Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah dipenjara kerana pukul budak, sumbat mulutnya dengan cili padi

Seorang pembantu rumah Indonesia menyumbat cili padi ke dalam mulut budak perempuan berusia tujuh tahun yang dijaganya, sebelum merotannya dan menghentak kepalanya dengan papan cakar kucing. Ini semua dilakukannya kerana budak itu terkencing dalam seluar dan enggan melakukan kerja sekolah di rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Amah dipenjara kerana pukul budak, sumbat mulutnya dengan cili padi

Gambar hiasan (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 10 Dec 2018 05:55PM Dikemas Kini : 10 Dec 2018 06:00PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah Indonesia menyumbat cili padi ke dalam mulut budak perempuan berusia tujuh tahun yang dijaganya, sebelum merotannya dan menghentak kepalanya dengan papan cakar kucing. Ini semua dilakukannya kerana budak itu terkencing dalam seluar dan enggan melakukan kerja sekolah di rumah.

Hamida, 33 tahun, dijatuhkan hukuman penjara enam bulan pada Isnin (10 Dis) selepas mengaku bersalah di atas satu pertuduhan salah laku ke atas budak itu di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA).

Insiden berlaku pada 27 Julai lalu apabila Hamida - yang sudah bekerja selama tujuh tahun dengan keluarga itu - berada di rumah bersama mangsa dan kakaknya yang berusia sembilan tahun.

Mahkamah difahamkan bahawa mangsa terkencing dalam seluarnya petang itu. Apabila ditanya oleh Hamida mengapa seluarnya basah, mangsa hanya mendiamkan diri.

Mangsa juga dikatakan enggan membuat kerja sekolahnya. Lantas, Hamida mengambil cili padi sepanjang satu hingga dua sentimeter dari peti sejuk dan menyumbatnya ke dalam mulut mangsa.

Dia kemudian menyebat bahu mangsa dan menggunakan papan cakar kucing seberat 1.3 kilogram untuk menghentak bahagian tepi kepala mangsa.

Apabila ibu mangsa pulang, kakak mangsa menceritakan apa yang berlaku. Si ibu membuat aduan polis selepas mendapati kecederaan pada sisi kiri kepala mangsa.

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara sekurang-kurangnya enam bulan, sambil menarik perhatian bahawa Hamida "dengan sengaja menggunakan cili padi" melibatkan unsur kekejaman kerana Hamida tahu mangsa takut dengan makanan pedas.

Hamida, yang tidak mempunyai wakil guaman, berkata dia tidak mempunyai apa-apa yang ingin dikatakan sebagai pembelaan. Atas kesalahannya, dia boleh dihukum penjara sehingga empat tahun, didenda S$4,000 atau keduanya sekali.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan