Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amalan pembersihan yang lemah mungkin cetus penularan gastroenteritis di sekolah: Grace Fu

Amalan perkemasan (housekeeping) yang tidak mencukupi di sekolah-sekolah dan kelemahan dalam amalan pembersihan mungkin menyebabkan penularan gastroenteritis di institusi-institusi pendidikan baru-baru ini, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu di Parlimen pada Selasa (11 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Amalan pembersihan yang lemah mungkin cetus penularan gastroenteritis di sekolah: Grace Fu

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 11 May 2021 10:38PM Dikemas Kini : 11 May 2021 10:39PM

SINGAPURA: Amalan perkemasan (housekeeping) yang tidak mencukupi di sekolah-sekolah dan kelemahan dalam amalan pembersihan mungkin menyebabkan penularan gastroenteritis di institusi-institusi pendidikan baru-baru ini, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu di Parlimen pada Selasa (11 Mei).

Cik Fu menjawab soalan yang diajukan Anggota Parlimen Hany Soh (PAP- Marsiling-Yew Tee), yang bertanya tentang hasil siasatan yang dijalankan terhadap kejadian tersebut dan apakah tindakan yang diambil untuk menangani kejadian sedemikian dan mencegahnya daripada berulang.

"Bagi kejadian yang berlaku baru-baru ini di institusi-institusi pendidikan, siasatan menunjukkan bahawa amalan perkemasan idak mencukupi di sekolah-sekolah dan kelemahan dalam amalan pembersihan termasuk di dapur sekolah mungkin mencetuskan penularan (gastroenteritis)," kata Cik Fu.

Sejak permulaan 2021, Agensi Makanan Singapura (SFA) dan Kementerian Kesihatan (MOH) menjalankan siasatan secara bersama terhadap 27 kejadian penularan gastroenteritis melibatkan lebih daripada 800 individu, kata Cik Fu.

Daripada semua kejadian itu, 18 terkait institusi-institusi pendidikan termasuk 13 kes yang berlaku di prasekolah.

"Walaupun baru empat bulan berlalu dalam tahun ini, jumlah itu sudah mencecah paras pada tahun 2019, apabila 18 daripada 33 penularan gastroenteritis di institusi-institusi pendidikan berlaku di prasekolah," kata Cik Fu.

Sebagai contoh, beliau mengambil perhatian bahawa agen pembersihan "tidak berkesan" seperti pembersih serba guna digunakan untuk membersihkan tempat-tempat yang dicemari dengan muntah dan najis.

"Penggunaan pembersih serba guna dan bukan pembasmi kuman seperti peluntur yang larut, tidak akan dapat membersihkan dan membasmi kuman pada permukaan tercemar dengan berkesan," kata Cik Fu lagi.

"Papan pemotong dan pisau daging mentah dan makanan yang dimasak didapati disimpan bersama dan tidak diasingkan, justeru meningkatkan risiko pencemaran silang."

Agensi-agensi pemerintah termasuk MOH, Kementerian Pendidikan (MOE), Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak dan SFA sedang bekerjasama untuk mengamalkan "pendekatan berbilang serampang" bagi mengurangkan kejadian sedemikian di institusi-institusi pendidikan, kata Cik Fu.

"Kami khususnya prihatin tentang prasekolah, memandangkan kanak-kanak lebih mudah terjejas," katanya.

Langkah-langkah yang dilaksanakan termasuk mengeluarkan garis panduan dan nasihat kepada sekolah-sekolah tentang kebersihan sekitaran dan amalan keselamatan makanan yang baik, saringan kesihatan kakitangan dan pelajar serta taklimat tentang amalan kebersihan, amalan kebersihan diri dan keselamatan makanan yang baik untuk para guru, pengendali makanan dan pekerja pembersihan, kata Cik Fu.

Selain itu, pihak kementerian juga akan melaksanakan rejim kebersihan sekitaran untuk premis-premis seperti prasekolah di bawah Akta Kesihatan Awam Sekitaran lewat tahun ini, seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Ia adalah usaha bersama untuk menangani penularan (gastroenteritis) di institusi-institusi pendidikan kami. Institusi-institusi pendidikan mesti memainkan peranan mereka untuk memastikan para pelajar mereka selamat dengan mengekalkan piawai kebersihan sekitaran dan diri yang tinggi serta keselamatan makanan pada setiap masa," kata Cik Fu.

"Ibu bapa dan penjaga juga harus memastikan kanak-kanak mereka yang sakit duduk di rumah sehingga mereka sudah pulih bagi menghasilkan sekitaran yang sihat dan selamat bagi semua pelajar."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan