Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aduan pesakit terhadap doktor boleh diselesaikan dalam tempoh 18 bulan

Para pesakit bakal mendapatkan keputusan aduan terhadap doktor mereka kepada Majlis Perubatan Singapura (SMC), dalam tempoh 18 bulan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (13 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Aduan pesakit terhadap doktor boleh diselesaikan dalam tempoh 18 bulan

Gambar fail seorang doktor. (Gambar: AFP/Joe Raedle)

Diterbitkan : 13 Sep 2019 07:52PM Dikemas Kini : 13 Sep 2019 07:56PM

SINGAPURA: Para pesakit bakal mendapatkan keputusan aduan terhadap doktor mereka kepada Majlis Perubatan Singapura (SMC), dalam tempoh 18 bulan, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (13 Sep).

Buat masa ini, tiada had masa diperuntukkan bagi proses itu.

Menteri Negara Kanan Kesihatan Edwin Tong membentangkan langkah-langkah yang sedang diterokai kementeriannya untuk mencapai garis masa tersebut, berdasarkan usulan awal sebuah kumpulan kerja yang dibentuk untuk meneliti proses SMC.

Antara saranan yang dibentangkan adalah penubuhan jawatankuasa siasatan baru untuk "menapis dengan pantas" aduan dalam tempoh tiga minggu.

Jawatankuasa itu boleh menggugurkan kes yang tidak berasas, merujuk kes kepada Jawatankuasa Aduan tiga anggota untuk disiasat atau menyalurkan kes yang melibatkan kemungkinan salah faham kepada proses perantaraan.

Sebuah jawatankuasa undang-undang akan duduk dalam jawatankuasa siasatan, yang akan memberikan pencerahan undang-undang bagi kes-kes tersebut, tambah beliau.

Bercakap di luar kongres saintifik di Carlton Hotel di Bras Basah, Encik Tong berkata secara keseluruhannya, garis masa di setiap tahap akan diperketat.

PERANTARAAN MAIN PERANAN LEBIH BESAR

Sekitar 80 peratus aduan yang diterima SMC boleh dihuraikan menerusi perantaraan, kata Encik Tong.

Proses perantaraan menurut beliau boleh digunakan bagi kes-kes yang berasas namun mungkin tidak melibatkan salah laku. Kes-kes sebegini mungkin akibat rasa tidak puas hati terhadap khidmat atau tata tertib yang kurang baik.

Encik Tong berkata proses sedia ada tidak menganalisis aduan untuk menentukan sama ada ia sesuai untuk proses perantaraan. Sebaliknya, dakwaan yang dibuat akan dinilai sama ada untuk digugurkan atau dirujuk kepada tribunal disiplin bebas yang kemudian memulakan siasatan rasmi.

Terdapat pilihan perantaraan dalam proses sedia ada, namun tanpa had waktu, perantaraan boleh berlaku "hingga bertahun-tahun" sesudah aduan dibuat dan ini menjadikannya suatu cara penyelesaian yang jarang dipilih, jelas Encik Tong.

"Jika saya buat aduan dan ia tidak selesai hingga bertahun-tahun kemudian, saya rasa apabila tiba saat itu pendirian semua pihak semakin keras. Jadi jika anda ingin melakukan perantaraan, perlu dibuat pada tahap awal," kata beliau.

PASTIKAN SUMBER TIDAK "TERSUMBAT"

Jika kes-kes yang sesuai untuk proses perantaraan dapat "dikeluarkan" daripada sistem dari awal, ini bermakna sumber-sumber bagi langkah seterusnya, terutama bagi tribunal disiplin, tidak akan 'tersumbat', kata Encik Tong.

Buat masa ini, daripada purata 155 aduan yang diterima SMC setiap tahun, 16 dirujuk kepada tribunal disiplin, yang menurut Encik Tong memerlukan sumber paling banyak.

Dengan meletakkan lebih banyak lapisan penapis pada peringkat awal, jumlah kes yang ditangani tribunal disiplin berkemungkinan akan berkurangan, kata beliau lagi.

Kumpulan kerja tersebut dijadual menyerahkan saranan-saranannya menjelang hujung tahun ini.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan