Images

Akses SingPass lebih mudah, selamat dengan aplikasi mudah alih baru

SINGAPURA: Peningkatan yang dilakukan terhadap aplikasi mudah alih SingPass akan menjadikannya tempat sehenti bagi para penggunanya mengakses data peribadi mereka.

Menurut Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) ciri MyInfo Profile dalam aplikasi itu akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini.

GovTech menambah, peningkatan tersebut merupakan satu lagi langkah ke arah memberi warga Singapura akses yang selamat kepada perkhidmatan digital dengan menggunakan satu Identiti Digital Kebangsaan yang boleh dipercayai.

Menurut GovTech, tarikh luput pasport atau jumlah wang dalam akaun CPF adalah antara maklumat yang kerap diakses orang ramai tetapi mereka sering tidak ingat.

Jenis maklumat sedemikian dapat diakses dengan cepat menerusi ciri Profil MyInfo akan datang di aplikasi mudah alih SingPass.

Maklumat lain yang disediakan termasuk pendapatan tahunan bagi taksiran cukai, sejarah sumbangan CPF dan pemilikan kenderaan.

"Biasanya apabila anda berada di luar dan anda hanya mempunyai telefon bijak sebagai sumber, anda mahu cara yang cepat untuk merujuk data anda. Jika ia memerlukan 'log-in' ke laman web, biasanya ia lebih merumitkan jadi kami berharap aplikasi ini akan menjadi cara yang sangat mudah untuk orang ramai," kata Pengurus Produk, Identiti Digital Kebangsaan GovTech, Encik Tay Li Soon.

Laman pemukanya boleh disesuaikan untuk menyertakan pelbagai ciri dan ia juga boleh disembunyikan daripada pandangan.

Selain itu ia disertai dengan langkah keselamatan yang ketat bagi melindungi data.

Misalnya, semasa transaksi menggunakan aplikasi mudah alih SingPass yang memerlukan 'login', aplikasi itu akan mengesan perisian yang tidak selamat dan memaklumkan penggunanya supaya keluar daripada aplikasi tersebut.

MyInfo Profile akan dilancarkan pada pertengahan tahun ini.  

- CNA/NU/na

Top