Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Aduan bunyi bising dari kerja ubah elok meningkat dengan lebih ramai bekerja dari rumah

Jumlah aduan yang diterima mengenai bunyi bising dari kerja-kerja ubah elok meningkat selepas projek-projek ubah elok disambung semula setelah ia tergendala akibat tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Aduan bunyi bising dari kerja ubah elok meningkat dengan lebih ramai bekerja dari rumah

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 27 Nov 2020 09:36PM Dikemas Kini : 27 Nov 2020 09:37PM

SINGAPURA: Jumlah aduan yang diterima mengenai bunyi bising dari kerja-kerja ubah elok meningkat selepas projek-projek ubah elok disambung semula setelah ia tergendala akibat tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Mentelah lagi, lebih ramai orang kini bekerja dari rumah disebabkan pandemik COVID-19.

Antara 2 Jun hingga 31 Okt, sebanyak 286 aduan dibuat mengenai bunyi bising dari kerja-kerja ubah elok dalam kalangan penduduk rumah berhalaman, demikian menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) kepada Mediacorp.

Jumlah itu adalah kenaikan sebanyak 60 peratus daripada 178 aduan yang diterima bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Sekitar 10 peratus daripada aduan itu melibatkan kerja-kerja ubah elok di mana bunyi bising melebihi had ditetapkan. NEA mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak kontraktor yang bertanggungjawab ke atas tapak-tapak tersebut," menurut NEA.

Namun, ia menyatakan bahawa secara keseluruhan jumlah aduan yang dibuat mengenai bunyi bising di tapak binaan, termasuk bunyi bising dari kerja-kerja ubah elok, merosot dari 4,170 kepada 3,682 bagi tempoh yang sama.

Ini disebabkan oleh "jumlah kegiatan lebih rendah di tapak binaan pada peringkat awal selepas Singapura menamatkan tempoh pemutus jangkitan pada 2 Jun", menurut NEA.

Berhubung kawasan perumahan awam, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tidak dapat memberikan anggaran jumlah aduan yang diterima berhubung bunyi bising dari kerja-kerja ubah elok.

"Memandangkan penyedia maklum balas mungkin menghubungi HDB lebih daripada sekali untuk memberi maklum balas mengenai kes yang sama, jumlah maklum balas yang diterima mungkin tidak mewakili jumlah kes yang sebenar. Justeru, perangkaannya tidak begitu bermakna," kata HDB kepada Mediacorp pada Isnin (23 Nov).

HDB menambah bahawa ia "meningkatkan langkah-langkah bagi mengurangkan kesulitan" akibat kerja-kerja ubah elok dengan mengingatkan pemilik flat dan kontraktor tentang pelbagai keperluan dan amalan yang baik.

Ini termasuk mengingatkan kontraktor supaya memberi notis bertulis kepada unit-unit bersebelahan tentang kerja-kerja ubah elok yang bising seperti memecahkan dinding, sekurang-kurangnya tiga hari sebelum ia dimulakan.

Aduan bunyi bising yang dibuat di kondominium pula akan diuruskan oleh ejen pengurusan masing-masing.

APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN JIKA TERJEJAS OLEH BUNYI BISING

Bagi mereka yang terjejas oleh bunyi bising dari rumah-rumah berhampiran, nasihat yang biasa diberikan ialah untuk membuat perancangan keluar rumah semasa tempoh kerja-kerja dijalankan, kata penolong setiausaha Persatuan Kontraktor Ubah Elok Singapura & Pembekal Bahan, Michael Ong.

Jika keluar rumah bukan satu pilihan di tengah-tengah pandemik, mereka boleh ikut saranan berikut.

"Jika unit yang diubah elok terletak bertentangan dengan apartmen anda, buka tingkap tapi terus tutup pintu anda. Jika unit yang diubah elok terletak di atas atau di bawah unit anda, buka kesemua tingkap dan pintu. Jika tidak, anda akan rasa gegaran dalam rumah," kata Encik Ong.

Beliau juga menyarankan penduduk menggunakan penutup telinga atau 'ear plugs' atau fon telinga yang dapat mengurangkan bunyi bising jika perlu.

Jika bunyi bising itu terlalu melampau, beliau berkata jiran tetangga boleh membuat permohonan - yang munasabah - untuk menghentikan kerja-kerja ubah elok buat sementara waktu.

"Anda mesti bersikap timbang rasa kerana kerja-kerja ubah elok mesti diteruskan, namun anda boleh katakan: 'Bolehkah anda hentikan kerja-kerja untuk sehari? Anak saya akan menduduki peperiksaan penting hari ini," Kami akan cuba hentikan kerja-kerja ubah elok," kata Encik Ong.

"Namun tempoh maksimum adalah selama tiga hari, sebarang permohonan melebihi tempoh itu saya rasa pelanggan saya tidak akan melayannya," kata beliau sambil menukil keperluan mengikut garis masa projek.

APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN JIKA PERLU LAKUKAN KERJA-KERJA UBAH ELOK

Encik Ong berkata mereka yang meranang melakukan kerja-kerja ubah elok harus bercakap dengan jiran tetangga yang baru mahu pun yang lama secara peribadi - selain daripada memaklumkan kepada mereka tentang kerja-kerja ubah elok yang akan dilakukan menerusi surat notis.

Menurut Encik Ong, dalam sekitaran perumahan bandar yang padat di sini, adalah penting untuk memupuk semangat kejiranan dan persefahaman "bahawa keadaan sedemikian tidak dapat dielakkan".

"Yang penting adalah kedua-dua pihak harus peka dan bersikap munasabah," katanya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan