Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

90 pekerja asing diberhentikan Dyna-Mac Engineering; MOM tawar bantuan

Sekitar 40 pekerja yang datang ke Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Isnin (7 Jan), dengan mendakwa diri mereka diberhentikan secara tidak adil oleh syarikat Dyna-Mac Engineering Services, didapati dilayani dengan adil.

Anggaran Waktu Membaca:
90 pekerja asing diberhentikan Dyna-Mac Engineering; MOM tawar bantuan

Bangunan Kementerian Tenaga Manusia. (Gambar fail: Calvin Oh)

Diterbitkan : 10 Jan 2019 09:13PM Dikemas Kini : 10 Jan 2019 09:20PM

SINGAPURA: Sekitar 40 pekerja yang datang ke Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Isnin (7 Jan), dengan mendakwa diri mereka diberhentikan secara tidak adil oleh syarikat Dyna-Mac Engineering Services, didapati dilayani dengan adil.

Jurucakap MOM berkata demikian hari ini (10 Jan) sambil menambah kementerian itu dan Perikatan Tiga Pihak bagi Pengurusan Pertikaian (TADM) mendapati bahawa syarikat itu tidak berhutang dengan para pekerja tersebut dan diberikan gaji ganti notis.

Para pekerja itu adalah sebahagian daripada sekumpulan 91 pekerja asing dari India, Bangladesh dan Myanmar yang terjejas akibat langkah syarikat itu memberhentikan pekerja pada Jumaat (4 Jan).

Naib Presiden sumber manusia Dyna-Mac Engineering Services, Chong Swee Lee, memberitahu Mediacorp bahawa syarikat itu melakukan pemberhentian tersebut berdasarkan garis pandu MOM.

"Sebab-sebab yang diberikan kepada para pekerja terjejas adalah projek sedia ada sudah hampir selesai dan oleh kerana tiada projek baru dijalankan, sejumlah kecil atau tiada tugas untuk kami tempatkan para pekerja yang terjejas," katanya.

Projek seterusnya dijangka hanya akan bermula pada pertengahan tahun ini, tambah jurucakap tersebut. Maka itu, syarikat berkenaan sedang melaksanakan pelbagai langkah penjimatan kos dan akan terpaksa menyesuaikan jumlah pekerja "untuk bertahan".

Sebagai sebahagian daripada langkah pemberhentian pekerja itu, Dyna-Mac Engineering Services memberikan para pekerja gaji ganti notis untuk seminggu.

Para pekerja berkata mereka menerima gaji antara S$80 hingga S$100 setiap orang bergantung kepada gaji harian mereka.

MOM sedang menghulurkan bantuan kepada para pekerja tersebut.

Setakat ini, kementerian itu sudah membantu enam pekerja yang bertugas selama kurang enam bulan di Singapura untuk mendapatkan semula sebahagian daripada yuran agensi pengambilan pekerja yang sudah dibayar. MOM juga sedang membantu beberapa pekerja yang berhasrat untuk terus bekerja di Singapura.

MOM, bersama TADM, juga sedang bekerjasama dengan Dyna-Mac untuk memberi para pekerja tersebut masa untuk mencari majikan baru di Singapura.

Pusat Pekerja Asing (MWC) kini berhubung dengan para pekerja untuk menghulurkan bantuan lanjut.

Pengerusi MWC Yeo Guat Kwang berkata, pihaknya sudah memberikan "bantuan ex gratia" kepada para pekerja terjejas. MWC juga akan membantu mereka mencari pekerjaan baru menerusi rangkaiannya sendiri.

'KAMI DATANG KE SINI DI BAWAH KONTRAK KERJA DUA TAHUN'

Jitu Noor Tanvir, seorang pekerja rakyat Bangladesh berusia 27 tahun, memberitahu Mediacorp para pekerja itu datang ke Singapura di bawah pemahaman dan perjanjian kerja bahawa mereka diberi kontrak untuk bekerja selama dua tahun.

Sesetengah daripada mereka terpaksa membuat pinjaman untuk membayar yuran ejen yang membolehkan mereka bekerja di Singapura dan ini belum dilunaskan sepenuhnya. Beliau berkata mereka membuat bayaran antara S$5,000 hingga S$9,000 kepada ejen mereka bagi mendapatkan pekerjaan di negara ini.

Encik Alex Au daripada pertubuhan tidak meraih keuntungan Transient Workers Count Too (TWC2) berkata para pekerja yang belum lagi melunaskan pinjaman itu sepenuhnya mungkin menghadapi masalah.

Menurut Encik Jitu, para pekerja diberikan surat-surat pemberhentian kerja pada Jumaat (4 Jan).

Meskipun mereka mempunyai pilihan untuk bekerja dengan majikan lain, tujuh daripada pekerja terjejas yang ditemui Mediacorp berkata itu hampir mustahil. Kajian yang dijalankan oleh TWC2 juga mendapati bahawa hanya sektiar 10 peratus pekerja berjaya mendapatkan pekerjaan baru.

Tanpa pekerjaan, para pekerja itu harus dihantar pulang ke negara asal mereka tidak lama lagi.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan