Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Acara ‘Seni di Kejiranan Anda’ tahun ini sajikan kegiatan terbanyak sejak 2014

Bagi anda yang minat pada seni pementasan dan instalasi, ‘Seni di Kejiranan Anda’ atau ‘Arts in Your Neighbourhood’ (AYN) memaparkan sekitar 70 kegiatan kesenian di 18 lokasi merata Singapura November ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi anda yang minat pada seni pementasan dan instalasi, ‘Seni di Kejiranan Anda’ atau ‘Arts in Your Neighbourhood’ (AYN) memaparkan sekitar 70 kegiatan kesenian di 18 lokasi merata Singapura November ini.

Jumlah kegiatan tahun ini merupakan yang tertinggi sejak AYN dilancarkan oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) empat tahun lalu.

Buat edisi ke-11 ini, kawasan Woodlands menjadi tumpuan utama di mana acara-acara seni diilhamkan daripada sejarah dan kenanagan sekitar kejiranan tersebut.

CERITA-CERITA DONGENG MELAYU DIHIDUPKAN SEMULA DALAM ‘AWANG BATIL’

Dikenali sebagai penglipur lara, watak Awang Batil sebenarnya merupakan bentuk ‘seni penceritaan’.

Inilah yang ingin dipaparkan Teater KAMi dalam penampilan sulungnya di AYN.

“Menerusi Awang Batil ini, penceritaan yang saya cuba ambil ialah menerusi cerita-cerita dongeng Melayu, seperti Pak Pandir, Lebai Malang dan Pak Kaduk. Ketiga-tiga cerita ini memang menarik untuk kita kongsi dengan generasi sekarang sebab mungkin mereka tidak tahu atau mereka sudah lupa tentang cerita-cerita ini,” kata Atin Amat, Pengarah Artistik Teater KAMi dan juga Pengarah bagi Awang Batil.

Malah, ini juga merupakan kali pertama syarikat teater ini membawa pementasan mereka dari panggung teater ke kawasan kejiranan.

Para pelakon pementasan Awang Batil (Gambar: Teater KAMi)

“Memang bukan mudah sebab kami selalu buat pementasan di panggung-panggung yang khusus untuk persembahan teater. Di situ semua senang untuk kami lakukan sebab ada aspek-aspek teknikalnya. Di luar, tidak ada ‘theatre magic’. Jadi kami harus mencari jalan untuk mewujudkan magik itu supaya dapat dilihat penonton secara langsung,” kata Cik Atin.

Dengan sambutan yang amat memberangsangkan pada minggu pertama persembahan mereka, Cik Atin berkongsi hasrat untuk mengadakan pementasan itu khusus bagi kanak-kanak pada masa hadapan.

Namun, menurut beliau juga, “Sebenarnya, drama ini sesuai untuk semua lapisan masyarakat, tidak kira muda atau tua. Golongan tua dapat membantu golongan muda seperti kanak-kanak untuk memahami cerita-ceritanya sebab banyak perkara-perkara positif yang dapat dipelajari melalui cerita-cerita dongeng ini.”

Pementasan terakhir Awang Batil akan diadakan Sabtu ini (17 November) di Bedok Town Square pada pukul 2 petang dan 5 petang.

‘IN THIS SPACE I WILL FIND YOU’ DIILHAMKAN DARI KEJIRANAN WOODLANDS

Turut membuat penampilannya yang pertama di AYN kali ini ialah Nhawfal Juma’at, 27 tahun yang mempamerkan instalasi seni di Woodlands Waterfront Park.

Dibesarkan di kawasan kejiranan Woodlands, Encik Nhawfal sering mendapatkan inspirasi daripada alam sekitar.

Dalam karya instalasi beliau yang bertajuk ‘In This Space I Will Find You’ Encik Nhawfal ingin memberikan pengalaman yang baru kepada kawasan Woodlands.

“Saya ingin memberikan nafas baru kepada tempat yang sering dikunjungi penduduk-penduduk di sini. Jadi saya mencipta sesuatu yang berbeza dengan keadaan kehidupan di Woodlands yang sibuk. Melalui pemasangan ini, saya cuba untuk perlahankan masa dengan harapan yang para pengunjung dapat mencerminkan kehidupan mereka,” kata Encik Nhawfal.

Hasil karya Encik Nhawfal di Woodlands Waterfront Park (Gambar: Majlis Seni Kebangsaan)

Bagi menjayakan visinya, beliau menggunakan bahan seperti besi keluli seakan cermin untuk mendirikan 12 tiang setinggi 1.8 meter yang melambangkan masa, mengelilingi kubus di tengah.

Encik Nhawfal mendirikan karyanya. (Gambar: Majlis Seni Kebangsaan)

Tambah beliau, “Inspirasi saya sering datang daripada memerhatikan alam sekitar kita dan bentuk-bentuk geometri yang terdapat di estet perumahan Singapura. Walaupun projek ini saya baru dirikan lebih kurang dua minggu yang lalu, konsepnya sudah saya fikirkan dan dilukis lebih dua tahun lalu.”

Karya instalasi Encik Nhawfal akan dipamerkan hingga 27 Januari 2019.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ZZ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan