Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

95% zakat diagihkan kepada 8 asnaf, baki diketepikan sebagai rizab tunai MUIS

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) lazimnya mengagihkan lebih 95 peratus zakat yang terkumpul kepada lapan asnaf yang berhak menerimanya. Bakinya pula diketepikan sebagai rizab tunai demi memastikan "kelangsungan program dan pengagihan setiap tahun".

Anggaran Waktu Membaca:
95% zakat diagihkan kepada 8 asnaf, baki diketepikan sebagai rizab tunai MUIS

Encik Masagos menjelaskan tentang zakat terkumpul sebagai menjawab pertanyaan Encik Faisal Manap. (Gambar fail)

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) lazimnya mengagihkan lebih 95 peratus zakat yang terkumpul kepada lapan asnaf yang berhak menerimanya. Bakinya pula diketepikan sebagai rizab tunai demi memastikan "kelangsungan program dan pengagihan setiap tahun".

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menjelaskan demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) Faisal Manap bagi sesi parlimen pada Selasa (11 Mei).

AP pembangkang itu bertanya tentang jumlah dan peratusan wang zakat yang tidak diagihkan, selain meminta butiran lanjut tentang pengagihan zakat yang dijalankan.

"Dari 2018 hingga 2020, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengumpul purata $47.4 juta zakat daripada masyarakat Islam. Butiran pengumpulan dan pengagihan kepada pelbagai asnaf atau para penerima zakat bagi tahun-tahun sebelumnya tersedia untuk orang awam dalam Laporan Tahunan MUIS," terang Encik Masagos.

Menjawab pertanyaan Encik Faisal sama ada keluarga yang diisytihar muflis tergolong dalam lapan asnaf zakat, Encik Masagos menyatakan MUIS ada menyediakan bantuan kewangan kepada golongan memerlukan atau mereka yang mempunyai hutang dan memerlukan bantuan untuk membeli keperluan asas.

Mereka yang bernasib seperti ini digolongkan dalam kumpulan "fakir miskin" atau "gharimin" yang merujuk kepada mereka yang berhutang dan memerlukan bantuan untuk memenuhi keperluan asasnya.

"Para pemohon dengan pendapatan per kapita kurang S$400, layak menerima bantuan kewangan zakat. Daripada zakat terkumpul, lebih 45 peratus diberikan kepada golongan asnaf ini, yang mana sekitar 7,000 keluarga meraih manfaat daripadanya setiap tahun," jelas Encik Masagos.

Gambar fail bangunan MUIS. (Gambar: Majlis Ugama Islam Singapura/Facebook)

Beliau menambah, MUIS tidak mempunyai skim khusus untuk mereka yang diisytihar muflis tetapi badan berkanun itu biasanya merujuk mereka kepada pertubuhan-pertubuhan relevan.

Ini termasuklah Pusat Penasihat Hutang oleh AMP, Credit Couselling Singapore dan Biro Bantuan Guaman.

PELANTIKAN AMIL BAGI ZAKAT ONLINE

Encik Faisal Manap turut mengajukan soalan tentang bagaimana MUIS menentukan pelantikan amil sedangkan pengumpulan zakat kini dilakukan secara online.

Menjawab, Encik Masagos menegaskan bahawa peranan amil sebenarnya menjadi lebih besar dengan adanya pengumpulan zakat online.

"Skop amil sudah diluaskan untuk mencakupi khidmat menyediakan nasihat tentang zakat. Ini di samping membimbing masyarakat tentang pengiraan zakat serta pembayaran online," kata Encik Masagos.

Beliau menambah, masjid-masjid yang mentadbir urusan zakat biasanya melantik seseorang amil dan pelantikan tersebut kemudian disemak dan diluluskan Jawatankuasa Zakat & Fitrah setiap tahun.

"Sebelum proses pelantikan, semua pusat zakat berdaftar harus menyerahkan borang permohonan untuk melantik sekurang-kurangnya dua pegawai zakat dan menjalani program latihan yang dianjurkan MUIS," jelas Encik Masagos lagi.

Semua pusat zakat berdaftar juga diaudit demi memastikan ia mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan oleh MUIS.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan