Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aliff Aziz, Aaron Aziz bakal kongsi pengalaman 'bangkit selepas jatuh' 7 Mei ini

Setelah lama menyepi, penyanyi dan pelakon yang sejak lalu banyak dibelenggu kontroversi, Aliff Aziz, akan muncul di khalayak ramai dalam satu rancangan 'talkshow'.

Anggaran Waktu Membaca:
Aliff Aziz, Aaron Aziz bakal kongsi pengalaman 'bangkit selepas jatuh' 7 Mei ini

(Gambar: Petikan skrin laman Facebook/ Jamiyah Singapore)

SINGAPURA: Setelah lama menyepi, penyanyi dan pelakon yang sejak lalu banyak dibelenggu kontroversi, Aliff Aziz, akan muncul di khalayak ramai dalam satu rancangan 'talkshow'.

Rancangan bual bicara menerusi Facebook Live itu, yang berlangsung pada Khamis ini (7 Mei), 9.30 malam.

Ia akan turut menampilkan seorang lagi pelakon Singapura yang sudahpun menempa nama di Malaysia, iaitu Aaron Aziz. Suhaimi Yusof pula bertindak selaku hos rancangan ini.

Ia merupakan rancangan 'talkshow' online pertama anjuran Persatuan Jamiyah Singapura secara langsung menerusi laman Facebook Jamiyah.

Dalam satu siaran media yang turut dikirimkan kepada BERITAmediacorp, Jamiyah menyatakan 'talkshow' itu mengetengahkan topik 'Rise from a Fall' atau 'Bangkit selepas Jatuh'.

"Sesi perkongsian ini diharap dapat memberi perangsang kepada orang ramai yang sedang menjalani liku-liku kehidupan agar terus bersabar dan tabah, dan gigih berusaha dalam mendapatkan bantuan daripada ahli keluarga dan agensi-agensi perkhidmatan social yang ada," menurut siaran media Jamiyah itu.

ALIFF KONGSI PENGALAMAN 'JATUH', AARON TENTANG 'BANGKIT'

Bual bicara itu akan dibahagikan kepada beberapa segmen, menurut pihak penganjur.

Segmen bersama Aliff Aziz akan berkongsi tentang pengalamannya berkaitan ‘Jatuh’.

Segmen bersama Aaron Aziz pula akan membicarakan tentang ‘Bangkit’ – iaitu bagaimana untuk berjaya dalam hidup serta dalam industri yang dipilih sebagai kerjaya.

Segmen-segmen seterusnya akan mengetengahkan rumusan dan tips-tips oleh Ustaz Mizi Wahid serta peranan Jamiyah dalam membantu Aliff dan golongan yang memerlukan dalam masyarakat.

Tahun lalu, Aliff dihadapkan ke mahkamah atas dua tuduhan mencuri dalam dua kes berasingan dan kemudian insiden dia ditangkap polis di Orchard Road setelah dikatakan mengganggu ketenteraman awam.

Pada awal tahun ini muncul pula video yang tular menunjukkan Aliff berkelakuan tidak senonoh.

Aliff bercerai dengan isterinya Bella Astilah pada Mei tahun lalu. Tetapi bulan lalu Bella mengesahkan bahawa dirinya sudah kembali merujuk dengan Aliff sebagai suaminya.

Rancangan bual bicara berjudul 'Seindah Kata Orang Kita' itu akan berlangsung selama sejam. Ia akan turut menampilkan Pengarah Jabatan Pendampingan dan Pembangunan Masyarakat (CODD) Jamiyah, Abdul Halim Aliman.

Sesi 'Facebook Live' itu boleh ditonton di laman 'Jamiyah Singapore' dan 'Suhaimi Yusof Yusof Official'.  

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan