Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Akibat gangguan aplikasi, semua perjalanan Grab berharga S$6 tidak kira tempat dituju

Semua perjalanan yang dilakukan menerusi Grab berharga S$6 hari ini (25 Okt), tidak kira tempat yang dituju akibat masalah pada aplikasi khidmat kereta sewa privet itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Akibat gangguan aplikasi, semua perjalanan Grab berharga S$6 tidak kira tempat dituju

Semua perjalanan yang dilakukan menerusi Grab berharga S$6 pada 25 Oktober.

Diterbitkan : 25 Oct 2018 06:13PM Dikemas Kini : 25 Oct 2018 06:26PM

SINGAPURA: Semua perjalanan yang dilakukan menerusi Grab berharga S$6 hari ini (25 Okt), tidak kira tempat yang dituju, akibat masalah pada aplikasi khidmat kereta sewa privet itu.

Isu itu dipercayai menjejas para penumpang dan pemandu di Singapura dan Malaysia, serta di Filipina, Thailand dan Indonesia.

Seorang pemandu Grab di Singapura, yang hanya ingin dikenali sebagai Marcus, memberitahu Mediacorp bahawa masalah itu bermula pada sekitar 3.25 petang.

"Semua perjalanan ke mana-mana lokasi di Singapura berharga S$6 bagi tempahan JustGrab. Ramai pemandu sedang menghubungi hotline Grab dan talian itu kini sibuk sekali.

"Saya menerima satu tempahan dan saya mendapati bahawa tambangnya terlalu rendah, jadi saya menggunakan Google Maps untuk memeriksa jarak perjalanan dan saya terkejut apabila mendapati bahawa perjalanan itu adalah sejauh 12 kilometer. Saya kemudian memeriksa lokasi lain dan dari situlah saya mendapat tahu tentang masalah ini," kata beliau.

Tempahan perjalanan itu adalah dari 7 Siglap Road ke Guoco Tower di 1 Wallich Street.

(Gambar: Marcus)

Encik Marcus menambah bahawa beliau tidak menerima tempahan itu, sekaligus menjejas kadar tempahan yang diterimanya.

"Kami harus mengekalkan kadar penerimaan yang tertentu bagi melayakkan diri untuk insentif. Oleh itu, saya mematikan aplikasi saya dan menunggu sehingga Grab menghuraikan masalah ini sebelum menggunakannya semula," tambah beliau.

Mediacorp cuba untuk menempah khidmat JustGrab dari 1 Stars Avenue di One-North ke Lapangan Terbang Changi dan mendapati bahawa tambang perjalanan setakat berharga S$6. Seorang wartawan Mediacorp juga melakukan perjalanan dari 1 Stars Avenue ke Bukit Panjang dengan tambang berharga S$6 sahaja.

Seorang lagi pemandu Grab, yang hanya ingin dikenali sebagai David, berkongsi bahawa beliau pertama kali mengetahui tentang masalah itu pada sekitar 3.00 petang.

Encik David turut melahirkan kekecewaan bahawa Grab tidak memaklumkan para pemandunya mengenai masalah tersebut. 

"Apa yang harus kami (pemandu) buat sekarang? Buang masa dan tunggu masalah ini diperbaiki? Siapa yang akan membayar kos sewa, minyak dan kehilangan masa?" kata beliau.

Para pengguna Grab turut berkongsi pengalaman mereka di media sosial.

Fiza Aw menulis di laman Twitternya bahawa perjalanan yang dilakukannya dari Tampines ke Newton berharga S$6 manakala Adilah juga berkata beliau dikenakan tambang yang sama bagi perjalanan dari Politeknik Republic ke Pasir Ris.

Para pengguna di Indonesia dan Filipina juga menyaksikan tambang yang lebih rendah melalui aplikasi tersebut.

Malah, tambang itu juga dikenakan bagi perjalanan antarabangsa. Pada sekitar 3.50 petang, perjalanan dari Pioneer Road di Singapura ke Bangkok didapati berharga S$6.

Perjalanan dari Singapore ke New York melalui khidmat Grab juga berharga S$6.

GrabHitch, iaitu inisiatif kongsi kereta syarikat berkenaan, turut terjejas dengan para pengguna membuat aduan di laman Facebook bahawa semua perjalanan melalui khidmat GrabHitch berharga S$5, tanpa mengira destinasinya.

Grab Filipina menyatakan bahawa aplikasi itu sedang "mengalami masalah" yang mungkin menjejas tempahan perjalanan. 

Isu itu kelihatan sudahpun diperbaiki pada sekitar 4.15 petang apabila aplikasi itu menunjukkan harga tambang yang berbeza bagi destinasi-destinasi berlainan.

Mediacorp sudahpun menghubungi Grab bagi mendapatkan komen. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan