Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

90% rakyat S'pura akur ada baiknya pendatang tinggal di kejiranan sama

Kebanyakan rakyat Singapura menerima tentang pentingnya para pendatang.

Anggaran Waktu Membaca:
90% rakyat S'pura akur ada baiknya pendatang tinggal di kejiranan sama

Gambar fail flat-flat HDB. (Gambar: Xabryna Kek)

Diterbitkan : 03 Aug 2019 10:13PM Dikemas Kini : 03 Aug 2019 10:15PM

SINGAPURA: Kebanyakan rakyat Singapura menerima tentang pentingnya para pendatang.

Namun ramai juga rakyat tempatan berpendapat bahawa para pendatang boleh melakukan lebih banyak usaha untuk menyatu dengan Singapura.

Demikian dapatan satu tinjauan yang dijalankan Institut Kajian Dasar antara Ogos lalu hingga Januari tahun ini.

Dapatan itu diumumkan di Konvensyen Majlis Integrasi Nasional (NIC) hari ini (3 Ogos).

90% AKUR BAIK BILA PENDATANG TINGGAL KEJIRANAN SAMA

Tinjauan itu melibatkan lebih 4,000 rakyat dan Penduduk Tetap negara ini.

Hampir 90 peratus daripada mereka berpendapat adalah baik untuk mempunyai rakyat dari pelbagai negara tinggal di sebuah kejiranan yang sama.

Namun lebih 60 peratus mengatakan bahawa para pendatang tidak melakukan yang secukupnya untuk berintegrasi dengan Singapura.

Mereka yang ditinjau juga, secara amnya, rasa kurang selesa dengan pendatang asing berbanding dengan warga tempatan yang dilahirkan di sini.

PERLU KEKAL TERBUKA DENGAN PENDATANG

Bagaimanapun walau apa pun cabarannya, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu berkata Singapura perlu kekal terbuka kepada para pendatang baru.

Cik Fu yang mempengerusikan NIC berkata majlis itu berharap untuk bekerjasama dengan para individu dan masyarakat yang lebih luas untuk meningkatkan integrasi.

"Salah satu daripada halangan utamanya adalah kepercayaan dan tanggapan terbatas tentang satu sama lain disebabkan stereotaip, rasa takut, disisihkan dan syak wasangka. Untuk mengatasinya, ramai peserta bersetuju bahawa interaksi secara kerap di peringkat peribadi adalah permulaan terbaik tetapi kita perlu terlebih dahulu mengatasi sikap menolak perubahan," jelas Cik Fu.

KUMPULAN KERJA AKAN DIBENTUK

Cik Fu juga berkata sebuah kumpulan kerja yang melibatkan warga tempatan dan yang diberi kerakyatan akan dibentuk bagi menyemak kandungan program Perjalanan Kewarganegaraan Singapura.

Program itu membantu warga negara baru memahami sejarah dan budaya Singapura serta berinteraksi dengan masyarakat.

Acara tersebut menghimpunkan lebih 200 peserta dari pertubuhan-pertubuhan seperti kumpulan masyarakat serta persatuan pendatang asing.

Di acara itu, 16 pertubuhan dan individu diiktiraf kerana sumbangan mereka menggalak integrasi sosial.

Sebuah buku peringatan juga dilancarkan bagi menandakan ulang tahun ke-10 NIC. 

Sumber : CNA/NF/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan