Images
  • Singapore

Amalan Islam toleran di M'sia digugat pemikiran Salafi ekstrim

SINGAPURA: Amalan Islam yang toleran di Malaysia sedang digugat oleh satu bentuk pemikiran Salafi ekstrim.

Demikian pandangan seorang pengamat politik Malaysia, Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Malah menurut beliau, fahaman tegar itu menjadi pegangan ramai tahanan pengganas di Malaysia yang menyertai ISIS.

Beliau berkata demikian di satu seminar anjuran ISEAS-Institut Yusof Ishak.

Tinjauan Pusat Kajian Pew di Amerika Syarikat tahun lalu menunjukkan statistik yang membimbangkan.

11 peratus penduduk Malaysia yang ditinjau didapati menyokong ISIS.

27 peratus pula mengatakan serangan ke atas orang-orang awam, kadang-kala atau selalunya, disifatkan sebagai wajar.

Meskipun majoriti umat Islam di Malaysia berpendirian sederhana, Dr Fauzi berkata bentuk Islam yang difahami dan diamalkan di negara itu sedang melalui perubahan akibat pengaruh fahaman Salafi.

"Fahaman Salafi ini berbentuk satu kerangka pemikiran yang mengarah kepada pandangan-pandangan keagamaan yang kebanyakannya bersifat tidak toleran kepada kepelbagaian yang mana ini menggalakkan lagi pertumbuhan sifat-sifat politik yang contohnya di Malaysia, etnosentrik," menurut Dr Fauzi.

Ia juga merujuk kepada politik yang tidak menerima kepelbagaian masyarakat dan yang meningkatkan ketegangan kaum.

Tambah Dr Fauzi, gelombang baru pengaruh Salafi di Malaysia pada masa ini, tidak tertumpu kepada gerakan atau kumpulan tertentu.

Sebaliknya, ia boleh dikatakan menjejas semua lapisan masyarakat Melayu/Islam.

Ini termasuk rakyat Malaysia yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan radikal.

"Saya sendiri dalam rangka penyelidikan ini menemuramah mereka daripada pasukan khas anti-pengganasan di Bukit Aman, Kuala Lumpur sendiri, kemudian berjumpa dengan tokoh-tokoh yang dikatakan terlibat sama ada di pihak pro atau kontra, menemuramah mereka dan sebagainya. Saya menyimpulkan bahawa trend ini memang wujud,"

Dr Ahmad Fauzi berkata selain di peringkat individu, pengaruh Salafi juga boleh dilihat dalam parti-parti politik dan institusi kerajaan.

Beliau berkata sedang pemikiran Salafi tidak semestinya membawa kepada keganasan, ia adalah satu kemungkinan dan perlu diberi perhatian. 

- BERITAMediacorp/nk

Top