Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akta Mengekalkan Keharmonian Agama yang baru sebagai benteng bagi keharmonian kaum Singapura: Menteri Shanmugam

Menurut Menteri Undang-undang K Shanmugam, akta itu akan memperkenalkan langkah-langkah yang tidak bersifat menghukum yang memberikan si pesalah peluang untuk memperbaiki hubungan atau memahami perspektif pihak yang disakiti dengan lebih baik. 

Anggaran Waktu Membaca:
Akta Mengekalkan Keharmonian Agama yang baru sebagai benteng bagi keharmonian kaum Singapura: Menteri Shanmugam

Penonton semasa NDP 2021 (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MHRA) yang baru akan menjadi benteng bagi keharmonian kaum di Singapura.

Menurut Menteri Undang-undang K Shanmugam, akta itu akan memperkenalkan langkah-langkah yang tidak bersifat menghukum yang memberikan si pesalah peluang untuk memperbaiki hubungan atau memahami perspektif pihak yang disakiti dengan lebih baik.

Ini selain menghukum tindakan-tindakan yang secara jelas menggalak permusuhan antara kumpulan-kumpuan kaum berbeza dan menjejas keharmonian kaum di Singapura

Penjelasan itu dibuat Encik Shanmugam dalam jawapan bertulisnya kepada pertanyaan Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Sharael Taha tentang bagaimana pemerintah dapat menangani keprihatinan masyarakat tanpa mewujudkan satu budaya yang menjurus ke arah penggunaan tindakan undang-undang sebagai huraian.

Encik Shanmugam menerangkan bahawa undang-undang secara sendirinya tidak boleh membuatkan orang ramai berbaik atau menyukai satu sama lain namun ia boleh membantu menggariskan apa yang masyarakat anggap benar atau salah.

Dan pendekatan yang diambil akta MRHA yang lebih bersifat tidak menghukum adalah penting kerana terdapat situasi di mana kaedah pengantaraan dan memperbaiki hubungan lebih membantu berbanding menghukum si pesalah.

PARLIMEN TENTUKAN TINDAKAN BAGAIMANA DISIFATKAN SEBAGAI SATU JENAYAH

Encik Sharael juga bertanya bagaimana untuk memastikan hanya kes-kes yang sahih disiasat dan dibawa ke muka pengadilan di bawah akta tersebut.

Seperti kesemua kesalahan di bawah undang-undang, Encik Shanmugam menerangkan bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) akan menentukan sama ada sesuatu kes itu harus didakwa dengan membuat penilaian pada kecukupan bukti-bukti yang dikumpulkan oleh agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dan sama ada ia dalam kepentingan awam untuk berbuat demikian.

Parlimen kata beliau yang akan menentukan tanda aras bagi tindakan yang bagaimana akan disifatkan sebagai satu jenayah menerusi undang-undang yang diluluskannya.

Akta baru itu akan memberikan pemerintah peluang untuk menyemak undang-undang negara berkenaan kaum dan menentukan tanda aras yang sesuai.

PEMERINTAH DAPATKAN PANDANGAN PEMIMPIN & KUMPULAN MASYARAKAT BAGI MHRA

Selain itu, Encik Sharael turut mengajukan soalan mengenai siapakah pihak-pihak berkepentingan yang akan terlibat dan dirujuk dalam melakarkan akta tersebut.

Encik Shanmugam menjelaskan bahawa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) akan mendapatkan pandangan para pemimpin dan kumpulan masyarakat daripada semua kaum sebagai persediaan untuk melakar akta MHRA. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan