Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AGC fail aduan disiplin terhadap M Ravi

Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan aduan disiplin kepada Persatuan Guaman Singapura (Law Society) mengenai "kemungkinan salah laku profesional" oleh peguam M Ravi, menurut AGC dalam kenyataan medianya pada Jumaat (23 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
AGC fail aduan disiplin terhadap M Ravi

Peguam M Ravi (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 24 Oct 2020 08:28AM Dikemas Kini : 24 Oct 2020 08:32AM

SINGAPURA: Pejabat Peguam Negara (AGC) memfailkan aduan disiplin kepada Persatuan Guaman Singapura (Law Society) mengenai "kemungkinan salah laku profesional" oleh peguam M Ravi, menurut AGC dalam kenyataan medianya pada Jumaat (23 Okt).

Aduan tersebut difailkan setelah peguam Carson Law Chambers itu tidak memohon maaf dan menarik balik tanpa syarat tuduhan berkaitan dengan kes Gobi Avedian, seorang pengedar dadah yang hukuman mati terhadapnya dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Dalam wawancara video bersama The Online Citizen (TOC) mengenai keputusan mahkamah pada 19 Oktober, Encik Ravi "membuat tuduhan serius yang membuat andaian bahawa pendakwa raya telah bertindak dengan niat tidak baik atau berniat jahat semasa mengemukakan rayuan" dan bahawa "tuduhan salah laku itulah yang menyebabkan hukuman mati dijatuhkan" ke atas Gobi, tambah AGC.

"Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang penemuan buruk terhadap pendakwa raya. Tuduhan Encik Ravi adalah palsu, mengelirukan, dan tidak adil dan memburukkan secara haram nama baik AGC," tambahnya.

Menurut AGC, Encik Ravi tidak memenuhi permintaannya untuk meminta maaf dan tanpa syarat menarik balik tuduhannya terhadap AGC sebelum tengah hari Khamis. AGC menyampaikan permintaan itu kepada peguam tersebut melalui surat yang dikirimkan pada Selasa.

Dalam memfailkan aduan itu kepada Persatuan Guaman, AGC menyatakan bahawa Encik Ravi "tidak memenuhi piawai tingkah laku profesional yang diharapkan daripada seorang peguam bela dan peguam cara".

Ia menambah: "Oleh kerana perkara ini sudah diserahkan kepada Persatuan Guaman, AGC tidak akan mengulas lanjut."

Memberikan responsnya terhadap tindakan AGC, Ravi memberitahu Mediacorp bahawa Peguam Negara "menyalahgunakan proses itu".

Beliau berkata: "Peguam Negara menyalahgunakan proses tersebut, memandangkan aduan yang difailkan kepada Persatuan Guaman akan diserahkan kepada tribunal disiplin, kerana Hakim Besar tidak memiliki budi bicara tetapi diberi mandat oleh Parlimen untuk menubuhkan sebuah tribunal disiplin.

"Berbanding dengan aduan terhadap Peguam Negara atau pendakwa raya - misalnya, kes Cik Parti Liyani - Hakim Besar mempunyai budi bicara sama ada untuk mengizinkan aduan disiasat oleh tribunal disiplin."

Beliau menambah: "Apabila aduan dikemukakan terhadap seorang peguam, Peguam Negara menikmati status istimewa di mana Hakim Besar tidak mempunyai kuasa untuk mengatakan 'tidak'. Ini tidak mengikut perlembagaan dan mencabuli hak saya untuk memperolehi kesaksamaan."

Cik Liyani, yang hukuman terhadapnya dibatalkan, diberi izin oleh Hakim Besar Sundaresh Menon pada Jumaat untuk siasatan dijalankan ke atas aduan salah laku terhadap dua pendakwa raya dalam perbicaraan kesnya.

Encik Ravi berkata beliau akan "memulakan proses untuk mencabar kedudukan yang tidak setara ini", dan membawa Persatuan Guaman dan Peguam Negara "ke mahkamah mengenai perkara ini".

"Persatuan Guaman mempunyai kewajipan di bawah Akta Kerjaya Guaman untuk melindungi kepentingan peguam dan kebebasan persatuan itu sendiri," tambahnya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan