Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Abdullah Abdul Rahman hiasi koridor flat Tampines; semarakkan semangat S'pura jelang Hari Kebangsaan

Semangat kejiranan seorang penduduk yang menyerlah menarik perhatian para penduduk berbilang kaum di sebuah blok di Tampines.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Semangat kejiranan seorang penduduk yang menyerlah menarik perhatian para penduduk berbilang kaum di sebuah blok di Tampines.

Pada setiap perayaan agama sehingga Hari Kebangsaan, beliau menghiaskan kawasan blok yang didiaminya dengan keluhuran hati sebagai seorang rakyat Singapura.

Inilah kisah Encik Abdullah Abdul Rahman yang sanggup memasang dan menggantung
bendera-bendera merah putih bagi menghiasi sepanjang koridor tingkat empat di Blok 117 Tampines Street 11.

Temboknya pula dihiasi dengan poster-poster yang melambangkan semangat Singapura untuk menyambut Hari Kebangsaan.

Reben merah pula adalah penghargaan kepada para pekerja barisan hadapan yang telah berjuang sepanjang pandemik COVID-19 ini.

Hiasan tersebut merupakan sentuhan Encik Abdullah Abdul Rahman yang menetap di blok studio warga emas itu bersama ibunya.

Perhiasan di sepanjang koridor berkenaan dibiayainya sendiri.

Semua itu dilakukannya untuk menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan yang bakal disambut pada 9 Ogos ini.

"Ia sebagai penghargaan buat jiran-jiran saya. Kerana itulah saya menghiasi koridor untuk setiap perayaan - baik Tahun Baru Cina, Hari Raya dan sekarang Hari Kebangsaan," kongsi beliau.

Usaha menghiasi koridor kediamannya itu telah beliau lakukan sejak awal tahun ini untuk menghargai bantuan jiran tetangga yang telah membantu membersihkan laman rumahnya selama sebulan beliau dan keluarga menetap di rumah kakak setelah kematian ayahnya Disember lalu.

Usaha pemuda yang berusia 36 tahun itu turut mendapat perhatian pemimpin akar umbi di kawasan kediamannya.

Bekas cef pastri tersebut telah diminta untuk menghiaskan seluruh bloknya dan sebuah blok berdekatan bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

"Saya tak mampu nak bantu dari segi wang, jadi saya bantu dari segi tenaga untuk membuat kejiranan kawasan Tampines Changkat cantik dan jiran semua nampak pun gembira," tambah beliau.

Bukan setakat menghiasi blok, Encik Abdullah juga sering dicari jiran tetangganya untuk mendapatkan bantuan.

"Di sini saya banyak membantu orang lanjut usia yang tinggal seorang. Saya tolong apa yang patut lah. Setiap lantai ada alat penggera. Saya akan naik ke atas. Kalau saya tak dapat membantu, saya akan hubungi 995 atau polis," ujar beliau.

Semangat kejiranan seperti yang ditonjolkan Encik Abdullah dipaparkan dalam rancangan ehwal semasa DETIK. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan