Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah seksa bayi dengan pisau dijel 9 bulan; kirim video dera kepada kekasih

Seorang pembantu rumah warga Filipina dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan atas kesalahan mendera bayi majikannya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Amah seksa bayi dengan pisau dijel 9 bulan; kirim video dera kepada kekasih

(Gambar hiasan: Olexander Zobin/ AFP)

Diterbitkan : 14 Jul 2018 12:07PM Dikemas Kini : 14 Jul 2018 12:13PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah warga Filipina dijatuhi hukuman penjara selama sembilan bulan atas kesalahan mendera bayi majikannya. Leslie Ann Belmonte Dieza juga didakwa merakam perbuatan kejamnya menggunakan telefon bimbit dan mengirimkan video-video bayi itu menangis kesakitan kepada kekasihnya.

Wanita berusia 36 tahun itu tiba di Singapura dan mula bekerja sebagai seorang pembantu rumah pada 2016.

Dia sudah berkahwin dengan seorang penyelaras logistik, yang juga bekerja di Singapura. Namun pasangan itu berdepan dengan masalah rumah tangga selepas Dieza menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain, yang dikenali sebagai Raymond.

Dieza melakukan kesalahan-kesalahan itu pada 11 April tahun ini, di sebuah unit kondominium majikannya yang berasal dari Australia.

Dia menjaga anak lelaki majikannya, yang ketika itu berusia setahun, semasa dia bertengkar dengan Raymond melalui panggilan video Facebook antara 2.00 hingga 3.00 petang.

Dieza memutuskan untuk merakam video dirinya mendera bayi itu - yang tidak dinamakan atas perintah mahkamah - untuk membuktikan kepada Raymond bahawa dia boleh melakukan apa sahaja ketika berasa marah, menurut dokumen mahkamah.

Bayi itu sedang baring di atas katil dan hampir terlelap apabila Dieza meletakkan telefon bimbitnya di sisi katil dan mula merakam kejadian.

Dalam rakaman yang berdurasi 1 minit 34 saat, Dieza kelihatan membenamkan muka bayi itu ke katil, menutupnya dengan bantal dan 'menggoncangnya'. Dia juga mengangkat bayi itu dengan menarik rambutnya sebelum menghempasnya ke atas bantal.

Sepanjang insiden itu, bayi tersebut menangis dan meraung kesakitan.

Pada hari yang sama, Dieza sekali lagi merakam dirinya mendera bayi itu ketika kedua-duanya berada di dapur.

Kali ini, Dieza menarik lengan bayi itu dan beberapa kali memukul punggungnya dengan menggunakan belakang pisau yang dipegangnya.

Bayi itu menangis dan menjerit kesakitan dalam rakaman berdurasi 35 saat.

VIDEO DIKIRIM KE SUAMI TERTUDUH

Dieza mengirimkan dua video tersebut kepada Raymond, yang menyuruh saudara perempuannya menghubungi suami Dieza. Klip-klip video itu kemudian dikirimkan kepada suaminya yang memutuskan untuk bertemu Dieza.

Pasangan itu bertengkar ketika mereka bertemu.

Suaminya menelefon polis, dan mendakwa bahawa isterinya tidak boleh menjaga seorang kanak-kanak.

Beliau berkata: "Isteri saya Leslie Ann bekerja sebagai seorang pembantu rumah. Dengan keadaannya, dia tidak sepatutnya menjaga seorang kanak-kanak."

Beliau menambah bahawa Dieza memberitahunya bahawa dia baru sahaja dimarahi oleh majikannya ketika itu dan "dia tidak boleh menerimanya sama sekali".

"Saya bimbang akan keselamatan bayi itu dan juga bimbang jika saya akan kehilangan pekerjaan saya gara-gara perbuatannya," katanya lagi.

Dieza diberkas di kondominium berkaitan pada malam itu, dan bayi tersebut dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.

Doktor mendapati bayi itu mengalami lelasan sepanjang 1 sentimeter di kakinya dan dua luka kecil yang sudah berkuping di belakang tubuhnya. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan