Images
  • AMP new logo
    Logo baru AMP melambangkan pandangan moden dan progresif badan itu, yang sudah berusia 30 tahun. (Gambar: AMP)

AMP lancarkan logo dan portal pungutan dana baru sempena ulang tahun ke-30

SINGAPURA: AMP Singapura membuka tirai sambutan ulang tahunnya yang ke-30 dengan melancarkan logo baru dan sebuah portal baru khas untuk mengumpul dana.

Ini merupakan kali pertama logo AMP ditukar sejak ia diperkenalkan tiga dekad lalu, pada 10 Oktober 1991.

Logo baru AMP itu memaparkan pandangan moden dan progresif AMP serta menyuntik kesegaran sekaligus menonjolkan iltizam AMP yang bersedia untuk mengembangkan khidmatnya kepada masyarakat Melayu/Islam dan menjangkauinya.

Pengarah Eksekutif AMP, Zarina Yusof berkata gabungan warna dari kelabu ke ungu pada logo baru itu mewakili kemajuan yang dikecapi badan itu sepanjang 30 tahun.

"Logo baru itu adalah fasa penutup penjenamaan semula kami yang dimulakan pada Januari 2019 apabila kami bertukar nama dari Angkatan Karyawan Islam kepada AMP Singapura sebagai tanda bahawa kami berkhidmat bukan sahaja untuk masyarakat Melayu/Islam tetapi juga memastikan usaha-usaha dan tanggungjawab kami adalah untuk semua masyarakat dan masa depan kita bersama," kata Cik Zarina.

Pertukaran nama itu dirasmikan pada Januari 2019.

Sempena meraikan ulang tahunnya, AMP sudah menyediakan pelbagai inisiatif, bermula dengan sebuah portal khusus bagi mengumpulkan dana.

Laman ampdonate.sg itu memudahkan proses untuk mereka yang ingin menghulurkan derma secara online sebagai menyokong program-program dan khidmat yang dijalankan oleh AMP.

Di laman itu, anggota masyarakat boleh melihat sendiri sebanyak mana dana yang sudah dikumpulkan dari masa ke masa. Ini kerana jumlahnya sentiasa dikemas kini dan dimuat naik berdasarkan masa nyata.

Derma kepada AMP boleh dibuat menerusi kad kredit dan debit, aplikasi PayNow, perbankan online dan juga Giro.

Portal baru itu dilancarkan untuk menyokong AMP mencapai sasaran dana $2.6 juta tahun ini demi memenuhi keperluan para penerima bantuan AMP.

- BERITAmediacorp/nk

Top