Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agihan kit ujian kendiri COVID-19 sudah selesai dijalankan, dedah SingPost

Pengagihan kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 kepada keluarga-keluarga merata Singapura sudah selesai dijalankan, menurut Singapore Post (SingPost) pada Selasa (28 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Agihan kit ujian kendiri COVID-19 sudah selesai dijalankan, dedah SingPost

Kit ujian kendiri ART yang dihantar kepada kotak-kotak surat para penduduk.

Diterbitkan : 28 Sep 2021 01:19PM Dikemas Kini : 28 Sep 2021 01:21PM

SINGAPURA: Pengagihan kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 kepada keluarga-keluarga merata Singapura sudah selesai dijalankan, menurut Singapore Post (SingPost) pada Selasa (28 Sep).

Pihak berkuasa mengumumkan bulan lalu bahawa setiap keluarga akan menerima satu pakej yang mengandungi enam kit ujian kendiri antara 28 Ogos dengan 27 September menerusi SingPost, sebagai sebahagian daripada strategi Singapura untuk meningkatkan usaha pengujian.

Menjawab pertanyaan mengenai aduan yang mendakwa sesetengah penduduk belum menerima kit mereka, jurucakap SingPost berkata pengagihan kit ART kepada semua keluarga yang layak sudah selesai dijalankan mengikut jadual pada 27 September.

"Memandangkan pengagihan ART menggunakan khidmat pemantau penghantaran bungkusan, para posmen kami diarahkan supaya mengambil gambar kit-kit selepas meletakkannya dalam peti surat sebagai bukti ia sudah dihantar," terang jurucakap itu kepada Mediacorp.

Keluarga-keluarga yang masih belum mendapat kit-kit ujian mereka boleh menghubungi SingPost di talian 1605 atau mengirimkan emel kepada talk2us [at] singpost.com.

SingPost sebelum ini menyatakan bahawa kit ART akan dihantar secara langsung ke peti surat para penduduk sambil menambah bahawa mereka boleh memantau kemas kini penghantarannya menerusi aplikasi SingPost.

"Sedang Singapura secara bertahap-tahap beralih ke negara yang berdaya bingkas terhadap COVID-19, masyarakat akan memainkan peranan yang semakin penting dalam menangani pandemik," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) semasa mengumumkan pengagihan kit-kit tersebut.

Aspek utamanya adalah melaksanakan tanggungjawab peribadi dengan melakukan ujian kendiri dan memantau kesihatan diri sendiri, tambah kementerian itu.

Senarai kit ART dan arahan tentang bagaimana untuk menggunakannya boleh didapatkan di laman MOH.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan