Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Amah dibebaskan hukuman curi barangan keluarga pengerusi CAG; rahsiakan sengketa dari keluarga sendiri

Seorang pembantu rumah warga Indonesia, yang dibebaskan daripada tuduhan mencuri barang-barangan bernilai S$34,000 daripada keluarga pengerusi Changi Airport Group (CAG) Liew Mun Leong dan keluarganya, berkata beliau "tidak pernah terfikir" untuk mengaku bersalah dan mahu keadilan ditegakkan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Amah dibebaskan hukuman curi barangan keluarga pengerusi CAG; rahsiakan sengketa dari keluarga sendiri

Parti Liyani bercakap di satu sidang media setelah dibebaskan daripada hukuman mencuri S$34,000 daripada pengerusi Changi Airport Group.

Diterbitkan : 05 Sep 2020 01:04PM Dikemas Kini : 05 Sep 2020 01:06PM

SINGAPURA: Seorang pembantu rumah warga Indonesia, yang dibebaskan daripada tuduhan mencuri barang-barangan bernilai S$34,000 daripada keluarga pengerusi Changi Airport Group (CAG) Liew Mun Leong dan keluarganya, berkata beliau "tidak pernah terfikir" untuk mengaku bersalah dan mahu keadilan ditegakkan.

Cik Parti Liyani, 46 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun dan dua bulan pada Mac 2019 setelah seorang hakim daerah sabit kesalahan ke atasnya atas empat tuduhan mencuri. Pada Jumaat (4 Sep), sabitan itu dibatalkan berikutan rayuan oleh Cik Parti.

Di satu sidang media pada lewat petang Jumaat, Cik Parti menggambarkan cabaran-cabaran yang ditempuhinya sejak tuduhan-tuduhan itu pertama kali dibuat.

“Saya mahu keadilan ditegakkan selama empat tahun ini. Saya tidak dibenarkan bekerja dan terkandas di Singapura selama empat tahun dan tidak dapat bekerja," katanya melalui seorang jurubahasa.

Peguam wanita itu, Encik Anil Balchandani, yang mengambil kes itu secara sukarela, berkata Cik Parti tidak dapat mengisi waktu terluangnya kerana beliau tidak dibenarkan bekerja.

“Sedang kes ini dijalankan, saya merahsiakan semua berita daripada keluarga saya," kata Cik Parti.

“Jadi saya cuba sedaya upaya untuk mengelakkan keluarga saya daripada mengetahui tentang kes saya. Mereka tidak tahu.

“Saya terutamanya tidak mahu ibu saya tahu kerana beliau sudah uzur dan saya tidak mahu beliau jatuh sakit. Jadi saya memberitahu ibu bahawa saya ada masalah dengan majikan tetapi tidak sampai ke tahap di mana kes saya dibicarakan."

"Saya tidak dapat menyara keluarga dan kampung halaman saya tetapi sebelum perbicaraan, saya sudah memberitahu keluarga bahawa saya tidak akan mendapat wang dan meminta maaf kepada mereka," tambahnya.

Ketika menjelaskan keputusan untuk membebaskan Cik Parti, Hakim Chan Seng Onn pada Jumaat berkata "kewujudan motif yang tidak wajar oleh anggota keluarga Liew" kerana menimbulkan tuduhan terhadap beliau adalah antara sebabnya.

Pada 28 Oktober 2016, Cik Parti diberhentikan kerja oleh Encik Liew setelah wanita itu disyaki mencuri barang-barang dari rumah keluarga pengerusi CAG tersebut.

Beliau mengancam akan membuat aduan kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) setelah diminta membersihkan rumah anak lelaki Encik Liew dan pejabatnya buat beberapa kali.

"Menurut pertimbangan saya, ada alasan untuk mempercayai bahawa keluarga Liew, setelah menyedari rasa tidak puas hati Cik Parti, mengambil langkah pertama untuk memberhentikannya secara tiba-tiba tanpa memberinya masa yang cukup untuk berkemas, dengan harapan Cik Parti tidak akan menggunakan masa tersebut untuk membuat aduan kepada MOM,” kata Hakim Chan.

"Sebaik sahaja beliau menyatakan hasratnya untuk mengadu kepada MOM setelah pemberhentian mendadak itu pada 28 Oktober 2016, keluarga Liew mengambil langkah susulan dengan memfailkan aduan polis bagi memastikan kepulangannya ke negara ini akan dihalang.

"Pada pandangan saya, keluarga Liew mungkin tidak membuat aduan polis sekiranya Cik Parti tidak menyuarakan ancamannya pada 28 Oktober 2016 untuk mengadu perkara itu kepada MOM."

Pada 2 Disember 2016, Cik Parti diberkas di Lapangan Terbang Changi sekembalinya ke Singapura untuk mencari kerja. Beliau didakwa pada Ogos 2017.

Mahkamah juga mendapati banyak barang yang dituduh dicuri oleh Cik Parti "dirosakkan, pecah atau tidak bernilai" kepada pihak pemilik.

Cik Parti berkata pada Jumaat malam: "Saya sudah memaafkan majikan saya. Saya cuma berharap mereka tidak melakukan perkara sama kepada pekerja lain sepertimana mereka memperlakukannya pada saya."

“Saya tidak ada rancangan untuk kembali ke Singapura bagi mencari pekerjaan baru," tambah beliau. Cik Parti tinggal di rumah perlindungan Pertubuhan Kemanusiaan bagi Ekonomi Penghijrahan (HOME) sepanjang tempoh tiga tahun setengah sementara menantikan keputusan kesnya.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan