Images
  • mesra 3

Amatul Jameel Suhani wanita pertama jadi Pengerusi MESRA

SINGAPURA: Buat pertama kalinya, seorang wanita dilantik sebagai pengerusi Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (PA MESRA).

Cik Amatul Jameel Suhani secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi PA MESRA bagi penggal ke-15 badan itu dalam satu majlis pelantikan yang diadakan malam ini (9 Jul).

Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Encik Omar Ismail yang kini akan memainkan peranan sebagai Penaung PA MESRA.

Cik Suhani membawa pengalaman lebih 18 tahun sebagai seorang pemimpin akar umbi.

Antara pelantikannya sebelum ini adalah Naib Pengerusi Majlis Jawatankuasa Penduduk (RCC), Kaunselor Kawasan bagi CDC Tenggara dan juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat Mountbatten.


Di bawah kepimpinannya, para penduduk di kawasan dapat menikmati lebih banyak kegiatan silang kaum dan agama seperti sambutan perayaan Hari Raya dan sebagainya.

Pada 2010, Cik Suhani juga diberikan Anugerah Hari Kebangsaan iaitu Pingat Bakti Masyarakat atas sumbangannya selama ini.

"Saya berasa amat rendah diri diberikan peluang ini untuk menerajui PA MESRA ke hadapan dengan pasukan baru. Kami akan memeriksa strategi-strategi untuk terus meningkatkan dan memperdalamkan usaha mendampingi dan pelibatan bukan saja masyarakat Melayu/Islam tetapi juga rakan bukan Melayu kami. Ini agar dapat mengukuhkan lagi muhibah antara masyarakat," katanya.

25 BELIA TURUT DILANTIK DALAM JAWATANKUASA

Selain pelantikan Cik Suhani, 25 belia daripada pelbagai latar belakang juga dilantik ke dalam Jawatankuasa Kecil Belia PA MESRA. Ia dipimpin Encik Muhd Fauzi Sani.

Beliau sebelum ini adalah anggota Jawatankuasa Eksekutif Belia, RCC dan anggota Lembaga Pentadbiran Masjid Salim Mattar. Baru-baru ini Encik Muhd Fauzi memimpin pasukan yang menganjur Festival Belia M³.

Beliau bersama pasukannya akan bekerjasama dengan MUIS dan MENDAKI di bawah rangka kerja M³.

Mereka akan menjalankan program-program yang melibatkan para pelajar dan juga golongan pekerja muda untuk mewujudkan lebih banyak platform bagi golongan ini meluaskan rangkaian kenalan, mempamerkan bakat dan menjadi penyumbang yang aktif kepada masyarakat.

Dalam satu kenyataan media, PA MESRA menyatakan pihaknya akan terus menggesa dan menggalak Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) untuk bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan akar umbi yang lain untuk meluaskan rangkaian dan sokongan mereka kepada masyarakat yang lebih luas.

Satu latihan berstruktur dan laluan pembangunan juga akan diterbitkan PA untuk meningkatkan kemampuan para pemimpin akar umbi untuk mencapai objektif tersebut.

Secara keseluruhan 27 orang dilantik bagi pucuk kepimpinan PA MESRA ke-15 yang akan berkhidmat selama tiga tahun iaitu hingga 31 March 2022.

Pelantikan mereka turut disaksikan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli, Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim dan Anggota Parlimen GRC Jurong Rahayu Mahzam. 

- BERITAmediacorp/fz

Top