Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Alat pemantau kecergasan HPB bernilai lebih S$5 juta terbiar, lapor AGO

Alat-alat pemantau kecergasan bernilai lebih S$5 juta yang dibeli oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) terbiar tidak digunakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Alat pemantau kecergasan HPB bernilai lebih S$5 juta terbiar, lapor AGO

Alat pemantau kecergasan. (Gambar fail: Pexels/Ketut Subiyanto)

Diterbitkan : 22 Jul 2021 04:50PM Dikemas Kini : 22 Jul 2021 04:54PM

SINGAPURA: Alat-alat pemantau kecergasan bernilai lebih S$5 juta yang dibeli oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) terbiar tidak digunakan.

Demikian menurut Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) dalam laporan yang dikeluarkan hari ini (22 Jul).

Baki stok alat pemantau yang dibeli bagi program Cabaran Langkah Kebangsaan sepanjang tempoh lima tahun dari 2015 ditemui semasa pemeriksaan AGO pada bulan November tahun lalu. Alat-alat pemantau itu diberikan percuma kepada peserta yang layak dan berdaftar untuk menyertai cabaran tersebut bagi menggalak orang ramai supaya lebih banyak bersenam.

AGO menemui 268,191 alat pemantau kecergasan itu semasa pemeriksaannya. HPB kemudian membuat kiraan penuh stok pada bulan Januari tahun ini dan menjumpai lebih banyak lagi alat tersebut yang belum digunakan - iaitu sebanyak 341,208 bernilai S$5.39 juta.

Setiap alat berharga antara S$10.38 dengan S$24.90, bergantung kepada modelnya.

Tali dan permukaan bagi sebahagian alat pemantau yang belum digunakan itu malah sudah bercendawan. Waranti dua tahun bagi 65 peratus alat tersebut juga sudah luput, manakala waranti bagi baki alat akan luput menjelang Disember tahun ini, menurut AGO.

"Lebihan alat pemantau yang tidak digunakan oleh HPB menyebabkan jumlah pembaziran yang besar dalam dana awam bagi tempoh lima tahun lalu, memandangkan kebolehgunaan alat-alat itu merosot disebabkan tarikh luput waranti dan teknologi yang kian usang," menurut AGO lagi.

Ia menambah proses HPB juga "tidak cukup" dalam memastikan pengagihan alat pemantau kecergasan itu dipantau dengan betul.

Pengagihan alat-alat tersebut serta pengambilannya melibatkan proses manual dan berbilang pihak luar seperti pembekal dan penganjur acara.

"Bagaimanapun, tidak ada proses yang betul untuk memantau keluar masuk alat tersebut serta stok alat-alat itu," menurut AGO, sambil menambah rekod yang ada "berpecah-pecah dan tidak lengkap". Tiada juga langkah memeriksa stok dari masa ke masa.

Selain itu, tiada bukti dokumen tentang skop atau keputusan daripada pemeriksaan tahunan ke atas stok yang dijalankan oleh HPB di gudang pembekal luar.

Menurut AGO pemeriksaan yang dijalankan ke atas stok di gudang itu menunjukkan kurang jumlah alat pemantau berbanding rekod yang dicatat oleh HPB dan pembekal.

Menyusuli pemeriksaan AGO, HPB menggabungkan rekod-rekodnya dan mendapati ada kurang 17,909 alat pemantau kecergasan bernilai S$720,000.

KELEMAHAN DALAM AKAUN PROGRAM KESETIAAN HPB

AGO juga mendapati terdapat kelemahan-kelemahan dalam pengurusan program kesetiaan HPB antara April 2018 dengan Jun 2020.

Program kesetiaan yang dilancarkan oleh HPB pada 2017 itu membolehkan anggotanya meraih dan mengumpulkan mata menerusi satu aplikasi. Mata terkumpul itu kemudian boleh dimanfaatkan untuk menebus hadiah daripada peniaga. HPB kemudian akan membayar balik peniaga terbabit.

Kelemahan itu termasuk dalam membuka dan menguruskan akaun-akaun anggota program kesetiaan itu, membuat secara manual penyesuaian mata dan ganjaran serta pemantauan ke atas akaun yang digantung.

Kelemahan-kelemahan itu boleh "mendedahkan HPB kepada risiko individu memanipulasikan sistem tersebut", tambah AGO.

Antara masalah yang dikesan adalah penggunaan 594 akaun program kesetiaan milik anggota yang sudah meninggal dunia. Akaun-akaun itu digunakan untuk meraih mata dan memperoleh ganjaran, dengan 139 daripada akaun itu dibuka selepas tarikh kematian seseorang anggota.

Jumlah mata bernilai S$14,900 dikumpulkan oleh akaun-akaun sedemikian, yang mana S$6,300 daripadanya sudahpun ditebus dan dibayar balik oleh HPB.

HPB sudahpun menyekat 594 akaun tersebut dan membuat aduan polis.

"TERLEBIH ANGGARAN PERMINTAAN", MENURUT HPB

Dalam kenyataannya hari ini, HPB menyatakan ia sudah mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan dan memperkukuh proses-prosesnya.

Jumlah pendaftaran dalam program Cabaran Langkah Kebangsaan meningkat lebih lima kali ganda dari 156,000 pada Musim 1 kepada 900,000 pada Musim 5, tambah HPB.

"Terdapat lebihan jumlah alat pemantau kecergasan yang dibeli bagi musim-musim yang lalu disebabkan (kami) terlebih menganggarkan permintaan," menurut seorang jurucakap HPB.

Ini disebabkan agensi itu "terlebih dahulu" menambah stok alat pemantau kecergasan setiap musim berdasarkan minat daripada orang awam, menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama dan beratur panjang semasa pengambilan alat tersebut.

Menurut AGO dalam laporannya, HPB sudah mula membuang lebihan alat pemantau dari tiga musim pertama Cabaran Langkah Kebangsaan memandangkan ia kini sudah lapuk.

Dalam kenyataannya, HPB menyatakan daripada 341,208 lebihan alat pemantau, 120,000 masih berfungsi.

Hampir 48,000 sudah digunakan sebagai pengganti dan pertukaran bagi alat pemantau yang rosak dan yang sudah luput waranti.

"Bakinya akan terus diperuntukkan sebagai pengganti dan bagi pertukaran serta untuk menyokong rakan-rakan masyarakat, syarikat dan agensi-agensi pemerintah yang lain dalam inisiatif-inisiatif kesihatan dan kesejahteraaan mereka," menurut HPB.

HPB menambah, ia akan bersikap "lebih berhemah" dalam anggarannya bagi program-program akan datang, sambil menambah pembelian alat-alat pemantau kecergasan hanya akan dibuat selepas lebihan tempahan diterima daripada peserta.

Jurucakap itu menyatakan, HPB juga sudah mempertingkat proses-prosesnya dari segi pemantauan keluar masuk dan stok alat-alat tersebut.

Agensi itu sudah melaksanakan proses automatik untuk memantau dan menguruskan permintaan pengguna untuk mengemas kini mata yang diraih dan juga ganjaran di bawah program kesetiaannya, yang mempunyai lebih 700,000 orang.

Menjelang September tahun ini, akaun pengguna yang akan digantung dilakukan secara automatik, dengan laporan-laporan berkala dikeluarkan bagi semakan. Ia juga akan menjalankan "kerja-kerja kemas kini" untuk menyekat akaun-akaun tidak sah, seperti yang didaftarkan menggunakan nombor kad pengenalan orang yang sudah meninggal dunia.

"HPB sedang dalam proses menentukan jumlah lebihan pembayaran yang dibuat bagi akaun-akaun tidak sah seumpama itu dan akan mengambil tindakan untuk mendapat balik hadiah-hadiah daripada mereka yang melakukan tebusan secara tidak sah," menurut HPB, sambil menambah ia "memandang serius" sebarang kegiatan palsu.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan