Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah dibicara, campur darah haid, air kencing dalam makanan majikan

Seorang pembantu rumah berusia 44 tahun yang dituduh mencampur air kencing dan darah haid ke dalam makanan majikannya, mula dibicarakan di sebuah Mahkamah Negara pada Isnin (23 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Amah dibicara, campur darah haid, air kencing dalam makanan majikan

Gambar fail: Calvin Oh

Diterbitkan : 23 Aug 2021 06:34PM Dikemas Kini : 23 Aug 2021 06:37PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah berusia 44 tahun yang dituduh mencampur air kencing dan darah haid ke dalam makanan majikannya, mula dibicarakan di sebuah Mahkamah Negara pada Isnin (23 Ogos).

Warga Filipina, Rowena Ola Canares mencabar satu tuduhan melakukan perbuatan nakal.

Majikannya, seorang jurutera sofwe yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah untuk melindungi identitinya, memberi keterangan di mahkamah pada pagi Isnin tentang bagaimana beliau mendapat tahu mengenai kesalahan tersebut apabila bekas teman lelaki Canares menghantar pesanan teks kepada wanita itu melalui WhatsApp.

Namun peguam Canares berhujah bahawa amah itu berbohong kepada bekas teman lelakinya mengenai perbuatan itu dan pada hakikatnya tidak melakukan kesalahan tersebut.

Bekas teman lelakinya meninggal dunia akibat barah tahap akhir.

Canares mula bekerja bersama keluarga tersebut pada Mei 2017. Selepas dua tahun, kontraknya dilanjutkan selama dua tahun lagi.

Tugasnya termasuk memasak untuk keluarga majikannya di flat mereka di Sengkang dan kadangkala menjaga anak-anak majikannya yang kini berusia tujuh dan tiga tahun serta isteri dan mak mertua majikannya.

Canares bekerja dari pukul 6.30 pagi hingga 10 malam setiap hari dan lazimnya diberi cuti pada hari Ahad, menurut majikannya.

PADA MALAM PERBUATANNYA TERBONGKAR

Majikannya memberitahu mahkamah bahawa pada kira-kira pukul 11.15 malam, 15 Dis 2019, beliau menerima pesanan teks WhatsApp dari nombor yang tidak dikenali.

Beliau dapat cam muka bekas teman lelaki Canares melalui gambar profil pengirim itu kerana pembantu rumahnya itu pernah menunjukkan kepada beliau dan isterinya gambar lelaki berkenaan.

"Beliau menghantar mesej (kepada saya dan isteri saya) yang mengatakan bahawa Canares membubuh darah haid dan air kencing ke dalam makanan yang dihidangkan kepada keluarga saya. Saya terkejut," kata lelaki itu.

Petikan mesej itu yang dihantar oleh bekas teman lelaki Canares kepada majikannya, ditayangkan di mahkamah, yang memaparkan Canares sebagai berkata: "Sebelum pergi cuti ke India, aku lakukan satu kali."

Majikannya menjelaskan di mahkamah bahawa keluarga beliau pernah pergi cuti pada Ogos tahun itu selama dua minggu.

Pada malam yang sama, majikan Canares dan isterinya pergi ke balai polis berdekatan untuk melaporkan hal itu.

Dua pegawai polis mengunjungi rumah mereka lalu bercakap dengan Canares.

"Pada satu ketika, apabila pegawai polis melakukan siasatan, saya terdengar dia katakan bahawa dia melakukan perbuatan itu, membubuh kedua-dua bahan itu ke dalam makanan saya.

"Katanya, 'minta maaf tuan, minta maaf puan', berkali-kali. Tentu sekali, saya tidak menerima permohonan maafnya," kata majikannya itu.

Canares tidak diberkas pada lewat petang itu. Dia tinggal di rumah majikannya selama beberapa hari sehingga 26 Dis, apabila seorang pegawai penyiasat memberitahu majikannya untuk membawa wanita itu ke ibu pejabat Divisyen Polis Woodlands.

Menurut majikannya lagi, beliau tidak boleh membawa Canares ke agensi pembantu rumah kerana beliau menggajikannya secara langsung.

Perbicaraan kes tresbut diteruskan pada lewat petang ini.

Jika didapati bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan nakal, Canares boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan