Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ada 3 peranan utama wanita dalam mencegah atau menggalak radikalisasi

Seramai 24 wanita di Singapura menjadi radikal sejak tahun 2015. Ini meliputi tiga wanita rakyat Singapura dan 21 pembantu rumah asing.

Anggaran Waktu Membaca:
Ada 3 peranan utama wanita dalam mencegah atau menggalak radikalisasi

Gambar hiasan. (Gambar: Janko Ferlic/Pexels.com)

SINGAPURA: Seramai 24 wanita di Singapura menjadi radikal sejak tahun 2015. Ini meliputi tiga wanita rakyat Singapura dan 21 pembantu rumah asing.

Kebanyakan daripada mereka adalah penyokong kumpulan pelampau ISIS.

Demikian menurut seorang jurucakap Kementerian Ehwal Dalam Negeri semasa menjawab pertanyaan BERITAmediacorp.

Sekalipun demikian, peranan wanita dalam keganasan ekstrim dan pengganasan jarang dibincangkan. Jadi, sedang landskap keselamatan berubah-ubah dan berkembang, usaha-usaha baru perlu diambil untuk menanganinya.

Ini termasuk memperdalam kefahaman tentang peranan wanita dalam mencegah dan juga mengalak radikalisasi sekali gus membangunkan keupayaan para kaunselor untuk menanganinya.

Lantaran itu, Taman Bacaan Singapura dengan kerjasama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Zamil Pelawat RSIS, Dr Noor Huda Ismail menganjurkan satu sesi seminar menangani keganasan ekstrim (CVE) yang bertajuk 'Women and radicalisation' (Wanita dan radikalisasi) bersama para kaunselor Jagaan Susulan Antara Agensi (ACG) semalam (18 Jan).

Sesi seminar itu menampilkan tiga segmen termasuk pembentangan oleh RRG dan Dr Noor Huda - iaitu Cabaran kaunseling agama untuk wanita dan Wanita dan radikalisasi, tayangan filem berjudul 'Seeking the Imam' (Mencari Imam) dan satu sesi dialog tertutup bersama tetamu terhormat Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, kaunselor RRG Ustazah Kalthom Isa dan Presiden Taman Bacaan Abdul Halim Kader.

3 PERANAN UTAMA WANITA

Menerusi seminar itu, tiga peranan utama wanita dirumuskan dalam mencegah atau menggalak radikalisasi.

Pertama, wanita boleh menjadi ganas seperti lelaki.

Kumpulan-kumpulan pelampau bergantung kepada kaum wanita untuk menetapkan strategi, merekrut mereka sebagai pembimbing dan yang akan diangkat sebagai pejuang agama serta meraih manfaat daripada sifat mengetepikan keinginan diri sendiri kaum wanita.

Peranan dan penyertaan wanita seringkali tidak diendahkan dalam insiden-insiden keganasan ekstrim termasuk sebagai pelaku, faktor pengurang dan mangsa.

Kedua, kaum wanita berupaya mencetuskan ekstrimisme dengan menyampaikan ideologi mereka secara online dan menanam ideologi-ideologi tersebut pada anggota keluarga mereka.

Dengan peranan kebanyakan wanita sebagai isteri dan ibu, wanita boleh meradikalkan keluarga atau mencegah mereka daripada menjadi radikal.

Ketiga, internet dan media sosial membolehkan usaha mendampingi lebih ramai orang dilakukan secara lebih sofistikated. Mesej-mesej yang ingin disampaikan dapat disasarkan secara langsung kepada rekrut wanita dan mereka yang sudah menjadi radikal.

Ia juga menyediakan platform di mana pelampau-pelampau wanita dapat terus meluaskan rangkaian rekrut mereka. Malah, memainkan peranan operasi yang lebih besar di ruang maya. Kegagalan usaha-usaha antipengganasan untuk memahami cara wanita menjadi radikal, menyokong dan menggalak keganasan memperkukuh manfaat pelibatan mereka dalam kumpulan-kumpulan pelampau.

KES WANITA RADIKAL DI S'PURA

Di Singapura, wanita tempatan pertama yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah Dian Faezah Ismail pada tahun 2016. Dia dikenakan Perintah Sekatan (RO)

Dia menyokong suaminya, Mohamed Omar Mahadi yang ditahan kerana mahu menyertai perang bersama-sama ISIS.

Lagi dua wanita rakyat Singapura yang menjadi radikal adalah Syaikhah Izzah Zahrah Al Ansari dan Munavar Baig Amina Begam; kedua-duanya dikenakan Perintah Tahanan (OD) pada 2017. Mereka turut ditangani di bawah ISA kerana menyokong ISIS.

Baki 21 wanita yang merupakan pembantu rumah asing di Singapura. Dua daripada mereka masih menjalani hukuman penjara atas kesalahan membiayai kegiatan pengganasan. Manakala yang lain sudah dihantar pulang setelah selesai siasatan ke atas mereka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan