Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

98.4% pelajar layak ke sekolah menengah, ketiga-tiga madrasah memenuhi tanda aras minimum PSLE

Sebanyak 98.4 peratus pelajar yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini berjaya melangkah ke sekolah menengah. Perangkaan ini sama dengan peratusan tahun lalu dan naik sedikit berbanding 98.3 peratus yang dicatatakan pada tahun 2015.

Anggaran Waktu Membaca:
98.4% pelajar layak ke sekolah menengah, ketiga-tiga madrasah memenuhi tanda aras minimum PSLE

(Gambar: TODAY).

Diterbitkan : 24 Nov 2017 04:21PM Dikemas Kini : 24 Nov 2017 04:26PM

SINGAPURA: Sebanyak 98.4 peratus pelajar yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tahun ini berjaya melangkah ke sekolah menengah. Perangkaan ini sama dengan peratusan tahun lalu dan naik sedikit berbanding 98.3 peratus yang dicatatakan pada tahun 2015.

38,942 pelajar menduduki peperiksaan negara itu tahun ini dan 38,312 layak memasuki sekolah menengah, demikian menurut Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (24 Nov).

Peratusan itu juga merupakan prestasi terbaik sejak PSLE diperkenalkan pada 1960.

Bagaimanapun jumlah yang layak ke aliran Ekspres berkurangan sedikit, dari 66.4 peratus pada tahun lalu kepada 66.2 peratus. Lagi 21.4 peratus layak masuk aliran Normal (Akademik) sementara 10.7 peratus akan memasuki aliran Normal (Teknikal).

Bagi 630 pelajar atau 1.6 peratus yang tidak layak ketiga-tiga aliran tersebut, mereka yang pertama kali menduduki peperiksaan PSLE boleh mengambilnya sekali lagi pada tahun depan. Mereka juga boleh mendaftar bagi Sekolah Assumption Pathway atau Sekolah Northlight, menurut MOE.

Mereka yang pernah menduduki PSLE lebih daripada sekali akan ditawarkan tempat di kedua-dua sekolah tersebut, tambah MOE.

Para pelajar yang layak masuk ke sekolah menengah boleh menyerahkan pilihan sekolah mereka melalui laman web MOE dari pukul 11.00 pagi hari ini (24 Nov) sehingga 30 Nov. Mereka juga boleh menghantar borang mereka ke sekolah rendah masing-masing.

Keputusan kemasukan ke sekolah menengah akan dikeluarkan pada 21 Disember dan para pelajar dikehendaki melaporkan diri di sekolah menenagh mereka pada pukul 8.30 pagi pada keesokan harinya, 22 Disember menurut MOE.

KEPUTUSAN PELAJAR MADRASAH

MOE menambah, kesemua 264 pelajar madrasah dari kohort darjah satu 2012 yang menduduki PSLE tahun ini juga berjaya memenuhi tanda aras kelayakan minimum PSLE.

Mereka merupakan pelajar dari ketiga-tiga madrasah - Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Madrasah Al-Ma'rif Al-Islamiah dan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.

Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah yang tidak memenuhi ukur tara penilaian tahun 2008 hingga 2010, tidak mengambil kohort pelajar darjah satu pada 2012, dan justeru tidak mempunyai calon pelajar PSLE tahun ini.

14 daripada 42 kanak-kanak yang bersekolah di rumah daripada kohort tahun ini, bagaimanapun tidak memenuhi penanda aras yang ditetapkan dan perlu menduduki PSLE sekali lagi tahun depan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan