Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Alami Musa dedah tentang ajakan masuk politik, berapa kerap 'campur tangan' pemerintah, nasihat kepada penggantinya

Ini semestinya bukan bakat biasa. Beliau mengaku sudah enam hingga tujuh kali ditawarkan supaya bertanding dalam pilihan raya umum di bawah tiket Parti Tindakan Rakyat (PAP). Tapi beliau menolak tawaran-tawaran tersebut bagi setiap enam tujuh kali itu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ini semestinya bukan bakat biasa. Beliau mengaku sudah enam hingga tujuh kali ditawarkan supaya bertanding dalam pilihan raya umum di bawah tiket Parti Tindakan Rakyat (PAP). Tapi beliau menolak tawaran-tawaran tersebut bagi setiap enam tujuh kali itu.

Demikian pengakuan Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Encik Mohammad Alami Musa, yang akan melepaskan jawatan tersebut pada 6 Ogos ini.

"Saya kali pertama diundang (menyertai politik) pada 1984 oleh Dr Ahmad Mattar. Saya seorang jurutera di Kementerian Sekitaran. Saya rasa hampir setiap pilihan raya saya diundang.

Sehingga pada satu hari saya makan tengah hari dengan mereka dan mereka kata 'Alami, anda tidak perlu melalui proses (saringan) tersebut'," dedah Encik Alami yang berkata bahawa kali terakhir beliau cuba disunting PAP ialah ketika beliau berumur 54 atau 55 tahun, semasa beliau sedang menjadi Presiden MUIS.

Berdasarkan bakat kepimpinannya, Encik Alami mungkin sudah menjadi seorang menteri jika beliau menerima ajakan politik itu. Namun laluan yang beliau pilih adalah membuat sumbangan untuk masyarakat dan negara di luar bidang politik.

Beliau akhirnya kekal dengan MUIS selama 18 tahun selaku Presidennya sekali gus mencatat rekod sebagai orang paling lama memegang jawatan tersebut di institusi Islam terpenting Singapura itu.

Sumbangan Encik Alami menerusi MUIS memang cukup banyak. Ini termasuklah menggerakkan gagasan Identiti Muslim Singapura (SMI), memperkukuh pembangunan asatizah tempatan termasuk menubuhkan Akademi MUIS, merubah kelas-kelas agama di masjid-masjid menerusi program aLIVE, membentuk Sistem Madrasah Bersama (JMS) serta banyak melakar usaha memperkukuh keharmonian berbilang agama di negara sekular lagi majmuk ini.

Ini dari mulut Encik Alami sendiri, semasa diwawancara pihak media pada Khamis (29 Jul) sebelum pengundurannya dari MUIS:

"Alhamdulillah, sejak 10 tahun saya berjawatan Presiden Eksekutif MUIS, saya telah kira mungkin dalam 24 idea baru yang telah diinstitusikan oleh MUIS untuk masyarakat Islam - daripada penubuhan Akademi MUIS, daripada penubuhan Yayasan Rahmatan Lil Aalamin, kepada Pusat Harmoni, program pembangunan asatizah, program skim membantu anak-anak miskin dalam madrasah kita."

BAGAIMANA AKHIRNYA ALAMI MUSA TINGGALKAN MUIS...

Encik Alami Musa menyampaikan ucapan di sidang Singapore Perspectives 2021 pada Jan 2021. (Gambar fail: TODAYonline)

Ditanya wartawan apakah beliau ada sebarang rasa kesal atau 'perjuangan yang belum selesai' sebelum meninggalkan MUIS minggu hadapan, Encik Alami menjawab:

"Saya tidak kesal memberitahu Menteri Masagos bahawa saya mahu meletak jawatan... Saya seharusnya sudah meninggalkan MUIS pada 2013, tapi saya diminta kekal selama setahun. Muncul tahun 2014, dan 2015 dan setahun lagi menjadi 2016.

"Pada 2018 ada perubahan menteri. Sebelum saya dapat berkata apa-apa saya diminta kekal selama setahun lagi. pada 2019, saya kata - menurut kata orang Melayu - 'tak game-game'. Jadi akhirnya tahun ini... tiga bulan lalu - saya belum pernah lakukan ini - saya tulis surat kepada Menteri Masagos dan berkata bahawa penggal saya akan tamat 6 Ogos.

"Sudah tiba masanya untuk anda menamakan pengganti dan untuk saya melakukan peralihan."

Sejurus berkata demikian dalam wawancara ini, Encik Alami menambah bahawa beliau "sangat-sangat sedih" kerana akan meninggalkan banyak teman baik di MUIS. Suara beliau kemudian sebak dan beliau terpaku memandang ke hadapan. Encik Alami hampir mengalirkan air mata, tetapi menahannya. Hakikatnya, memang sukar untuk beliau meninggalkan pertubuhan yang sudah menjadi darah dagingnya selama hampir 20 tahun.

KOLEJ ISLAM SINGAPURA MASIH AKAN DIDIRIKAN?

Salah satu projek besar yang diilhamkan MUIS di bawah kepimpinan beliau, selaku Presiden yang bukan berkuasa eksekutif (2013-2021), ialah penubuhan Kolej Islam Singapura.

Ketika BERITAmediacorp mengajukan soalan kepada beliau meminta perkembangan terkini tentang kolej itu, Encik Alami menjawab bahawa:

"Kami sedang mengambil rentak perlahan mengenainya. Ia adalah strategi Menteri Masagos... Saya rasa beliau ada lebih banyak idea yang akan beliau kongsikan pada masa depan. Saya tidak pasti sama ada saya akan terlibat atau tidak," ujar beliau sambil ketawa.

Ditanya lagi sama ada kolej itu akan masih terjadi, ini jawapan beliau:

"Saya rasa saya bukan dalam kedudukan untuk menjawabnya sekarang."

BERAPA KALI PERNAH DISURUH LAKUKAN SESUATU OLEH PEMERINTAH? INI JAWAPAN ALAMI...

Encik Alami Musa menyambut ketibaan jemaah pada September 2018. (Gambar fail: MUIS/Facebook) 

Encik Alami Musa menyambut ketibaan jemaah pada September 2018. (Gambar fail: MUIS/Facebook)

Umum tahu bahawa menjadi pemimpin di MUIS semestinya salah satu tugas paling sukar untuk dipikul. Jangkaan masyarakat tempatan memang tinggi. Mentelah lagi, kedudukan MUIS selaku sebuah badan berkanun di bawah sebuah kementerian iaitu Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

BERITAmediacorp kemudian bertanya kepada Encik Alami, 65 tahun, sebenarnya berapa sering MUIS di bawah kepimpinannya diminta melakukan sesuatu oleh pemerintah.

Ini jawapan beliau:

"Dalam 10 tahun yang saya berkhidmat di MUIS, tidak pernah sekali. Jadi, alhamdulillah. Di peringkat kepimpinan politik, mereka sangat menghormati MUIS. (Pemerintah) sangat menghormati MUIS sebagai penguasa Islam dan kita adalah penguasa Islam dan mempunyai kepakaran dan pengkhususan dalam bidang-bidang sosioagama. Jadi tidak ada campur tangan tidak pernah sekali juga," jawab beliau tegas.

Encik Alami kemudian menceritakan betapa pada suatu hari beliau bertemu dengan Menteri Kesihatan ketika itu, Encik Khaw Boon Wan dan mengkhabarkan kepadanya bahawa Jawatankuasa Fatwa sudah mengeluarkan satu fatwa baru. Iaitu mengizinkan umat Islam untuk menyertai Akta Pemindahan Organ Manusia (HOTA).

"Dia lihat saya, dia bilang 'are you sure?' - anda pastikah? Jangan paksa kalau belum bersedia. Jangan.

"Jadi saya agak terkejut kerana saya jangkakan satu jawapan yang 'Oh ini bagus'. Tapi dia suruh kami berhati-hati," menurut Encik Alami yang mengaku cukup terkesan dengan jawapan Menteri Kesihatan itu.

"Untuk 10 tahun yang saya di MUIS ini tidak ada sekali pun yang saya disuruh yang melanggar hati nurani saya ini."

Menurut beliau lagi, di negara sekular ini masyarakat Muslim hanya 15 peratus. Namun perhatian dan masa yang diberikan kepada masyarakat Muslim secara politik, "lebih daripada 15 peratus".

Yang pasti, Encik Alami mengaku bahawa beliau bukan seorang 'yes man' dan tidak suka bekerja dengan "bos yang lemah". Misalnya, jika beliau diminta menyertai sesuatu badan, beliau akan melihat siapa ketuanya.

"Jika saya tahu orangnya lemah, saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada badan itu. Jadi saya ada rasa hormat sepenuhnya kepada menteri-menteri seperti Yaacob Ibrahim, Masagos Zulkifli. Itulah saya bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada pertubuhan ini," kata Encik Alami.

INI SETAHUN PALING SUKAR BAGI BELIAU SELAKU PRESIDEN MUIS?

BERITAmediacorp bertanyakan kepada Encik Alami, adakah tempoh setahun lalu merupakan tempoh paling sukar dalam kerjanya selaku Presiden MUIS. Ini memandangkan beliau melepaskan jawatan itu sedang MUIS banyak diasak dari pelbagai sudut oleh sebilangan pihak yang mempersoalkan badan berkanun itu berhubung isu wakaf Haji Pichay Meerah Hussain, isu halal dan badan pensijilan halal asing, isu pemindahan dana madrasah ke luar negara dan juga tuduhan-tuduhan mengenai rasuah.

"Saya tidak rasa begitu dan saya tidak pernah berasa ia begitu. Tiga minggu lalu Ketua Eksekutif Esa (Masood) sudah mengeluarkan kenyataan penuh menjelaskan segala-galanya. Ia ada di laman kami, sanggahan ke atas semua perkara. Dan saya harus tekankan bahawa dakwaan-dakwaan itu dibuat oleh tidak ramai orang. Hanya beberapa individu," jawab beliau yang menarik perhatian bahawa proses yang betul sudah dijalankan dan ia melibatkan pihak berkuasa. Pihaknya juga tidak berasa terlalu tertekan dengan perkara itu.

Jika ada kesilapan, kata Encik Alami, pihaknya akan mengakuinya dan belajar daripada kesalahan itu dan terus bergerak ke hadapan.

"Dan jika ada orang yang melakukan kesalahan, kami akan pastikan bahawa ada proses yang wajar untuk mereka ditangani," tekan beliau lagi. "Begitulah dunia sekarang - orang boleh membuat catatan di media sosial... dan kami akan respon dengan hujah-hujah yang sewajarnya."

NASIHAT ALAMI KEPADA PENGGANTINYA SA'AT RAHMAN?

Editor Berita Harian Sa'at Rahman dilantik jadi Presiden MUIS mulai 7 Ogos. (Gambar: Berita Harian)

Encik Mohamed Sa'at Abdul Rahman bakal menggantikan Encik Alami Musa.

Pengganti Encik Alami ialah Encik Mohamed Sa'at Abdul Rahman, 60 tahun. Tokoh media yang merupakan Editor Berita Harian itu akan rasmi mengambil alih daripada Encik Alami pada 7 Ogos ini.

BERITAmediacorp bertanya, apakah nasihat yang akan beliau berikan kepada Encik Sa'at selaku pengisi jawatan itu.

Menjawab, Encik Alami berkata bahawa penggantinya itu perlu "mempercepat aliran maklumat yang kini sudah menganjak berlipat kali ganda". Tempoh memberikan respons perlu pendek dan tidak boleh lagi menunggu-nunggu. Beliau juga menekankan perlunya bersikap telus.

"Jika orang datang kepada anda dengan maklum balas, huraikannya. Kami sudah melakukan demikian dan mengirim surat.

"Saya rasa komunikasi adalah kunci bagi pertubuhan awam seperti MUIS dalam berdepan dengan masyarakat. Jadi - huraikan, ketelusan, aliran maklumat yang baik, respons yang tepat pada masanya," tekan beliau lagi.

Ditanya pula apa pandangan beliau tentang Encik Sa'at, Encik Alami menjawab bahawa bakal Presiden MUIS itu bukan orang asing kepada MUIS.

Encik Sa'at kata beliau cukup mahir tentang fungsi, program, dasar-dasar dan cabaran-cabaran. Lantaran itu, kata Encik Alami, penggantinya itu dalam kedudukan yang baik untuk meneruskan tugasnya.

"Saya yakin bahawa beliau (Encik Sa'at) boleh melakukan tugas lebih baik, memandangkan latar belakang media, perhubungan awam beliau.

"Sudah tentu Sa'at akan sangat membantu untuk terus memperkukuh (MUIS)" ujar Encik Alami lagi.  

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan