Images
  • starfresh
    Air botol jenama Starfresh

Air botol Starfresh dari Malaysia ditarik balik selepas bakteria dikesan: SFA

SINGAPURA: Jenama air botol yang diimport dari Malaysia, Starfresh ditarik balik dari pasaran Singapura selepas sejenis bakteria dikesan dalam produk itu, menurut kenyataan Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Rabu (12 Jun).

Air botol itu didapati mengandungi Pseudomonas aeruginosa, sejenis bakteria yang biasa terdapat di sekitaran, semasa pemeriksaan sampel secara rutin oleh SFA.

SFA menyatakan pihaknya telah mengarahkan pengimportnya, Radha Exports, untuk menarik balik semua produk terjejas. Ini termasuk air botol 1,500 ml dengan tarikh luput 13 Mei 2021, dan air botol 500 ml dengan tarikh luput 11 Mei 2021.

Radha Exports adalah pemilik ABC Bargain Centre dan rangkaian kedai diskaun ValuDollar, menurut laman syarikat pengimport itu.

"Pelanggan yang telah membeli produk berkenaan dinasihati agar tidak meminumnya," menurut SFA. "Mereka yang sudah meminum produk berkenaan dan bimbang akan kesihatan mereka patut mendapatkan nasihat perubatan."

Pesudomonas aeruginosa boleh didapati dalam najis, tanah, air dan kumbahan, menurut agensi tersebut. Ia boleh membiak dalam sekitaran berair dan pada permukaan bahan organik yang terkena air.

"Penggunaan atau pengambilan produk yang dicemari dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan namun jarang menyebabkan sakit teruk dalam kalangan individu sihat," menurut SFA lagi dalam kenyataan media.

Orang sihat juga boleh mengalami penyakit ringan seperti ruam, menurut Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat. Bakteria tersebut boleh mendatangkan bahaya lebih besar terhadap individu yang mempunyai sistem daya tahan tubuh yang lemah, seperti pesakit di hospital atau pesakit barah.

Mereka yang sudah membeli produk terjejas boleh menghubungi Radha Exports di talian 6220 2777 bagi sebarang pertanyaan.

- CNA/TQ/tq

Top