Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ahli politik PAP, WP & PSP bahas isu PM bukan berbangsa Cina di Forum IPS

 Sudahkah Singapura bersedia untuk menerima seorang perdana menteri bukan dari kaum Cina sepuluh tahun dari sekarang?

Anggaran Waktu Membaca:
Ahli politik PAP, WP & PSP bahas isu PM bukan berbangsa Cina di Forum IPS

(Gambar: Jacky Ho/Institut Pengajian Dasar)

Diterbitkan : 26 Jan 2021 11:07AM Dikemas Kini : 26 Jan 2021 11:11AM

SINGAPURA: Sudahkah Singapura bersedia untuk menerima seorang perdana menteri bukan dari kaum Cina sepuluh tahun dari sekarang? Ia bergantung kepada reaksi orang ramai terhadap isu kaum ketika itu, menurut Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan Dr Janil Puthucheary pada Isnin (25 Jan).

Isu hangat itu timbul sekali lagi semasa perbincangan panel mengenai politik oleh Institut Pengajian Dasar (IPS), yang menampilkan tiga ahli politik dari parti-parti dengan perwakilan dalam parlimen: Dr Janil Puthucheary, dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Gerald Giam dari Parti Pekerja (WP) dan Cik Hazel Poa dari Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Apabila ditanya oleh moderator, timbalan pengarah kajian IPS, Gillian Koh, mengenai bagaimana perasaan rakyat Singapura terhadap isu tersebut 10 tahun dari sekarang, Dr Janil, yang mempengerusikan pertubuhan bukan untuk mencari keuntungan OnePeople.sg, berkata: "Ia bergantung kepada rakyat Singapura untuk menentukan, akhirnya, mengenai perkara ini.

"Dan saya berharap apabila keharmonian kaum maju ke peringkat di mana orang ramai dapat berbincang mengenai PM bukan berbangsa Cina, ia bukan setakat memiliki ikon, tetapi atas dasar keupayaan individu tersebut untuk menjalankan tugasnya."

Panel itu turut menyentuh pelbagai topik, termasuk identiti politik yang kian meningkat di merata dunia dan tanggungjawab parti-parti pembangkang selepas Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

Dialog itu juga merupakan persidangan terakhir Perspektif Singapura yang berlangsung selama empat hari di Pusat Expo dan Konvensyen Marina Bay Sands.

Meskipun para anggota panel secara amnya bersetuju mengenai beberapa topik, mereka bagaimanapun tidak bersetuju mengenai isu perdana menteri yang bukan berbangsa Cina.

Encik Giam, Anggota Parlimen GRC Aljunied yang ditadbir oleh WP, berkata: "Berdasarkan perbualan saya dengan ramai rakyat Singapura yang berbangsa Cina, saya tidak menerima sebarang pandangan yang membayangkan seolah-olah mereka tidak bersedia menerima seseorang yang berkebolehan, jujur, dan boleh menjadi pemimpin yang baik, untuk menjadi perdana menteri."

Menurut Encik Giam, ia bergantung kepada parti yang memerintah untuk memilih setiausaha agungnya, yang bergantung kepada pertimbangan politiknya. Di Singapura, perdana menteri lazimnya adalah setiausaha agung parti yang memenangi pilihan raya.

Encik Giam kemudian menegaskan bahawa WP sudah membuat keputusan untuk memilih seseorang daripada kaum minoriti, Encik Pritam Singh, sebagai setiausaha agungnya pada 2018, dan parti itu dapat menyaksikan "kejayaan" pada GE 2020. Tiga daripada lima AP GRC Aljunied juga adalah dari kumpulan minoriti, tambahnya.

Menurut AP parti pembangkang itu: "Sekiranya kaum dan bahasa adalah faktor penting bagi sesebuah kawasan undi yang penting, kami mungkin akan memastikan kami akan membariskan semua calon berbangsa Cina, atau sekurang-kurangnya empat calon berbangsa Cina... Tetapi kami menimbangkannya dengan teliti dan memilih calon-calon kami, tanpa mengira kaum."

Cik Poa, Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari PSP, menambah: "Kami sudah bersedia menerima PM yang bukan berbangsa Cina. Satu-satunya sebab mengapa (Singapura) belum lagi bersedia adalah kerana PAP belum bersedia."

Menjawab komen salah seorang peserta yang berkata bahawa kaum tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan di Singapura, Dr Janil berkata bahawa hakikatnya ia masih menjadi isu yang dibahaskan dan pemerintah telah melakukan banyak usaha untuk memudahkan wacana mengenai kaum.

"Ia masih dibahaskan... Tinjauan-tinjauan yang dijalankan oleh IPS menggambarkan sedemkian. Saya juga berharap agar kaum tidak dijadikan sebagai alasan," kata Dr Janil.

"Kesimpulannya, adalah mengenai cuba memahami dan campur tangan pada sesuatu yang pada dasarnya adalah kecenderungan peribadi atau sikap berat sebelah, stereotaip peribadi, di mana orang ramai tidak semestinya mendedahkan atau meluahkan secara terbuka, tetapi jika dihimpunkan, ada kesannya." 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan