Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

95 anggota SAF diiktiraf atas sumbangan kepada bantuan kemanusiaan, banteras ISIS

Seramai 95 anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menerima Pingat Perkhidmatan Luar Negara pada Khamis (19 Sep) atas sumbangan mereka kepada operasi bantuan kemanusiaan di Palu, Indonesia serta usaha membanteras kumpulan ISIS di Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
95 anggota SAF diiktiraf atas sumbangan kepada bantuan kemanusiaan, banteras ISIS

(Gambar: MINDEF)

Diterbitkan : 19 Sep 2019 09:59PM Dikemas Kini : 19 Sep 2019 10:08PM

SINGAPURA: Seramai 95 anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) menerima Pingat Perkhidmatan Luar Negara pada Khamis (19 Sep) atas sumbangan mereka kepada operasi bantuan kemanusiaan di Palu, Indonesia serta usaha membanteras kumpulan ISIS di Timur Tengah.

Sebanyak 68 pingat diberikan kepada para anggota SAF yang berkhidmat bersama kontinjen-kontinjen dari Australia, New Zealand dan United Kingdom untuk melatih 4,500 askar Iraq dalam antipengganasan selama sembilan bulan.

Baki 27 pingat dianugerahkan kepada kakitangan Angkatan Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) atas sumbangannya menyokong bantuan kemanusiaan di Palu, Indonesia menyusuli bencana gempa bumi dan tsunami pada September 2018.

"Anda mewakili Singapura dan SAF dengan bangganya, mengibarkan bendera negara kita dengan profesionalisme dan tatalaku anda, serta memenuhi misi dalam keadaan yang sukar dan mencabar," kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen, yang menyampaikan anugerah tersebut di Kementerian Pertahanan.

SAF mengerahkan pasukan-pasukan dan pesawatnya sejak 2014 sebagai menyokong perikatan antarabangsa dalam memerangi ISIS.

Dalam ucapannya, Dr Ng berkata perjuangan menentang pengganasan adalah "cabaran jangka panjang" dan Singapura dan SAF perlu menangani ancaman-ancaman yang menyusul.

Beliau juga menekankan bahawa kerjasama perikatan antarabangsa "berjaya mematahkan pakatan pengganas dan mengelakkan banyak ancaman dan kecederaan" di Timur Tengah, serta di Singapura dan rantau ini.

"Jika kita tidak bertindak terhadap Al Qaeda dan ISIS, saya percaya bahawa kita akan menghadapi lebih banyak serangan pengganas di seluruh rantau ini dan di Singapura," katanya.

"Sumbangan anda di sana melindungi rakyat Singapura di sini dan juga rakyat lain di merata dunia."

BANTUAN KEMANUSIAAN DI PALU

Pada 28 September 2018, Palu digegarkan dengan gempa bumi dan tsunami yang dahsyat, meragut beribu-ribu nyawa dengan beratus-ratus yang lain dilaporkan masih hilang.

SAF adalah tentera asing pertama yang tiba di Palu pada 2 Oktober 2018, dengan dua pesawat muatan RSAF C-130 yang membawa bekalan darurat seperti bekalan perubatan, khemah dan makanan ke Sulawesi.

Pasukan itu meneruskan misi bantuan selama dua bulan, iaitu tempoh lebih panjang berbanding kebanyakan negara lain, kata Dr Ng.

Pengerahan sedemikian menjadi contoh bagaimana keterhubungan meningkat di dunia hari ini, di mana ketidakstabilan atau bencana kemanusiaan di satu bahagian boleh membawa "kesan yang jauh lebih besar" ke atas tempat lain, kata beliau.

"Lantaran itu, Singapura dan SAF akan terus berusaha sedaya upaya sebagai rakan dan jiran dalam masa-masa sukar dan sebagai anggota masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab. "

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan