Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah tolak majikan berusia 92 tahun dipenjara

Satu pertengkaran mengenai roti menyebabkan seorang amah menampar majikannya yang berusia 92 tahun lalu menolaknya.

Anggaran Waktu Membaca:
Amah tolak majikan berusia 92 tahun dipenjara

(Gambar fail: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Mar 2020 07:27PM Dikemas Kini : 24 Mar 2020 07:42PM

SINGAPURA: Satu pertengkaran mengenai roti menyebabkan seorang amah menampar majikannya yang berusia 92 tahun lalu menolaknya.

Lelaki warga tua itu kemudian jatuh ke belakang dan mengalami kecederaan tulang belakang termasuk satu keretakan. Beliau dirawat di hospital selama berbulan-bulan dan kini memerlukan bantuan untuk berjalan.

Atas dakwaan sengaja menyebabkan kecederaan parah, warga Myanmar Than Nwe, 33 tahun dijatuhkan hukuman penjara selama setahun dan 10 bulan pada Selasa (24 Mac).

Mahkamah diberitahu mangsa menggajikan Than Nwe pada Mac 2019 untuk menjaga isterinya yang terlantar di atas katil di flat mereka di Chai Chee.

Beberapa bulan selepas mula bekerja untuk pesara itu, Than Nwe bertengkar dengan mangsa pada pagi 28 Jun 2019 mengenai soal pembelian roti.

Mereka bertengkar di bilik tamu dan Than Nwe memberitahu majikannya dia akan pulang ke Myanmar.

Majikannya menjawab beliau "tidak takut meskipun jika dia mahu pulang, dan beliau akan menghantarnya pulang jika dia mahu," kata Timbalan Pendakwa Raya Sunil Nair.

Amahnya itu kemudian mendekati majikannya lalu menamparnya.

Mangsa cuba mengelak namun beliau ditampar hingga hilang imbangan dan berpaut pada sebuah meja untuk sokongan.

Mangsa kemudian mengangkat kedua-dua belah tangannya untuk melindungi dirinya dan bergerak ke arah Than Nwe.

Satu pergelutan kemudian berlaku sebelum Than Nwe menolak mangsa, menyebabkan beliau terjatuh ke belakang.

Sebahagian daripada pertengkaran itu dirakam menerusi kamera litar tertutup yang dipasang di ruang tamu.

Apabila menyedari majikannya tidak dapat bergerak, Than Nwe menekan butang kecemasan dalam rumah itu dan memberitahu operator dalam talian bahawa mangsa telah terjatuh. Dia cuba membantu mangsa sementara menunggu ketibaan ambulans.

Mangsa mengalami keretakan pada tulang belakang dan kecederaan tulang belakang yang lain, dan perlu menjalani pembedahan.

Beliau dirawat di Hospital Besar Changi selama lebih dua bulan dan dipindahkan ke Hospital Masyarakat St Andrew's untuk menjalani pemulihan untuk sebulan lagi.

Menurut dokumen mahkamah, mangsa masih mengalami kesukaran berjalan dan memerlukan bantuan untuk bergerak.

Hakim Daerah Marvin Bay memberitahu amah itu bahawa dia boleh mengelakkan pertikaian itu kerana terdapat "perbezaan besar dalam usia dan kekuatan".

"Meskipun saya terima bahawa perbuatan anda bukan terancang kerana anda tidak membuat sebarang rancangan untuk menyebabkan kecederaan serius kepada mangsa sebelum pertengkaran itu, namun anda menolak mangsa dengan sengaja dan pastinya dengan sangat kuat," kata Hakim Bay.

Than Nwe boleh dikenakan hukuman penjara hingga 10 tahun dan didenda. Dia tidak boleh disebat kerana dia seorang wanita.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan