Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah Indonesia dipenjara 1 tahun kerana simbah anak majikan dengan minyak panas

Seorang pembantu rumah Indonesia dijatuhi hukuman penjara setahun hari ini (15 Dis) kerana menyimbah minyak panas pada anak majikannya, menyebabkan remaja 14 tahun itu mengalami kelecuran.

Anggaran Waktu Membaca:
Amah Indonesia dipenjara 1 tahun kerana simbah anak majikan dengan minyak panas

Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 15 Dec 2017 07:32PM Dikemas Kini : 15 Dec 2017 07:40PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah Indonesia dijatuhi hukuman penjara setahun hari ini (15 Dis) kerana menyimbah minyak panas pada anak majikannya, menyebabkan remaja 14 tahun itu mengalami kelecuran.

Sugianti, 34 tahun, sudah bekerja dengan keluarga itu sekitar lima bulan apabila dia bergaduh dengan remaja berkenaan pada 15 Februari.

Semasa Sugianti menggoreng ayam untuk sarapan sekitar pukul 8.00 pagi, dia menuduh remaja itu menumpahkan air di lantai kira-kira dua hari sebelumnya sehingga saudara perempuan remaja itu tergelincir dan jatuh.

Disebabkan rasa sakit hati, remaja itu kemudian menolak rak-rak yang menyimpan barang-barang milik Sugianti.

Ini menimbulkan kemarahan Sugianti yang menjerit ke arah remaja berkenaan. Remaja itu membalas dengan menjerit ke arah Sugianti, sebelum kembali ke ruang tamu untuk menonton televisyen.

Selepas itu, dia meletakkan semula barangan Sugianti kerana bimbang dimarahi bapanya atas perbuatan nakal tersebut.

Apabila Sugianti, yang masih di dapur, terus memarahinya, remaja itu masuk ke dapur, menutup mulut dan menarik rambut pembantu rumahnya.

Pembantu rumah itu kemudian menghayun kuali dan memanggil remaja itu "anak Setan". Remaja berkenaan membalas dengan mencakar muka Sugianti.

Setelah Sugianti selesai menyiapkan sarapan, dia mengambil kuali yang masih penuh dengan minyak panas.

Sugianti membuka pintu tandas di mana remaja itu berada lalu menyimbah minyak panas tersebut.

Disebabkan perbuatannya itu, tangan dan peha kanan remaja itu melecur.

Sugianti menyerang remaja itu semasa dia sedang "dalam keadaan mudah diserang dan di tempat yang terbatas", menurut Timbalan Pendakwa Raya Chong Kee En.

Pembantu rumah itu juga "mencemuh remaja berkenaan dengan meyuruhnya supaya jangan 'berlagak berani'" malah mengetuk peha kanannya dengan kuali tersebut sedangkan dia tahu remaja itu mengalami kelecuran, kata Encik Chong.

Meskipun remaja itu "juga memainkan sebahagian peranan" menimbulkan pertelagahan tersebut sebelum serangan berlaku, Sugianti tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri", tegas pendakwa raya itu.

"Tiada alasan untuk seseorang pembantu rumah melakukan keganasan apabila dia mempunyai masa dan peluang untuk mendapatkan bantuan dari saluran yang betul dan sah," tambah Encik Chong.

Beliau juga berkata takat didih minyak masak adalah sekitar 300°C, manakala takat didih bagi air adalah 100°C.

Jeritan remaja itu mengejutkan saudara perempuannya, yang membantu merawat kecederaannya dan membawanya ke doktor pada keesokan harinya.

Remaja itu dirawat bagi masalah kelecuran, termasuk melecur pada peha kanannya.

Sugianti juga dirawat dan kesan cakar dilihat pada bahagian bawah mata kanannya.

Atas kesalahan menyebabkan kecederaan dengan bahan panas, Sugianti boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan