Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amirull Ali ditangkap ISD kerana mahu bunuh 3 penganut Yahudi di S'pura

Dia juga membuat perancangan teliti untuk pergi ke Gaza di Palestin bagi menyertai sayap tentera kumpulan Hamas, iaitu Briged Izz ad-Din al-Qassam (AQB) bagi memerangi Israel.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang belia Singapura berusia 20 tahun, Amirull Bin Ali, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mahu membunuh orang-orang Yahudi menggunakan pisau, di sebuah rumah ibadah Yahudi di Waterloo Street.

Dia juga membuat perancangan teliti untuk pergi ke Gaza di Palestin bagi menyertai sayap tentera kumpulan Hamas, iaitu Briged Izz ad-Din al-Qassam (AQB) bagi memerangi Israel.

Amirull bagaimanapun ditangkap pada 5 Februari 2021 dan pada Jumaat lalu (5 Mac) dia dikenakan Perintah Tahanan di bawah ISA. Ketika diberkas, belia itu sedang menjalani Perkhidmatan Negara sepenuh masa dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Demikian dedah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) semasa memberikan butiran terperinci mengenai rancangan dan kegiatan Amirull, dalam satu kenyataan media hari ini (10 Mac). ISD menekankan bahawa Amirull ditangkap kerana mahu melakukan pembunuhan, bukan kerana sokongannya terhadap penduduk Palestin.

RANCANG BUNUH 3 LELAKI YAHUDI

Siasatan ISD mendapati, Amirull menjadi marah bahawa kaum Yahudi hidup aman di Singapura, setelah menonton paparan tersebut menerusi sebuah dokumentari CNA mengenai masyarakat Yahudi di negara ini. Dia kemudian memutuskan untuk melakukan satu serangan ke atas orang-orang Yahudi di sebuah saumaah (synagogue) iaitu Maghain Aboth Synagogue yang terletak berdekatan stesen MRT Bras Basah.

Gambar saumaah Maghain Aboth Synagogue yang dimuat turun sebagai rujukan. (Gambar-gambar: MHA)

Gambar saumaah Maghain Aboth Synagogue yang dimuat turun oleh Amirull sebagai rujukan. (Gambar: MHA)

Amirull mengaku dia sudah melakukan dua intipan secara fizikal terhadap saumaah itu antara Ogos dengan awal Oktober 2019. Menerusi tinjauan tersebut, dia sudah mengenal pasti tempat sesuai untuk menyerang mangsa-mangsanya ketika mereka keluar dari rumah ibadah itu.

Matlamatnya adalah membunuh tiga orang lelaki Yahudi pada suatu hari Sabtu selepas jemaah Yahudi keluar dari bangunan itu seusai melakukan upacara beribadah beramai-ramai. Ini kerana dia beranggapan bahawa lelaki-lelaki Yahudi yang menjadi sasarannya seharusnya sudah menjalani perkhidmatan negara di Israel, lantas mereka pernah melakukan kekejaman terhadap orang Palestin.

"Dia bercadang untuk menutup mukanya dengan keffiyeh putih (kain penutup kepala yang sering digunakan orang Palestin) semasa melakukan serangan itu dan akan melarikan diri daripada tapak kejadian selepas serangan dan pulang ke rumah untuk membuat catatan sebuah manifesto pendek secara online.

"Tujuan manifesto itu adalah untuk menghasut semua orang yang tertindas supaya melakukan serangan-serangan ke atas rejim-rejim kuku besi menggunakan 'segala cara yang perlu' termasuk 'pembunuhan' dan 'keadilan jalanan'," menurut kenyataan media ISD.

Pisau Smith & Wesson yang mahu digunakan dalam serangan. (Gambar-gambar: MHA)

Pisau Smith & Wesson yang mahu digunakan dalam serangan. (Gambar: MHA)

RANCANG SERANG GUNAKAN PISAU SMITH & WESSON

Semasa proses perancangannya, Amirull sedar bahawa sukar untuk mendapatkan senjata api di Singapura, jadi dia merancang menggunakan sebilah pisau Smith & Wesson untuk melakukan pembunuhan itu. Pisau itu sudahpun dimilikinya dan dibeli pada tahun 2016 bagi kegiatan pengakap.

Imej sistem pembuluh darah yang dimuat turun (kiri) dan gambar (kanan) yang disunting untuk tumpukan pada bahagian utama badan. (Gambar-gambar: MHA)

Imej sistem pembuluh darah yang dimuat turun oleh Amirull (kiri) dan gambar (kanan) yang disunting untuk tumpukan pada bahagian utama badan. (Gambar: MHA)

Untuk mempersiapkan dirinya bagi serangan itu, dia memuat turun gambar dalaman tubuh manusia bagi mengenal pasti bahagian tubuh yang mahu ditikam agar mangsa cepat mati. Untuk mencegah pisau itu daripada rosak atau mencederakan dirinya sendiri, Amirull kemudian membuat replika pisau berkenaan dan berlatih jurus-jurus menikam di rumahnya.

Replika pisau yang digunakan untuk berlatih menetak. (Gambar-gambar: MHA)

Replika pisau yang digunakan untuk berlatih jurus-jurus menikam. (Gambar: MHA)

Namun demikian pada Oktober 2019, dia berfikir dua kali untuk melaksanakan rancangannya itu.

"Dia bimbang tidak akan mati syahid jika dia ditangkap dan dihukum mati selepas serangan itu. Pada fikirannya, mati syahid hanya boleh dicapai dengan berjuang dalam medan pertempuran di Gaza," menurut ISD.

Namun pada Disember 2020, dia bertekad semula untuk melakukan serangan setelah menonton sebuah video online di mana askar-askar Israel membunuh seorang lelaki Palestin yang autistik dan tidak bersenjata. Amirull menjadi marah dan menimbangkan untuk melakukan serangan pada Hari Krismas tahun lalu. Bagaimanapun dia sekali lagi membatalkan serangan tersebut kerana terus bimbang tidak akan mati syahid, menurut ISD.

BAGAIMANA AMIRULL DIKESAN

Menurut agensi keselamatan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberitahu ISD bahawa Amirull, yang ketika itu sedang menjalani NS, mungkin sudah diradikalisasi oleh ideologi-ideologi pelampau. Siasatan-siasatan ISD kemudian mengesahkan bahawa dia memang sudah menjadi radikal secara sendiri.

Yang pasti, Amirull sudah membuat perancangan mendalam untuk melaksanakan serangan itu.

"Dalam kes Amirull, dia mahu terbabit dalam keganasan bersenjata di Singapura dan juga di luar negara. Dia membuat perancangan dan persiapan terperinci untuk membunuh orang Yahudi di Singapura dan hanya terhalang kerana dia kurang pasti sama ada akan mati syahid dengan berbuat demikian.

"Jika rancangan Amirull kekal tidak dikesan, dia mungkin pada akhirnya menjalankan rancangan-rancangan serangannya di Singapura atau keluar negara untuk melakukan keganasan bersenjata. Amirull adalah ancaman keselamatan yang boleh berlaku pada bila-bila masa di Singapura dan ditahan di bawah ISA," terang ISD lagi mengenai penilaian dan risiko keselamatan yang ditimbulkan Amirull.

RADIKALISASI BERMULA PADA 2014

Proses radikalisasi Amirull sebenarnya bermula pada tahun 2014 setelah dia mula menaruh minat terhadap konflik Israel-Palestin. Ini selepas dia menonton sebuah video yang menunjukkan penduduk awam Palestin dibom jet-jet pejuang Israel.

Setelah membaca lebih banyak bahan secara online mengenai konflik itu, dia menjadi yakin bahawa Israel menindas orang-orang Palestin dan kebenciannya terhadap Israel terus menebal.

Pada 2015, Amirull mula berminat menyokong cabang tentera Hamas iaitu Briged Izz ad-Din al-Qassam (AQB) setelah dia membaca sebuah buku mengenai perjuangan kumpulan itu, menurut ISD.

Pada 2018 Amirull malah pernah mengadakan perbincangan dengan seorang 'penghubung asing' (foreign contact) dan menyuarakan hasratnya untuk berlepas ke Palestin bagi menyertai AQB. Penghubung asing itu menggalakkannya berbuat demikian.

Antara 2018 hingga 2020 Amirull terus membuat persiapan untuk pergi ke Gaza bagi mengangkat senjata.

Replika senapang AK-47 yang dibuat sendiri oleh Amirull menggunakan kayu dan plastik.(Gambar: MHA)

Replika senapang AK-47 yang dibuat sendiri oleh Amirull menggunakan kayu dan plastik.(Gambar: MHA)

"Dia membuat kajian tentang perjalanan ke Gaza dan berlatih bagaimana untuk mengendalikan selaras senapang menggunakan replika senapang AK-47 yang dibuatnya sendiri. Dia fokus kepada AK-47 kerana percaya dia akan diberikan selaras senapang oleh AQB berdasarkan apa yang dibacanya tentang kumpulan itu.

"Amirull merancang menyertai AQB setelah dia selesai menjalani Perkhidmatan Negara sepenuh masa dan setelah di mengumpul cukup wang," dedah ISD.

TIDAK LIBATKAN ORANG LAIN UNTUK SUBAHAT

Jabatan tersebut menyatakan siasatannya sehingga kini menunjukkan bahawa Amirull bertindak sendirian berhubung rancangan-rancangannya itu dan tiada tanda bahawa dia cuba mempengaruhi orang lain.

Dia juga tidak membabitkan orang lain dalam rancangan-rancangan serangannya. Anggota keluarganya sendiri dan orang-orang dalam lingkaran sosialnya juga tidak sedar akan rancangannya untuk melakukan serangan ke atas orang Yahudi di negara ini.

ISD menekankan bahawa ia tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebarang individu di Singapura yang menyokong, menggalak, mengambil atau membuat persiapan untuk mengangkat senjata secara ganas, tanpa mengira apa jua alasan mereka atau di mana keganasan itu akan berlaku. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan