Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amaran jangkitan campak dikeluarkan bagi penumpang SIA ke Auckland

Para penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland dengan menaiki pesawat Singapore Airlines minggu lalu mungkin terdedah kepada individu yang menghidap penyakit campak.

Anggaran Waktu Membaca:
Amaran jangkitan campak dikeluarkan bagi penumpang SIA ke Auckland

Gambar fail pesawat Singapore Airlines. (Gambar: AFP/Fabrice Coffrini)

Diterbitkan : 28 Feb 2018 09:11PM Dikemas Kini : 28 Feb 2018 09:12PM

SINGAPURA: Para penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland dengan menaiki pesawat Singapore Airlines minggu lalu mungkin terdedah kepada individu yang menghidap penyakit campak.

Demikian menurut Khidmat Kesihatan Awam Serantau Auckland (ARPHS) hari ini (28 Feb).

Para penumpang yang menaiki pesawat SQ285 dari Singapura, yang mendarat pada pukul 11.45 pagi (pukul 6.45 pagi, waktu Singapura) pada 22 Februari lalu, perlu melihat sama ada terdapat tanda-tanda jangkitan campak, menurut agensi kesihatan awam itu di lamannya.

Mereka yang duduk di barisan 31 hingga 49 berada paling dekat dengan kes jangkitan campak itu dan paling berisiko, kata seorang Pegawai Perubatan Kesihatan Dr Michael Hale.

Sesiapa yang berada di pintu pesawat atau tempat mengambil bagasi juga mungin dijangkiti.

Penyakit campak boleh dijangkiti hanya dengan berjalan bersebelahan penumpang yang dijangkiti atau semasa duduk dekat dengan mereka di ruang menunggu lapangan terbang, kata Dr Hale.

"Jika sesiapa yang mungkin terdedah tahu bahawa mereka tidak ada perlindungan terhadap penyakit campak, mereka boleh mendapatkan suntikan vaksin yang boleh mencegah simptom-simptomnya."

Tanda-tanda awal campak termasuk demam dan selesema, batuk atau sakit mata, mungkin boleh dilihat esok (1 Mac) atau selama lapan hari, kata Dr Hale.

Ini disusuli dengan munculnya ruam merah pada kulit selepas beberapa hari.

ARPHS menyatakan ia sedang cuba untuk menghubungi penumpang yang duduk berdekatan dengan kes berkenaan.

"ARPHS sedang memeriksa sama ada para penumpang itu mudah dijangkiti penyakit campak dan menawarkan nasihat termasuk suntikan lanjut atau mungkin dipencilkan untuk mencegah virus itu daripada menular," menurut ARPHS.

Dalam kiriman emelnya kepada Mediacorp, Singapore Airlines menyatakan pihaknya sedang bekerjasama dengan ARPHS "bagi memastikan ia mempunyai maklumat yang diperlukan".

Di lamannya, ARPHS menyatakan satu daripada 10 orang dengan penyakit campak memerlukan rawatan di hospital, dengan kes paling serius mungkin menyebabkan hilang daya pendengaran atau otak yang membengkak.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan