Images
  • psle student horizon primary school
    Murid-murid Sekolah Rendah Horizon menunggu keputusan PSLE pada 24 Nov 2021. (Gambar: Mediacorp)

98.4% layak ke sekolah menengah berdasarkan penskoran baru PSLE

SINGAPURA: Bagi enam tahun berturut-turut, 98.4 peratus murid Darjah 6 yang menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) layak ke sekolah menengah, kali ini di bawah sistem penskoran Peringkat Pencapaian (AL) yang baru.

Keputusan PSLE dikeluarkan pada pukul 11.00 pagi tadi (24 Nov). Ini merupakan kohort pertama murid-murid yang diberikan markah mengikut sistem baru.

Di bawah sistem AL, murid-murid Darjah 6 akan mendapat markah AL antara 1 hingga 8 bagi setiap empat mata pelajaran mereka, dengan 1 merupakan markah terbaik dan 8 adalah yang terendah.

Skor keseluruhan mereka akan membentuk AL itu. Sistem itu menghasilkan 29 markah, berbanding dengan sistem penskoran T yang lalu yang mempunyai sekitar 200 variasi.

"Hasil keputusan di bawah sistem penskoran AL ini kekal sangat stabil. Jadi kami berharap para murid dan ibu bapa mereka berasa terjamin tentang PSLE dan sistem penskoran yang baru ini," kata Timbalan Pengarah Agung Pendidikan MOE Wong Siew Hoong.

"Kami melakukan peralihan dengan berhati-hati dan berhemah dari sistem T yang lama supaya murid-murid tidak terlalu mementingkan markah. Penekanan yang keterlaluan terhadap keputusan peperiksaan tidak sihat bagi pembangunan anak-anak kita."

Kelayakan kursus bagi kohort murid Darjah 6 tahun ini "sebahagian besarnya boleh dibandingkan" dengan kohort sebelum lalu di bawah sistem penskoran T, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataan medianya.

Seramai 39,119 murid Darjah 6 menduduki PSLE tahun ini, dengan 98.4 peratus layak memasuki sekolah menengah, menurut MOE.

Murid-murid yang layak memasuki kursus Ekspres membentuk 68.4 peratus daripada kohort tersebut, dengan 18.9 peratus layak ke kursus Normal (Akademik) dan 11.1 peratus bagi kursus Normal (Teknikal).

Sebahagian besar murid pada 2021 berjaya memasuki kursus Ekspres, berbanding dengan 66.3 peratus pada 2020. Bagi kursus Normal (Akademik), jumlah murid yang layak memasuki kursus itu merosot berbanding 21.2 peratus pada tahun lalu.

Penurunan ini sejajar dengan jumlah murid yang 'tinggi sedikit' layak memasuki kursus Ekspres, menurut MOE di sesi taklimatnya.

Murid-murid yang mendapat markah PSLE antara 4 dengan 20 layak bagi kursus Ekspres.

Murid-murid yang mendapat markah 21 atau 22 diberi pilihan untuk memasuki kursus Ekspres atau Normal (Akademik) sementara mereka yang mendapat markah 23 atau 24 layak bagi kursus Normal (Akademik).

Tahun ini, 11.1 peratus murid layak bagi kursus Normal (Teknikal) serupa dengan 11 peratus pada tahun lalu.

Murid-murid yang mendapat markah PSLE sebanyak 25 diberi pilihan antara kursus Normal (Akademik) atau Normal (Teknikal). Mereka yang mendapat markah antara 26 dengan 30 dan memperolehi keputusan AL7 atau lebih baik bagi mata pelajaran bahasa Inggeris dan Matematik layak bagi kursus Normal (Teknikal).

Sekitar 65 peratus murid yang layak bagi kursus Normal juga layak mengambil sekurang-kurangnya satu subjek di peringkat lebih mencabar, iaitu satu peningkatan daripada 47 peratus murid dalam kursus Normal dari kohort 2020.

Calon-calon yang tidak layak ke sekolah menengah boleh memilih untuk menduduki semula PSLE pada tahun depan, menurut MOE.

Mereka juga boleh memohon kepada Sekolah Assumption Pathway dan NorthLight, yang menawarkan program-program dengan pendekatan "pembelajaran amali'", dengan saranan daripada pengetua sekolah rendah mereka, menurut MOE.

Serupa dengan prosiding pada tahun lalu, para calon PSLE menerima keputusan mereka di dalam bilik darjah dan bukan sebagai satu kohort di dewan sekolah seperti tahun-tahun sebelumnya disebabkan oleh pandemik COVID-19.

PEMILIHAN SEKOLAH

MOE turut mengeluarkan julat anggaran markah bagi setiap sekolah menengah pada April lalu, yang berfungsi sebagai "titik permulaan" bagi murid-murid dan ibu bapa mereka untuk membuat pemilihan bagi sekolah menengah.

Murid-murid yang layak ke sekolah menengah boleh membuat permohonan bagi sekolah menengah yang menjadi pilihan mereka melalui laman MOE mulai pukul 11.30 pagi pada Rabu (24 Nov) hingga pukul 3.00 petang pada 30 November, menurut MOE.

Keputusan pemilihan Sekolah Menengah akan diumumkan antara 22 Disember dengan 24 Disember.

"Dengan sistem penskoran AL yang baru, ini bermakna murid-murid mempunyai lebih banyak pilihan sekolah menengah kerana sekolah-sekolah kini kurang dibezakan mengikut markah," kata Encik Wong.

"Pertimbangkan program-program tersendiri setiap sekolah, aktiviti luar darjah, etos, budaya dan tentu sekali perjalanan harian anak anda pergi dan balik sekolah."

- CNA/HA/ha

Top