Images
  • viva

Acara 'Viva Pesta!' dianjurkan jelang Anugerah Pesta Perdana

SINGAPURA: Sebuah acara 'Viva Pesta!' dianjurkan buat pertama kali di Mediacorp Town Square bagi menguar-uarkan acara Anugerah Pesta Perdana akhir bulan ini.

Ia antara lain memberikan penonton peluang berjumpa dan berinteraksi dengan artis kegemaran mereka sebelum acara gilang gemilang berkenaan pada 30 Mac.

Dengan pelbagai deretan aktiviti disediakan, Viva Pesta! mengumpulkan 30 artis Melayu tempatan di bawah satu bumbung.

Acara yang berlangsung selama enam jam ini, berjaya menarik lebih 1,500 pengunjung.

Turut hadir ialah calon-calon artis yang dinobatkan dalam kategori Pesta Perdana tahun ini.

"Bagi Hisyam setiap kami yang tercalon dalam kategori ini mempunyai peluang yang sama rata sebab apa kelima-lima kami berada dalam kategori ini atas undian peminat ataupun penonton di luar sana," kongsi pelakon Hisyam, calon kategori Personaliti Lelaki Paling Popular.

Pelakon tinggi lampai, Nurul Aini pula berkongsi mengenai pencalonannya bagi kategori Personaliti Wanita Paling Popular.

"Saya mengandung kali ini bagi Pesta Perdana. Saya sudah dicalonkan buat beberapa kali untuk kategori Personaliti Wanita Paling Popular, saya rasa amat terharu dan berterima kasih sebab masih ada ramai lagi artis-artis wanita yang lain," kata Nurul Aini.

Menurut Ketua Unit Audiens Melayu Mediacorp, Cik Sabariah Ramlan: "Bagi pihak kami salah satu cara untuk mendekatkan SURIA kepada para penonton kami ialah untuk mengadakan acara-acara seperti ini. Di mana kita dapat berinteraksi dengan lebih dekat lagi dan juga mendapat maklum balas secara langsung dan secara spontan di mana kita dapat memperbaiki lagi mutu rancangan-rancangan SURIA dan juga apa yang mereka hendak." 

- BERITAmediacorp/UR/na

Top