Images
  • foodcourt

90% responden puas hati atau amat puas hati dengan keadaan pusat penjaja S'pura

SINGAPURA: Satu tinjauan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mendapati lebih 90 peratus responden berasa puas hati atau amat puas hati dengan keadaan pusat-pusat penjaja di Singapura.

Hampir kesemua mereka puas hati dengan pilihan makanan yang ditawarkan pada harga berpatutan.

Lebih sepertiga responden juga berkunjung ke pusat-pusat penjaja begitu kerap berbanding tempat-tempat makan lain seperti cawangan makanan segera atau restoran-restoran.

Keseluruhannya ada lebih 100 pusat-pusat makanan di serata Singapura.

Tinjauan selama tiga bulan itu dijalankan dalam enam bulan kedua tahun 2018 di mana ia meninjau pandangan lebih 1,000 warga tempatan dan Penduduk Tetap yang berusia antara 18 hingga 69 tahun.

Antara dapatan tinjauan itu adalah hampir semua responden puas hati tentang harga makanan, bahan-bahan dan saiz hidangan di pusat-pusat penjaja.

Buat pertama kalinya, NEA turut membuat tinjauan terhadap persekitaran tempat makan di pusat-pusat penjaja dengan 87 peratus responden berasa puas hati.

47 peratus responden pula mengatakan mereka sering memulangkan dulang selepas makan.

Jumlah itu hampir 15 peratus lebih tinggi berbanding pada tahun 2016. Tinjauan itu dijalankan dua tahun sekali tetapi ini kali pertama dapatannya didedahkan kepada umum.

NEA menyatakanbahawa tinjauan itu dilakukan untuk memahami pandangan awam tentang apakah pusat-pusat penjaja masih lagi relevan, selain mengenal pasti aspek-aspek yang boleh dipertingkat.

Hampir 90 responden gembira dengan tahap pengaliran udara dan kebersihan di pusat-pusat penjaja.

Bilangan yang hampir sama juga bersetuju bahawa pusat-pusat penjaja menggalak interaksi antara anggota masyarakat daripada pelbagai lapisan.

Ia juga dianggap sebagai tempat yang baik untuk berinteraksi dengan rakan-rakan, keluarga dan jiran-jiran, menurut tinjauan itu.

- CNA/HA/na

Top