Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ajarkan bahaya seksisme semasa NS, bantu bapa tunggal antara usul WP bagi kesaksamaan jantina

Selepas berbahas sekitar lima jam, usulan WP mengenai kesaksamaan jantina yang juga menyentuh tentang cabaran dihadapi Muslimah, diluluskan di Parlimen dengan pindaan daripada AP PAP.

Anggaran Waktu Membaca:
Ajarkan bahaya seksisme semasa NS, bantu bapa tunggal antara usul WP bagi kesaksamaan jantina

Para AP WP berucap di Parlimen pada 3 Ogos 2021.

Diterbitkan : 04 Aug 2021 09:30AM Dikemas Kini : 04 Aug 2021 09:42AM

SINGAPURA: Menggunakan Perkhidmatan Negara (NS) sebagai wadah untuk mengajar golongan lelaki mengenai bahaya seksisme, melakukan semakan ke atas prosedur khatan bayi perempuan di klinik privet dan membolehkan lebih banyak lelaki menerima nafkah.

Itu adalah antara beberapa cadangan yang dikemukakan oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) dari Parti Pekerja (WP) pada Selasa (3 Ogos) dalam usulan parlimen mengenai pemerkasaan wanita.

Usulan anggota dewan itu dibentangkan oleh AP GRC Sengkang He Ting Ru dan AP GRC Aljunied Leon Perera.

Selama sekitar lima jam, 12 AP dan dua pemegang jawatan politik dari kedua-dua belah dewan berucap mengenai topik tersebut.

Cik He berkata bahawa idea-idea yang dikemukakan dalam usulan oleh anggota-anggota WP akan menjadi sumbangan parti itu kepada perbincangan seluruh negara yang sedang berlangsung berhubung kesaksamaan jantina.

Pemerintah melancarkan daya usaha untuk menyemak isu-isu yang dihadapi wanita pada September tahun lalu.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Encik Undang-Undang, K Shanmugam, berkata matlamat semakan itu adalah untuk mengubah budaya dan pemikiran Singapura mengenai kesaksamaan jantina dan sikap hormat kepada wanita. Ini akan dikumpulkan dalam Kertas Putih pertama seumpamanya mengenai kesaksamaan jantina, yang dijadual tahun ini.

WANITA LEBIH TERJEJAS DI TENGAH PANDEMIK

Isu-isu wanita yang diketengahkan oleh para AP WP merangkumi pelbagai perkara, termasuk cabaran yang dihadapi oleh golongan Muslimah dan juga mereka yang terpinggir, seperti wanita kurang upaya dan ibu tunggal yang belum berkahwin.

Cik He mempersoalkan tanggapan tradisional bahawa pekerjaan yang dilakukan secara stereotaip oleh wanita, seperti menjaga keluarga dan rumah, dianggap lebih rendah daripada pekerjaan ekonomi dan berkata bahawa wanita seharusnya bebas memilih haluan mereka sendiri, sama ada untuk berkahwin dan mempunyai anak atau memilih untuk terus membujang.

"Daripada membuat kesimpulan dan menganggap ada sesuatu yang salah sekiranya seseorang individu - terutama seorang wanita - tidak berkahwin atau tidak mempunyai anak, mungkin sudah tiba masanya kita menerimanya sebagai salah satu suratan hidup dan terus maju ke hadapan, bukannya terus-menerus mempersoalkan apa kesilapan yang menjadikan keadaan sebegitu,” katanya.

Beliau juga berucap tentang bagaimana wanita lebih terjejas oleh gangguan akibat pandemik COVID-19, dengan lebih ramai wanita kehilangan pendapatan berbanding lelaki atau menjalankan kerja-kerja tidak berbayar di rumah.

LELAKI JUGA TERJEJAS AKIBAT STEREOTAIP

Encik Perera berkata pemikiran yang sudah lama berakar umbi mengenai peranan jantina harus diubah melalui pendidikan.

Ini dapat dilakukan dengan mengajar pelajar sekolah menengah mengenai prinsip kesaksamaan jantina dan menggunakan NS sebagai wadah untuk mendidik golongan lelaki tentang bagaimana sikap dan tingkah laku seksis membahayakan semua orang, termasuk lelaki.

"Ini harus disemak. Usaha perlu diambil untuk memastikan bahawa sebahagian besar anggota Perkhidmatan Negara sepenuh masa berlatih di bawah sekurang-kurangnya satu atau beberapa tenaga pengajar wanita," katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana wanita yang berdepan isu kurang peluang di tempat kerja bererti lelaki memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk menyara seisi rumah tangga.

"Stereotaip jantina juga menjejas lelaki - contohnya, stigma sosial terhadap lelaki yang berpendapatan rendah, yang mengasuh keluarga dan yang membuat pilihan kerjaya di luar arus utama," katanya.

SOKONGAN BAGI BAPA TUNGGAL, ISU PASANGAN HIJRAHAN

AP WP bagi GRC Aljunied Gerald Giam menekankan bagaimana ibu atau bapa tunggal yang belum berkahwin, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan wanita, serta anak-anak mereka, patut dilihat sebagai sebuah unit nukleus keluarga supaya dapat memastikan akses adil kepada perumahan.

Dalam pada itu beliau berkata bahawa bapa tunggal juga seharusnya mendapat faedah sokongan sama seperti ibu tunggal, kerana mereka juga berdepan cabaran serupa dalam membesarkan anak sendirian.

Beliau menarik perhatian bagaimana Piagam Wanita hanya membenarkan duda memohon nafkah daripada bekas pasangan mereka jika lelaki itu mengalami kecacatan, dan berkata bahawa "syarat ketat" ini patut dimansuhkan.

"Seorang lelaki yang mendapat hak penjagaan anak-anak namun mempunyai kuasa pendapatan jauh lebih rendah daripada bekas isterinya patut dibolehkan memohon nafkah daripada bekas pasangan itu," kata Encik Giam.

Beliau juga menyarankan agar proses bagi pasangan hijrahan, yang seringkali berdepan tekanan perlu meninggalkan Singapura dan suami atau anak-anak tempatan mereka untuk mendapatkan pas lawatan jangka panjang, status penduduk tetap atau kerakyatan, harus dipermudahkan.

CABARAN DIHADAPI MUSLIMAH, ANTIDISKRIMINASI

Seorang lagi AP WP untuk GRC Sengkang Raeesah Khan menyentuh tentang pelbagai cabaran yang masih dihadapi oleh golongan Muslimah, seperti khatan bayi perempuan dan poligami.

Selain menggesa Kementerian Kesihatan untuk menyemak prosedur yang dikendalikan oleh klinik-klinik privet bagi khatan bayi perempuan, beliau berkata bahawa kementerian itu juga harus mengarahkan agar satu kajian dijalankan untuk mengenal pasti kelaziman amalan ini.

Para AP WP lain pula mengutarakan cadangan-cadangan lain seperti menyediakan aturan kerja yang lebih fleksibel, menyamakan jumlah cuti jagaan anak dan memastikan wanita lebih diwakili dalam bidang politik.

Mereka juga mengulangi seruan yang dibuat sebelum ini untuk memperkenalkan undang-undang antidiskriminasi dan mengkritik premium lebih tinggi yang harus dibayar oleh kaum Hawa bagi CareShield Hayat, iaitu skim insurans wajib nasional yang memberikan sokongan kewangan kepada mereka yang menjadi orang kurang upaya.

USAHA PEMERINTAH SETAKAT INI

Menjawab beberapa pandangan itu, Cik Sun Xueling, Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga, memberikan kemas kini mengenai usaha Pemerintah untuk menangani isu jantina.

Contohnya, Kementerian Ehwal Dalam Negeri baru-baru ini memperketat denda ke atas tiga kesalahan seksual.

Beliau menambah bahawa Kementerian Pendidikan akan mengemas kini kurikulum Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan untuk merangkumi sikap hormat kepada kedua-dua jantina dan mengapa ia penting untuk tidak berpegang kepada stereotaip jantina.

Kementerian Tenaga Manusia juga menubuhkan sebuah jawatankuasa tiga pihak untuk mengkaji sama ada undang-undang dapat dilaksanakan untuk mengatasi diskriminasi di tempat kerja.

Anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang lain yang berucap termasuk Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, AP GRC Chua Chu Kang, yang menyarankan agar pelepasan cukai bagi pasangan boleh dinaikkan untuk mencerminkan sumbangan oleh ibu atau bapa yang memilih untuk duduk di rumah untuk menjaga keluarga mereka.

Beberapa AP parti pemerintah juga mengetengahkan bagaimana mereka juga memperjuangkan usaha-usaha berhubung kesaksamaan jantina dan langkah-langkah yang diambil sejak beberapa tahun lalu.

PERKASA, SOKONG DAN LINDUNGI WANITA

Cik Rahayu Mahzam, Setiausaha Parlimen Kementerian Perhubungan dan Penerangan, menambah bahawa para AP "sangat jelas bersatu di bawah keinginan bersama" untuk menangani isu-isu yang dihadapi golongan wanita.

Beliau menyingkap usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk "memperkasa, menyokong dan melindungi" wanita.

Cik Rahayu menekankan Pemerintah menyokong aspirasi berbeza-beza dalam kalangan wanita, termasuk menggalak wanita memasuki industri yang "biasanya didominasi oleh lelaki".

Wanita kini membentuk 41 peratus dalam industri teknologi Singapura, jauh lebih tinggi daripada purata sedunia 28 peratus.

"Dengan memasuki sektor baru seperti ini, wanita dapat mencapai prospek kerjaya dan gaji yang lebih baik untuk merapatkan jurang gaji," katanya, sambil menambah bahawa inisiatif-inisiatif sudah dilancarkan untuk meningkatkan sokongan bagi wanita dalam bidang teknologi.

Berbalik kepada masalah yang dihadapi oleh wanita yang memainkan peranan penjaga di rumah, Cik Rahayu berkata bahawa Pemerintah sudah melakukan usaha "ketara" untuk menangani cabaran yang dihadapi mereka, seperti memperluas tempat prasekolah dan memastikan kemampuannya, tanpa mengira status pekerjaan ibu bapa.

Pelan sokongan penjaga juga dilancarkan pada 2019 untuk memperkukuh sokongan bagi penjaga yang sudah lanjut usia, tambahnya.

Beliau berkata bahawa Pemerintah akan terus mengembangkan usaha tersebut untuk menyokong wanita yang menjaga keluarga dan akan sentiasa menyemak maklum balas.

Dengan cabaran-cabaran baru, seperti gangguan dan penderaan seksual secara online, Pemerintah juga akan bekerjasama dengan rakan-rakan untuk menjana huraian bertujuan untuk melindungi wanita, kata Cik Rahayu.

"KITA PUNYAI TUJUAN SAMA"

Menggulung perbahasan yang menjangkaui empat jam, Cik He berkata "luahan lantang perasaan" dan bilangan AP yang tampil berucap menunjukkan betapa pentingnya isu itu.

Beliau berkata WP tidak membantah pindaan yang diketengahkan bagi usul itu, dan berharap dapat mengkaji dengan mendalam rancangan tindakan yang akan dibentangkan.

"Kami berharap langkah-langkah konkrit akan diambil untuk memulakan perubahan, sama ada menerusi pindaan undang-undang atau rombakan dasar," katanya.

"Kesaksamaan jantina bukan isu partisan. Ia juga bukan hanya isu wanita. Ia isu lelaki (juga). Ia isu seluruh masyarakat. Kita semua punyai tujuan sama," tamahnya.

"Saya berharap rakan kerja parlimen akan sama-sama menangani isu-isu ini ... Sudah tiba masanya untuk Singapura mengambil langkah seterusnya." 

Sumber : Today/CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan