Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akmal Rostam ditauliah jadi Leftenan Muda RSN & Komander Platun Unit 'Fast Craft'

Esok (11 Jun) seorang belia Melayu bernama Akmal Rostam akan membuat keluarganya berasa cukup bangga. Anak bongsu dua beradik itu akan ditauliahkan sebagai pegawai tentera dan menjadi Leftenan Muda dalam Angkatan Laut Republik Singapura (RSN).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Esok (11 Jun) seorang belia Melayu bernama Akmal Rostam akan membuat keluarganya berasa cukup bangga. Anak bongsu dua beradik itu akan ditauliahkan sebagai pegawai tentera dan menjadi Leftenan Muda dalam Angkatan Laut Republik Singapura (RSN).

Bakal 2LT Akmal akan nanti menjadi Komander Platun di Unit 'Fast Craft' (Kenderaan Laut Laju) dan Latihan dan memimpin 60 tentera RSN di bawah perintahnya di Pangkalan Tentera Laut Tuas (Tuas Naval Base).

Sememangnya, ada ramai anak Melayu dalam dalam angkatan tentera termasuk dalam angkatan tentera darat, namun jarang kedengaran anak Melayu menjadi pegawai RSN. Semasa diminta maklumat lanjut mengenai bilakah kali terakhir seorang anak Melayu ditauliahkan sebagai pegawai RSN, MINDEF belum memberikan jawapan sehingga artikel ini diterbitkan.

(Gambar: MINDEF)

Perjalanan Akmal, 22 tahun, menjadi pegawai RSN, berlaku tanpa dirancangnya lebih awal. Jadi, menjadi pegawai RSN boleh dianggap sebagai satu kejutan.

"Ini adalah sesuatu di luar jangkaan saya, tetapi selepas sembilan bulan dalam RSN, saya berasa minat itu datang dengan sendirinya. Berada di laut adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan," kata Akmal.

Walaupun bermula dari aliran Normal Akademik semasa di sekolah menengah, Akmal mendapat pencapaian bagus bagi peperiksaan GCE. Malah belumpun menduduki GCE 'O', dia sudah mendapat tempat di Politeknik Temasek dalam jurusan pengurusan acara dan riadah menerusi Urusan Kemasukan Awal.

Tiga tahun kemudian, Akmal muncul pula sebagai pelajar terbaik kohortnya walaupun aktif dalam pelbagai kegiatan ko-kurikular seperti dalam kelab sukan dan Kesatuan Pelajar.

(Gambar: Akmal Rostam)

Ibunya bekerja sebagai seorang guru di Sekolah Rendah Telok Kurau manakala bapanya bekerja sebagai pegawai perhubungan perniagaan dan pelanggan di sebuah syarikat penyenggaraan pesawat, SAESL.

PERJALANAN KE RSN - PERNAH GAGAL IPPT TETAPI...

Semasa Akmal baru-baru mula menjalani Perkhidmatan Negara, dia sebenarnya gagal Ujian Kecekapan Jasmani (IPPT). Ini memerlukannya untuk menjalani Fasa Latihan Fizikal (PTP) selama sekitar dua bulan untuk membina kecergasan fizikal.

"Saya betul-betul serius semasa menjalani latihan kerana saya berasa saya ingin mendapat (pengalaman) sebaik mungkin daripada NS sepanjang dua tahun ini," kata Akmal.

Berkat semangat juangnya yang tinggi, Akmal akhirnya mendapat anugerah emas bagi IPPT setelah meraih 86 mata.

Lebih menarik lagi, tidak lama selepas itu, dia mendapat satu lagi khabar gembira, iaitu terpilih untuk menjalani latihan di Sekolah Pegawai Kadet (OCS) Angkatan Laut Republik Singapura (RSN).

(Gambar: Akmal Rostam)

"Saya benar-benar gembira tentang perkara ini. Keluarga saya juga gembira kerana dalam keluarga besar kami, tidak ramai yang dapat menjadi pegawai. Mereka juga gembira kerana saya akan dapat menimba pengalaman yang tidak dapat ditimba kebanyakan NSF lain," luah bekas pelajar Sekolah Hai Sing Catholic itu.

KEMUDI KAPAL TENTERA RSN

Di RSN, Akmal antara lain mempelajari pelbagai operasi mengendalikan RSS Persistence, iaitu kapal pendarat tentera laut (landing ship tank). Ini termasuk melakukan pengemudian kapal tentera di laut di samping membuat persiapan sebelum kapal berlabuh.

"Ada juga sesi 'gunnery'. Jadi kami dapat melakukan aksi tembak-menembak di laut," kongsi Akmal.

Akmal (dua dari kiri) bersama rakan-rakan sepasukan semasa menyenggarakan sejenis meriam di atas kapal. 

Akmal (dua dari kiri) bersama rakan-rakan sepasukan semasa menyenggarakan sejenis meriam di atas kapal. (Gambar: MINDEF)

"Seronok dapat mengendalikan sebuah kapal besar. Dan saya juga sebelum ini tidak begitu memahami peranan penting seorang NSF. Sejak saya bersama RSN, saya menyedari kami juga memainkan peranan penting di lapangan, untuk mempertahankan perairan kita... sama seperti pegawai lain yang menjaga kemanan dan keselamatan negara."

Disebabkan pandemik COVID-19, Akmal sepasukan malangnya tidak dapat melakukan persinggahan di mana-mana pelabuhan - seperti di Vietnam, Australia dan Brunei.

Jadi latihan mereka lebih mencabar kerana tiada waktu rehat dan pada suatu ketika, anak-anak kapal itu perlu terus berada di laut selama tiga minggu.

Akmal (kiri) semasa latihan pengawalan kerosakan.

Akmal (kiri) semasa latihan pengawalan kerosakan. (Gambar: MINDEF)

"Ia perkara yang saya rasa paling sukar untuk dilalui. Kita tidak dapat berhubungan dengan keluarga. Kita hanya ada satu sama lain, iaitu rakan sepasukan. Ia sukar tetapi saya cuba fokus kepada perkara-perkara kecil yang membuat kita gembira, seperti apabila dapat makan snek pada waktu malam dan melihat ikan lumba-lumba di laut," tambah Akmal.

Ditanya pula siapa yang mendorongnya untuk melakukan yang terbaik dalam NS, ini jawapan Akmal: "Abang saya. Dia menikmati masanya semasa NS sebagai seorang pakar logistik. Dia selalu melakukan yang terbaik dan tidak mempunyai pemikiran untuk cepat ORD (tamat perkhidmatan negara). Jadi saya ikut jejaknya."

BAKAL KE SMU, TIDAK TOLAK KEMUNGKINAN SERTAI RSN

Kini latihan yang dijalaninya selama 38 minggu sudahpun selesai dan Akmal lulus untuk menjadi pegawai tentera laut.

Pada Jumaat (11 Jun) Akmal dalam kalangan 32 kadet angkatan tentera laut yang ditauliahkan sebagai pegawai.

"Saya harap dan yakin bahawa saya akan dapat menjalankan tugas yang diberikan sebaiknya. Saya akan menjadi Komander Platun di Unit 'Fast Craft' dan latihan dan saya akan menjaga rakan-rakan sepasukan dan kapal-kapal kecil," ujarnya.

(Gambar: MINDEF)

Apabila selesai menjalani NS nanti, Akmal akan melanjutkan pelajaran di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dalam jurusan pengurusan perniagaan.

Bagaimanapun pegawai muda ini tidak menolak kemungkinan akan mencuba kerjaya dalam RSN selepas itu.  

(Semua anggota yang dikerahkan terdahulu dikuarantin dan diuji negatif sebelum menjalani latihan.)

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan