Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amos Yee didakwa atas gambar lucah budak bawah umur di AS

Rakyat Singapura Amos Yee, yang diberikan suaka di Amerika Syarikat tiga tahun lalu, didakwa atas tuduhan mendapatkan dan memiliki gambar pornografi kanak-kanak di Amerika Syarikat, menurut akhbar Chicago Sun-Times.

Anggaran Waktu Membaca:
Amos Yee didakwa atas gambar lucah budak bawah umur di AS

Gambar fail Amos Yee. (Gambar: Reuters/Chris Kenning)

Diterbitkan : 17 Oct 2020 02:38PM Dikemas Kini : 17 Oct 2020 02:43PM

SINGAPURA: Rakyat Singapura Amos Yee, yang diberikan suaka di Amerika Syarikat tiga tahun lalu, didakwa atas tuduhan mendapatkan dan memiliki gambar pornografi kanak-kanak di Amerika Syarikat, menurut akhbar Chicago Sun-Times.

Yee - yang dihukum penjara di Singapura pada 2015 dan 2016 atas ucapan yang menyebarkan kebencian terhadap penganut Kristian dan umat Islam - dipercayai bertukar-tukar gambar bogel dan "ribuan" mesej dengan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang tinggal di Texas, ketika dia tinggal di Chicago, menurut akhbar itu pada Jumaat (16 Okt).

Jika sabit kesalahan, status suaka Yee mungkin akan dibatalkan.

Yee, 20 tahun, dihadapkan ke mahkamah jenayah Leighton bagi ikat jamin perbicaraan kes tersebut pada Jumaat.

Chicago Sun-Times menukil para pendakwa Cook County sebagai berkata bahawa Yee berbalas-balas mesej dengan remaja itu antara April hingga Julai tahun lalu termasuk gambar-gambar bogel remaja berkenaan yang diminta oleh Yee. Dia juga menghantar gambar-gambar bogelnya kepada remaja itu, menurut laporan akhbar tersebut.

Laporan akhbar itu turut memetik para pendakwa sebagai berkata bahawa remaja itu sudah berkali-kali memaklumkan Yee mengenai usianya dalam mesej-mesejnya.

Yee juga dipercayai menyuruh remaja berkenaan supaya memadamkan usianya daripada profilnya di WhatsApp, yang digunakan untuk saling berkomunikasi dengannya, menurut pihak pendakwa.

Setelah menamatkan hubungan mereka, remaja itu menghubungi sebuah kumpulan yang "berminat menangkap pedofil" dan para pegawai daripada Jabatan Keselamatan Negara dimaklumkan mengenai Yee, menurut laporan tersebut.

Mediacorp belum lagi mendapatkan akses kepada dokumen-dokumen mahkamah itu.

Hakim mengarahkan Yee diikat jamin AS$1 juta (S$1.9 juta) dan dilarang menggunakan Internet sementara menunggu kesnya dibicarakan, menurut akhbar itu. Yee dijangka akan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi pada 5 Nov. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan