Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amirul Sufyan Mohd Salleh antara penerima sulung Anugerah Gemilang MENDAKI

Meskipun diletak dalam 'Senarai Pengarah' pada tahun pertama di Politeknik Ngee Ann kerana dikategorikan sebagai 'pelajar pandai', Amirul Sufyan Mohd Salleh percaya dia boleh melakukan lebih daripada hanya 'belajar di meja'.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Oct 2019 09:19PM Dikemas Kini : 13 Oct 2019 12:11AM

SINGAPURA: Meskipun diletak dalam 'Senarai Pengarah' pada tahun pertama di Politeknik Ngee Ann kerana dikategorikan sebagai 'pelajar pandai', Amirul Sufyan Mohd Salleh percaya dia boleh melakukan lebih daripada hanya 'belajar di meja'.

Lantaran itu, anak bongsu empat beradik itu keluar daripada kepompong selesanya dan mula melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti luar darjah.

Sepanjang tiga tahun memburu diploma di Sekolah Optometri, Amirul juga menyertai pelbagai kegiatan Kelab Budaya Melayu dan Persatuan Sains Kesihatan.

Di bawah Kelab Budaya Melayu, Amirul giat dalam aktiviti dan program teater. Manakala di bawah Persatuan Sains Kesihatan pula, dia menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua persatuan tersebut.

Tidak cukup dengan aktiviti di dalam negeri, Amirul juga menyertai kerja-kerja kemanusiaan di Kemboja, dengan menjalankan pelbagai pemeriksaan mata di sekolah-sekolah awam di beberapa buah kampung di negara itu.

AMIRUL SUFYAN RAIH TIGA ANUGERAH

Ternyata, di akhir pengajiannya Amirul lulus cemerlang dari Politeknik Ngee Ann dan diiktiraf dengan tiga anugerah hari ini (12 Okt) - Anugerah Khas MENDAKI (Politeknik) dan Anugerah Pencapaian Akademik, serta yang tertinggi iaitu Anugerah Gemilang MENDAKI.

(Gambar: MENDAKI)

Anugerah Gemilang MENDAKI menjulang pencapaian menyeluruh Amirul yang menjangkaui bidang akademik. Empat orang menjadi penerima sulungnya tahun ini.

Anugerah baru itu diperkenalkan demi mengiktiraf lulusan yang menonjolkan sifat Keperibadian, Kemahiran dan Kewarganegaraan yang melambangkan ciri-ciri 'Masyarakat Gemilang'.

"Saya berpendapat bahawa seorang anak Melayu perlu ada ciri-ciri untuk membangunkan diri bukan dari segi akademik sahaja tetapi dalam aspek lain juga kerana masyarakat Melayu di Singapura amatlah kecil dan kita perlu menabur bakti kepada mereka yang memerlukan," kongsinya.

INGIN TERUS JADI 'WARGA GEMILANG'

Amirul yang akan melanjutkan peringkat Sarjana Muda dalam bidang Optometri itu berharap, beliau dapat menabur bakti kepada masyarakat, khususnya MENDAKI.

Sepanjang pengajian itu, yuran sekolahnya dibiayai Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS).

"Saya berharap bahawa saya akan menjadi seorang yang dapat membangunkan diri sendiri dan masyarakat Melayu di Singapura juga, dan dengan sokongan yang diberikan oleh Yayasan MENDAKI, saya dapat meraikan ilmu dan menggunakan ilmu ini untuk memberi kembali kepada masyarakat," tekannya.

Tiga para penerima Anugerah Gemilang MENDAKI lainnya ialah Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, Siti Nurhajah Haron, dan Aisyah Yusoff.

ILIYA SYAMIM TERIMA ANUGERAH PENCAPAIAN KHAS

Turut mendapat anugerah hari ini ialah Iliya Syamim Muhammad Azni, seorang atlit boling negara, yang diberikan Anugerah Pencapaian Khas Kecemerlangan (Bukan Akademik).

Anugerah itu memberi pengiktirafan kepada pelajar Melayu/Islam yang menunjukkan prestasi yang baik dalam bidang bukan akademik di arena nasional dan antarabangsa.

Iliya pernah menjadi juara kejohanan Terbuka Antarabangsa Hong Kong tahun ini dan Naib Juara kejohanan Terbuka Antarabangsa Filipina 2017.

Sebagai satu-satunya wanita Melayu yang menjadi pemain boling nasional di sini, Iliya berharap untuk mencapai kecemerlangan lebih tinggi pada masa hadapan.

"Anugerah ini memberi saya keyakinan dan semangat untuk menjadi atlit professional dan saya ingin bersaing dalam pertandingan yang akan datang seperti Asian Bowling Championships di Kuwait," kongsinya, yang mula menyertai skuad kebangsaan pada 2018.

Ibunya, Cik Rossida Dolah berharap, satu-satunya anak perempuan beliau itu akan dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Saya amat gembira dengan kejayaan anak saya dan saya juga berbangga kerana dia dapat bermain boling dengan baik, saya juga harap kalau dia boleh mengorak langkah lebih jauh lagi dalam arena boling untuk mewakili Singapura dengan prestasi baik juga.

"Bukan ramai anak-anak Melayu yang bermain sukan boling. Mungkin satu hari kalau dia boleh membantu, mungkin adakan kelas boling untuk memupuk minat anak-anak yang suka sukan ini," kongs Cik Rossida kepada BERITAmediacorp.

Selain Iliya, sembilan lagi pelajar diberikan pengiktirafan di bawah kategori tersebut.

Secara keseluruhannya, hampir 520 pelajar Melayu/Islam menerima anugerah MENDAKI bagi mengiktiraf kecemerlangan masing-masing dalam bidang pendidikan dan juga bukan pendidikan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan