Images
  • ampvc
    (Gambar: AMP Singapore) 

AMP lancar Cabaran Maya demi kumpul S$100,000 bagi para penerima bantuannya

SINGAPURA: Ini peluang untuk anda mengeluarkan peluh sambil membantu golongan memerlukan.

Sempena ulang tahunnya yang ke-30 tahun ini, AMP Singapore menyasarkan untuk mengumpul S$100,000 menerusi usaha terbarunya yang dipanggil AMP Virtual Challenge (AMPVC). Menerusi inisiatif itu, orang ramai diajak menyertai suatu acara seakan-akan maraton.

Perbezaannya, para peserta 'maraton' ini tidak perlu berkumpul beramai-ramai di suatu tempat untuk berlari hingga ke garisan penamat. Mereka sebaliknya diberi pilihan untuk berjalan, berlari atau berbasikal mengikut rentak sendiri pada waktu serta tempat pilihan masing-masing dalam lima sesi berbeza.


Setiap kali beriadah pula, peserta hanya perlu merekod jarak yang dipenuhi menggunakan aplikasi mudah alih lalu menyerahkan bukti senaman di laman AMPVC. Ini sekali gus akan dapat membantu anda memantau sekiranya cabaran disahut akhirnya dapat diatasi.

Jadi katakan anda memilih untuk menyahut cabaran berlari sejauh 10 kilometer, anda tidak perlu melakukan larian sepanjang jarak itu dalam tempoh sehari. Anda boleh 'memecah rekod' yang ditetapkan menerusi lima sesi sepanjang 60 hari, iaitu antara 2 Ogos hingga 30 September.

Lebih menarik lagi, semua peserta akan mendapat pingat dan kemeja-T asalkan mereka mendaftarkan diri menerusi laman ini. Yuran pendaftaran berharga S$30 bagi semua kategori.

Berikut senarai kategori yang boleh anda pilih:


Para peserta boleh turut menyalurkan sumbangan ikhlas di laman AMPVC. Jumlah terkumpul menerusi usaha ini akan disalurkan kepada para penerima bantuan AMP - yang terdiri daripada keluarga-keluarga, pelajar dan belia berpendapatan rendah.

“Pandemik ini mengetengahkan kisah-kisah inspirasi warga Singapura yang tampil ke hadapan untuk membantu mereka yang terjejas dek pandemik. Kami ingin menyediakan wadah ini agar lebih ramai lagi yang boleh berbuat demikian untuk menyumbang dan memberi kesan langsung kepada mereka yang memerlukan," kata Cik Shazana Sharif, anggota Jawatankuasa Penganjur AMPVC.

"Harapan kami adalah wadah ini dapat memberi inspirasi dan memupuk sifat memberi dalam masyarakat Singapura dalam jangka masa panjang.”

Pendaftaran akan ditutup pada 11.59 malam 15 September 2021. Bagi sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh WhatsApp ke 9726 7651 atau emel ampvc@amp.org.sg 

- BERITAmediacorp/aq

Top