Images
  • Msia agensies
    Dominick Tan Chang Xiang dan Lum Jie bergambar bersama anggota bomba Johor. (Gambar: Facebook/Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor)

Agensi M'sia "tungkus lumus" cari 2 rakyat S'pura yang hilang, kata Dr Balakrishnan

SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar vivian Balakrishnan menyampaikan ucapan terima kasih kepada agensi-agensi Malaysia kerana membantu menyelamatkan dua rakyat Singapura yang hilang semasa mendaki Gunung Pulai di Johor.

"Kami amat berterima kasih kepada agensi-agensi Malaysia, khususnya Ketua Polis Johor Muhd Khalil, Polis Johor dan Jabatan Bomba Kulai, yang bertungkus lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat selama empat hari," kata Dr Balakrishnan menerusi catatan di laman Facebook beliau hari ini (8 Feb).

"Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada para sukarelawan dari Malaysia dan Singapura yang membantu misi pencarian ini."

Dr Balakrishnan juga berkata beliau "gembira" mendengar bahawa keadaan kedua-dua rakyat Singapura, Dominick Tan dan Clarice Lum Jie, stabil.

Mereka hanya mengalami cedera ringan dan sudahpun dibenarkan keluar hospital.

Beliau menambah para pegawai dari Konsulat Singapura di Johor Baru juga sama-sama berganding bahu membantu anggota keluarga pasangan tersebut.

Saudara mara pasangan itu turut melahirkan penghargaan mereka atas bantuan yang dihulurkan oleh pihak berkuasa Malaysia dan sukarelawan dari kedua-dua negara.

"Selain ketua polis Johor, kami ingin berterima kasih kepada Bomba, Konsulat Singapura di Johor Baru...semua pihak saling bantu-membantu," kata bapa saudara Cik Lum.

"Kumpulan dari Malaysia dan Singapura menyediakan layanan (yang baik) dan bantuan," tambah beliau.

- CNA/NK/nk

Top