Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AirAsia lancar khidmat hantar makanan di S'pura; penghantaran percuma selama 2 minggu bagi tempahan dalam jarak 8km

Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, AirAsia Group, pada Selasa (2 Mac) melancarkan khidmat penghantaran makanan di Singapura dengan sekurang-kurangnya 24 cawangan makanan dan minuman (F&B) tersenarai di wadahnya bagi menembusi pasaran yang sangat kompetitif.

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia lancar khidmat hantar makanan di S'pura; penghantaran percuma selama 2 minggu bagi tempahan dalam jarak 8km

(Gambar: AirAsia)

Diterbitkan : 03 Mar 2021 10:05PM Dikemas Kini : 03 Mar 2021 10:06PM

SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang murah Malaysia, AirAsia Group, pada Selasa (2 Mac) melancarkan khidmat penghantaran makanan di Singapura dengan sekurang-kurangnya 24 cawangan makanan dan minuman (F&B) tersenarai di wadahnya bagi menembusi pasaran yang sangat kompetitif yang dikuasai oleh pemain-pemain mapan.

Sejauh ini, tawaran terkini dari syarikat penerbangan itu, iaitu AirAsia Food, mempunyai 500 pekerja penghantaran dan lagi 300 pengendali makanan yang sedang dalam proses menyertai khidmat tersebut, kata ketua e-dagang bagi aplikasi AirAsia, Encik Lim Ben-Jie di sidang media online.

Syarikat itu turut menjanjikan yuran penghantaran lima peratus lebih rendah berbanding para pesaingnya dan bagi tempoh sehingga 16 Mac, ia menawarkan penghantaran percuma selama dua minggu bagi tempahan dalam jarak 8 kilometer dari lokasi pengguna.

Tempahan boleh dilakukan menerusi laman AirAsia Food atau melalui aplikasinya di mana tempahan bagi tiket penerbangan juga boleh dibuat.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tony Fernandes berkata: "Di AirAsia Food, matlamat kami adalah untuk membantu perniagaan makanan tempatan mengurangkan kos dengan menawarkan kadar komisen yang rendah supaya ia dapat disalurkan kepada para pelanggan yang dapat menikmati harga lebih rendah bagi hidangan kegemaran mereka."

Antara restoran-restoran yang sudah mula mengambil tempahan menerusi wadah itu adalah: Maki-san, Pizza Express dan Indian Wok.

Syarikat itu berharap dapat memikat lebih ramai pengendali F&B dengan menawarkan bayaran komisen yang rendah sebanyak 15 peratus bagi setiap urus niaga.

Mediacorp difahamkan bahawa tiga wadah utama bagi penghantaran makanan di sini iaitu GrabFood, Foodpanda dan Deliveroo - mengenakan bayaran komisen antara 25 dengan 35 peratus.

Encik Lim menganggarkan setiap penghantar makanan secara purata boleh meraih pendapatan sehingga S$700 dalam seminggu jika mereka melakukan 10 penghantaran setiap hari bagi tempoh selama enam hari seminggu.

Para penghantar makanan akan digajikan oleh cabang logistik AirAsia iaitu Teleport yang dilancarkan di Singapura pada tahun lalu.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Deliveroo menyatakan pada Selasa (2 Mac) bahawa para penghantar makanannya secara purata menerima S$17 sejam, namun jumlah itu "berbeza bagi setiap penghantar dan bergantung kepada jadual kerja mereka yang fleksibel".

Foodpanda pula menyatakan bahawa pada tahun lalu, para pekerjanya secara purata mendapat S$7.50 bagi setiap penghantaran.

Encik Fernandes juga membuat perbandingan antara bagaimana ia mengendalikan khidmat penerbangan tambang rumah dengan peranan AirAsia Food dalam pasaran penghantaran makanan di Singapura.

"Sama seperti AirAsia yang tidak menawarkan kemudahan tambahan seperti yang ditawarkan oleh Singapore Airlines, AirAsia Food, misalnya, (tidak akan) mempunyai peta.

"Kami fikir anda tidak perlu tahu lokasi pekerja penghantaran makanan anda, kerana ia akan menambah kos bagi kami," katanya.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan