Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

AGC dakwa 'kemungkinan salah laku profesional' oleh isteri Lee Hsien Yang

Satu kes "kemungkinan salah laku profesional" oleh peguam Lee Suet Fern - isteri kepada Encik Lee Hsien Yang - dalam menyiapkan wasiat terakhir mendiang Encik Lee Kuan Yew dirujuk kepada Persatuan Undang-Undang oleh Pejabat Peguam Negara (AGC).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 07 Jan 2019 12:46PM Dikemas Kini : 08 Jan 2019 12:45AM

SINGAPURA: Satu kes "kemungkinan salah laku profesional" oleh peguam Lee Suet Fern - isteri kepada Encik Lee Hsien Yang - dalam menyiapkan wasiat terakhir mendiang Encik Lee Kuan Yew dirujuk kepada Persatuan Undang-Undang oleh Pejabat Peguam Negara (AGC).

"Dalam kes ini, AGC sedar akan kemungkinan kes salah laku profesional oleh Cik Lee. Cik Lee kelihatannya menyiapkan Wasiat Terakhir Encik Lee Kuan Yew dan mengaturkan supaya Encik Lee Kuan Yew menandatangani wasiat itu, meskipun suaminya, Encik Lee Hsien Yang ialah salah seorang penerima Wasiat Terakhir," menurut AGC dalam kenyataannya hari ini (7 Jan).

"Bahagian untuk Encik Lee Hsien Yang meningkat dalam Wasiat Terakhir. AGC juga sedia maklum bahawa Encik Lee Hsien Yang secara terbuka mengatakan bahawa draf Wasiat Terakhir itu disiapkan oleh Cik Kwa Kim Lee dari M/s Lee & Lee. Namun, Cik Kwa Kim Lee menafikan beliau menyiapkan draf itu," tambah AGC.

Menurut kenyataan itu, kes tersebut "tidak bersangkut paut" dengan kesahihan Wasiat Terakhir Encik Lee Kuan Yew.

Cik Lee, yang merupakan bekas rakan pengurusan syarikat guaman Morgan Lewis Stamford, terbabit dalam satu pertikaian antara anak-anak mendiang Encik Lee - suaminya, Dr Lee Wei Ling dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong - berhubung persiapan wasiat terakhir bapa mereka.

Di bawah peraturan tatalaku profesional guaman, para peguam tidak dibenarkan meletakkan diri mereka dalam kedudukan yang menimbulkan konflik kepentingan, menurut AGC.

"Apabila seseorang berhasrat untuk memperuntukkan pemberian yang besar dalam wasiat kepada salah seorang anggota keluarga peguam, peguam itu tidak boleh bertindak bagi pihak orang tersebut dan mesti menasihatinya supaya mendapatkan nasihat bebas. Peraturan ini perlu dipatuhi walaupun peguam itu mempunyai hubungan dengan pihak yang membuat pembahagian," tambahnya.

Menurut AGC, Peguam Negara Lucien Wong sudah menarik diri daripada kes tersebut dan Timbalan Peguam Negara Lionel Yee sedang mengendalikan kes tersebut. Encik Wong ialah bekas peguam peribadi PM Lee.

Encik Yee "beberapa kali" menulis kepada Cik Lee sejak Oktober 2018, "memintanya untuk menjelaskan kedudukannya dan peranannya (jika ada) dalam persiapan Wasiat Terakhir", menurut AGC.

"Namun, meskipun meminta tempoh menjawab dilanjutkan, Cik Lee tidak menjawab soalan-soalan yang dikemukakan AGC," menurutnya, sambil menambah bahawa isu itu kemudian dirujukkan kepada Persatuan Undang-Undang.

"Timbalan Peguam Negara juga meminta kes dirujuk kepada Tribunal Disiplin," tambah kenyataan itu.

AGC menyatakan bahawa "ia mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang untuk menangani salah laku oleh para peguam" dan apabila menyedari akan kemungkinan salah laku, ia perlu menimbangkan sama ada kes tersebut perlu dirujuk kepada Persatuan Undang-Undang.

"PENGGUNAAN PROSES UNDANG-UNDANG YANG TIDAK PERNAH BERLAKU": LEE WEI LING

Awal daripada itu, pada Ahad (6 Jan), anak perempuan mendiang Encik Lee Kuan Yew, Dr Lee Wei Ling menulis di Facebook tentang aduan AGC yang beliau sifatkan sebagai "tidak berasas sama sekali".

Menurut Dr Lee, ia "mengulangi dakwaan yang sudah dibuat beberapa tahun lalu" oleh PM Lee menerusi peguam peribadinya.

"Setahu kami, penggunaan proses undang-undang melibatkan wasiat peribadi sebegini tidak pernah berlaku," katanya.

"Hsien Loong tidak senang dengan wasiat bapa kami dan permintaan bapa kami untuk merobohkan rumahnya di 38 Oxley Road. Lee Kuan Yew memberitahu semua anaknya dan peguamnya dari Lee & Lee apabila siap wasiat terakhir dan kodisil lima tahun lalu. Pada 2015, atas desakan Hsien Loong, probet bagi wasiat itu diperolehi.

"Pada masa itu, semua pihak termasuk Hsien Loong menerima wasiat itu sebagai mewakili permintaan sebenar Lee Kuan Yew. Selepas probet, pada 2016 dan 2017, Hsien Loong cuba mempertikaikan wasiat itu menerusi jawatankuasa menteri-menterinya," tambah Dr Lee.

Beliau selanjutnya mempersoalkan langkah AGC.

"Lee Kuan Yew, seorang peguam yang amat disegani, tidak pernah mengadu tentang wasiatnya. Tiada penerima mengadu kepada Persatuan Undang-Undang, Hsien Loong yang dinasihati Lucien Wong (sebelum ini peguam peribadinya, kini Peguam Negara) pun tidak. Mengapa ada tentangan baru terhadap wasiat ayah kami? Mengapa ia dilakukan sekarang, dan oleh AGC, setelah sekian lamanya? Kami berpandangan tindakan ini sama sekali tidak berasas," kata Dr Lee.

Pertikaian tentang Oxley Road pertama kali diketahui umum pada 14 Jun 2017, apabila Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling mengeluarkan kenyataan menerusi Facebook.

Dalam catatan bertajuk "What has happened to Lee Kuan Yew's values?" (Apa yang terjadi kepada nilai-nilai Lee Kuan Yew?), adik-beradik itu menekankan tentang permintaan bapa mereka supaya rumah itu dirobohkan dengan segera selepas beliau meninggal dunia.

Mereka juga mendakwa abang mereka, PM Lee, ingin mengekalkan rumah itu "untuk mewarisi kewibawaan (Lee Kuan Yew)" dan berkata bahawa mereka sudah "hilang kepercayaan" terhadapnya dan "berasa terancam" dengan penggunaan kedudukan dan pengaruhnya ke atas Pemerintah Singapura serta agensi-agensinya untuk "memenuhi agenda peribadinya".

PM Lee menafikan dakwaan-dakwaan itu dan selanjutnya memohon maaf kepada rakyat Singapura menerusi satu video, sambil melahirkan rasa kesal yang mendalam bahawa pertikaian itu telah menjejas reputasi negara dan keyakinan Singapura terhadap Pemerintah.

Mediacorp telah meminta Persatuan Undang-Undang untuk memberi komen tentang kes melibatkan Cik Lee Suet Fern. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan