudian diagihkan kepada para penduduk memerlukan di kawasan Woodlands.

"Hari Raya Haji ini mungkin ada mereka yang keseorangan atau tidak mampu memakan makanan yang enak-enak untuk keluarga. Jadi saya gembiralah dalam 380 keluarga yang dapat meraih manfaat daripada juadah yang enak dan sihat.," tambah Encik Amrin.


Ternyata, sup-sup kambing versi lebih sihat itu tidak sedikit pun menjejas rasanya dan diberi cap 'jempol' oleh para penerima.

Salah seorang penerima, Cik Salmah Ahmad, langsung mencuba sup kambing tersebut dan apabila ditanya bagaimana rasanya, beliau berkata "Walaupun sup daging itu sihat tetap sedap!"

Yang pasti, inisiatif itu tidak akan berjaya tanpa pengorbanan masa dan tenaga oleh para sukarelawan.

Antara mereka yang menjayakan usaha ini termasuk yang berkerusi roda, yang datang sekeluarga dan penghantar makanan dari GrabFood dan Food Panda serta 'abang-abang' motor besar dari kumpulan Temasek Tourers.


Bagi Encik Razuli Konson, beliau dan isterinya terpanggil untuk mengorbankan masa dan tenaga demi membantu mereka yang lebih memerlukan sebagai mencontohi kakak dan anak saudaranya. Maka mereka beramai-ramai sepakat menghulurkan bantuan pada Hari Raya Haji ini.

"Saya dengan isteri saya pertama kali, untuk mencuba merasakan macam mana suasana Hari Raya Haji ini untuk kita membantulah orang yang memerlukan. Saya fikir saya ingin cubalah untuk tolong jawatankuasa RC ini dengan seikhlas hatilah," kata Encik Razuli, 47 tahun.

Salah seorang anggota kumpulan Temasek Tourers, Encik Abu Bakar Jamaat pula berterima kasih kerana diberi peluang untuk memeriahkan usaha ini.

"Berterima kasih kepada penganjur yang telah mengundang kami, Temasek Tourer, dan ingin sama-sama menjayakan acara ini. Kami amat berbangga dan amat bahagia kerana Encik Amrin memberi peluang kepada kami untuk sama-sama mengagihkan sup-sup," Encik Abu Bakar memberitahu BERITAmediacorp.


Mengulas tentang semangat kesukarelawanan itu, Encik Amrin berkata: "Inilah makna sebenar-benarnya Aidiladha di mana kita berkongsi kepada mereka yang memerlukan, kepada keluarga yang tidak berkemampuan dan sebagainya. Saya rasa ini satu perkembangan yang baik dan semua tidak kira keupayaan boleh memberi pertolongan, boleh menjadi sukarelawan." 

- BERITAmediacorp/nk

Top