Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Agensi pelancongan Melayu/Islam sibuk buat persiapan tawarkan pakej percutian ke destinasi VTL

Agensi-agensi pelancongan Melayu/Islam yang dihubungi BERITAmediacorp kini sibuk membuat persiapan bagi menawarkan lebih banyak pakej percutian ke negara-negara di bawah skim Laluan Perjalanan bagi Penumpang yang Divaksin (VTL).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Agensi-agensi pelancongan Melayu/Islam yang dihubungi BERITAmediacorp kini sibuk membuat persiapan bagi menawarkan lebih banyak pakej percutian ke negara-negara di bawah skim Laluan Perjalanan bagi Penumpang yang Divaksin (VTL).

Ini setelah mereka menerima banyak pertanyaan dan permintaan berikutan pengumuman pemerintah Sabtu lalu (9 Okt) bagi melanjutkan VTL ke lagi lapan negara.

(Gambar: Mediacorp)

(Gambar: Mediacorp)

Mulai 19 Oktober, para pelawat lengkap divaksin dari Kanada, Denmark, Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol, Britain dan Amerika Syarikat boleh memasuki Singapura di bawah aturan ini.

Ini selain dua negara yang sudah dilancarkan pada bulan lalu iaitu Brunei dan Jerman sementara Korea Selatan pula bermula 15 November.

SEPARUH TEMPAT PAKEJ KE JERMAN SUDAH DITEMPAH

Bagi syarikat Jalaluddin Travel & Services, dalam masa dua hari sahaja, mereka sudah menerima lebih daripada 60 pertanyaan mengenai pakej percutian ke negara-negara itu.

Sebagai permulaan, syarikat itu menawarkan pakej percutian ke Jerman dahulu untuk musim cuti sekolah hujung tahun ini.

Harga buat pakej 11 hari ke Jerman ini adalah sekitar S$4,190 dan hampir separuh tempat yang ditawarkan sudah pun ditempah setakat ini.

Menurut Pengarah Urusan agensi tersebut, Jalaluddin Hassan, mereka juga kini merancang untuk menambah pakej percutian ke destinasi-destinasi yang ada permintaan tinggi termasuk Korea Selatan dan negara-negara Eropah.

Namun, ini bergantung kepada kemudahan-kemudahan mesra Muslim yang dibuka dan tersedia di negara-negara itu waktu pandemik ini.

"Kami bersemangat untuk menawarkan pakej-pakej lain tetapi ia memerlukan masa kerana ini merupakan perkara yang baru dan kami memerlukan sedikit masa untuk berhubung dengan syarikat-syarikat tersebut," kongsi Encik Jalaluddin.

"Ini lebih-lebih lagi dengan banyak restoran Halal yang terpukul sejak pandemik melanda. Oleh kerana itu, kami ingin memastikan bahawa kami boleh terus menawarkan pakej-pakej Halal ke destinasi-destinasi yang ingin dikunjungi agar para pelanggan kami dapat perjalanan yang selesa," tambah beliau lagi.

Encik Jalaluddin berkata syarikatnya akan memuatnaikkan maklumat mengenai pakej-pakej percutian akan datang ke laman sesawang syarikat itu bagi makluman para pelanggan.

TUNGGU WAKTU LEBIH STABIL & SESUAI
Bagi Hahnemann Travel & Tours pula, meski mengalu-alukan lanjutan VTL ini, mereka tidak mahu tergesa-gesa untuk menawarkan pakej percutian kerana keadaan yang tidak menentu buat masa ini.

"Kami pun rasa terbantut apabila Singapura sebelum ini mengumumkan ia akan buka tetapi tiba-tiba ditutup kembali. Jadi, kalau situasi sudah berjalan lancar, tidaklah keadaan tersekat-sekat," ujar Encik Muhammad Hisyam Ahmad, Pengurus Hahnemann Travel & Tours.

"Kami tidak ingin menghampakan para pelanggan kami yang sudah lama menunggu," tambahnya lagi.

Namun, jika keadaan lebih stabil, mereka akan menawarkan pakej percutian ke Jerman dahulu kerana sudah menerima permintaan yang tinggi.

"Kalau mengikut destinasi-destinasi utama, saya rasa adalah Jerman kerana ini merupakan pakej yang paling menarik," kata Encik Hisyam.

Pihak Hahnemann Travel & Tours berharap dapat melancarkan pakej-pakej itu pada November nanti.

Selain itu, antara destinasi yang dipertimbangkan adalah Sepanyol yang sudah menerima 50 pertanyaan sejak Sabtu lalu (9 Okt).  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan