Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

ACRES rayu maklumat burung tiung digam pada pokok di Chua Chu Kang

Kumpulan penyelamat haiwan liar Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES) hari ini (21 Okt) merayu bagi maklumat tentang seekor burung tiung yang dilekatkan pada ranting yang diikat pada sebatang pokok di Chua Chu Kang.

Anggaran Waktu Membaca:
ACRES rayu maklumat burung tiung digam pada pokok di Chua Chu Kang

Seekor burung tiung dilekatkan pada ranting yang diikat pada sebatang pokok di Chua Chu Kang. (Gambar: ACRES)

Diterbitkan : 21 Oct 2021 04:11PM Dikemas Kini : 21 Oct 2021 04:13PM

SINGAPURA: Kumpulan penyelamat haiwan liar Persatuan Penyelidikan dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES) hari ini (21 Okt) merayu bagi maklumat tentang seekor burung tiung yang dilekatkan pada ranting yang diikat pada sebatang pokok di Chua Chu Kang.

Dalam satu catatan Facebook, ACRES menyatakan ia menerima satu panggilan pada Rabu (20 Okt), sekitar pukul 8.30 pagi tentang seekor burung tiung yang "melekat pada ranting yang disaluti bahan seperti gam".

Ranting itu juga diikat menggunakan kabel pada dahan pokok di Blok 503 Chua Chu Kang Street 51.

Burung tiung tersebut kemudian diselamatkan pada pukul 8.50 pagi dan sedang beransur pulih.

"Tanpa panggilan telefon yang tepat pada masanya oleh pemanggil yang prihatin itu, burung tersebut akan mati akibat tekanan dan trauma kehilangan bulu/kurang air atau seekor haiwan pemangsa juga mungkin akan melekat pada bahan gam itu," menurut ACRES dalam catatan tersebut, sambil menyifatkan kes itu sebagai "menjelekkan".

ACRES juga mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Polis Singapura (SPF) kerana turun ke tempat kejadian selepas menerima panggilan itu.

Meskipun burung tiung tidak dilindungi di bawah Akta Haiwan Liar, ACRES menyatakan insiden itu serta insiden-insiden lain di mana burung-burung tiung ditemui dengan kakinya diikat dan digantung dari tempat yang tinggi, dianggap sebagai perbuatan kejam di bawah Akta Haiwan dan Burung.

ACRES menyatakan ia sudahpun menyerahkan semua maklumat penting termasuk lokasi-lokasi kamera litar tertutup (CCTV) kepada Lembaga Taman Negara (NParks), yang akan menjalankan siasatan ke atas kes tersebut.

Mereka yang mempunyai maklumat berguna berkaitan insiden tersebut boleh menghubungi ACRES untuk menghantar gambar-gambar, video-video atau kiriman emel.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan